Rawat tekanan perasaan dengan kasih sayang
Oleh Dr Fariza Md Sham
BERITA kematian pelajar Malaysia di Mesir, Mohammad Ishak kerana disyaki dibunuh rakan senegara dan dipercayai terlalu tertekan, menggemparkan masyarakat. Peristiwa tragis ini bukan kes pertama membabitkan pembunuhan akibat masalah tekanan hidup dan banyak kes ngeri juga berlaku dalam negara kita.
Ia sebahagian daripada bukti menunjukkan masalah tekanan sudah mula melanda masyarakat Malaysia dan keadaan ini jika tidak dibendung boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat. Antara golongan harus diberi perhatian ialah generasi muda supaya mereka tidak mewarisi budaya hidup dalam tekanan ini.
Ada pelbagai takrif diberikan pengkaji mengenai tekanan dalam usaha memahami fenomena tekanan. Dalam Lisan al-Arab, istilah tekanan disebut sebagai dhagt. Mu’jam ‘Ilm al-Nafs menjelaskan makna dhagt sebagai keadaan jiwa yang mengalami pergolakan dan kegelisahan amat dalam.
Dictionary of Behavioral Science mendefinisikan tekanan sebagai suatu keadaan fizikal atau tekanan mental yang menyebabkan perubahan dalam sistem saraf autonomi. Definisi ini selari dengan huraian Morstt & Furst, mengenai tekanan. Beliau menyatakan bahawa tekanan adalah suatu keadaan yang dipengaruhi gangguan mental dan emosional yang boleh mewujudkan keadaan tidak selesa atau tegang jika keadaan itu tidak mampu ditanggung tubuh badan.
Dalam A Dictionary of Human Behaviour pula, memberikan definisi tekanan sebagai ketegangan fizikal dan psikologi yang berpanjangan untuk suatu masa, yang boleh menggugat keupayaan seseorang mengendali suatu keadaan.
Ahli psikologi Islam pula, al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, al-Razi dalam al-Tib al-Ruhani, Ibn Arabi dalam al-Futuhat al-Makiyyah,Muhammad ‘Uthman Najati, Muhammad ‘Izuddin Taufik, Samih Atif al-Zin dan Hassan Langgulung melihat tekanan emosi dari sudut kegelisahan jiwa manusia seperti gelisah, kecewa, bimbang keterlaluan dan takut. Perasaan itu wujud kerana hati manusia tidak beriman kepada Allah atau hati manusia tidak reda dengan ujian Allah.
Di samping itu, tekanan juga dikaitkan dengan penyakit hati seperti hasad dengki, sombong, ujub dan riak. Kisah dalam al-Quran turut menggambarkan tekanan yang berlaku kepada masyarakat. Misalnya, kisah nabi ketika menyampaikan dakwah Islamiah menerima tekanan masyarakat kufur dan peristiwa tertentu berlaku terhadap orang beriman.
Ada juga pandangan mengenai tekanan berdasarkan persepsi seseorang terhadap sesuatu perkara atau pengalaman. Mereka mengatakan, tekanan berlaku disebabkan persepsi individu terhadap sesuatu peristiwa atau pengalaman.
Pengalaman tidak menyenangkan sewaktu alam kanak-kanak seperti hukuman atau denda yang keterlaluan boleh mengakibatkan remaja mengalami tekanan.
Orang yang mengalami tekanan sering menghadapi masalah kesihatan. Mereka akan mengalami sakit kepala, lenguh badan, letih dan sesak nafas. Kajian Muhammad Shah Burhan mengenai kesan tekanan terhadap remaja dari sudut fisiologi mendapati mereka sering mengalami masalah kesihatan seperti sakit perut, sakit kepala dan bisa seluruh badan.
Simptom dan tanda fizikal lain ialah kaki dan tangan kerap berpeluh, cepat berasa letih dan tidak bermaya, tidak nyenyak tidur, berat badan susut atau berat badan naik mendadak, sesak nafas dan tangan sering menggeletar.
Tanda itu menyamai tanda dikemukakan Dr Kasmini Kassim dalam bukunya Psikiatri Kanak-Kanak, iaitu, rasa loya, sakit perut, cirit-birit, muntah, pening kepala, mulut rasa kering, degupan jantung semakin cepat, tapak tangan seram sejuk, berpeluh, kerap kencing dan rasa hendak pitam.
Menurut Muhammad ‘Izuddin Taufik dalam bukunya bertajuk al-Ta’sil al-Islamiyy lil Dirasat al-Nafsiah, antara tanda jasmani orang yang mengalami tekanan emosi akibat kerisauan keterlaluan ialah lemah badan, gangguan tidur, denyutan jantung dan pernafasan. Gangguan pergerakan seperti menggigil, suara atau teriakan, sakit mental dan fizikal seperti sakit kencing manis dan tekanan darah tinggi, hilang selera makan dan kekurangan berat badan.
Dari aspek psikologi pula, simptom tekanan boleh dikenal pasti melalui tindak balas psikologi seperti berlaku perubahan emosi, perasaan tidak puas hati, mudah marah, berasa kecewa dan berputus asa dan murung.
Pakar Psikiatrik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Ainsah Omar, dalam pembentangan kertas kerja mengenai tekanan dalam Wacana Wanita anjuran Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) 2001, menyatakan antara kesan tekanan daripada aspek tingkah laku ialah penyalahgunaan dadah, meminum minuman keras, menghisap rokok dan bermasalah dalam perhubungan sosial.
Pelajar yang mengalami tekanan jiwa juga tidak tahu cara belajar yang betul, tidak ada minat dan dorongan untuk belajar, ponteng, marah, merosakkan harta benda sekolah, merokok dan menggunakan dadah. Mereka bertindak demikian sebagai cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. penyalahgunaan dadah.
Berdasarkan simptom dan tanda tekanan, individu mengalami tekanan boleh dihidu lebih awal. Oleh itu, anggota masyarakat terutama ibu bapa, guru, rakan atau orang yang rapat dengannya boleh membantu mereka yang sedang tertekan.
Layanan emosi dan sokongan sosial keluarga terdekat seperti ibu bapa, guru dan rakan amat perlu. Memberi perhatian dan kasih sayang kepada individu mengalami tekanan boleh memberi kekuatan emosi kepada mereka.
Asas ini diletakkan al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Dan antara tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya) bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu hidup bahagia dengannya dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan kasihan belas. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Agama Islam menganggap asas perhubungan di antara manusia adalah berdasarkan perasaan belas kasihan serta kasih sayang sesama manusia lebih-lebih lagi antara ibu bapa dan anak.
Menurut Imam al-Ghazali, kasih sayang boleh menjinakkan hati. Ia membuktikan bahawa kasih sayang boleh melembutkan hati yang keras dan merawat perasaan tertekan. Jika perasaan kasih sayang ini luput daripada keluarga dan masyarakat, maka akan merenggangkan ikatan yang terjalin di antara mereka (ahli keluarga dan masyarakat).
Oleh itu, individu yang mengalami tekanan boleh dikurangkan melalui perhatian dan kasih sayang ibu bapa, guru atau rakan. Dengan perhatian dan kasih sayang, berasa mereka dihargai dan diberi perhatian.
Seterusnya, Imam al-Ghazali menyatakan, kata-kata lembut berisi rahmat dan kasih sayang sangat menyentuh hati dan perasaan sehingga meninggalkan kesan mendalam dan mampu mengarah kepada perubahan lebih baik.
Dalam konteks mengawal tekanan di peringkat remaja supaya anak tidak mengalami tekanan apabila berhadapan dengan cabaran hidup, di samping ibu bapa memberikan kasih sayang ibu bapa juga bertanggungjawab mengawal tingkah laku anak.
Keseimbangan perhatian dan kasih sayang dengan kawalan terhadap anak boleh memberikan kestabilan emosi kepada anak terutama anak remaja yang mengalami masa perubahan daripada pelbagai aspek.
Permasalahan berkaitan kejiwaan pada peringkat kanak-kanak dan remaja perlu diberi perhatian kerana akibat jangka panjang akan lebih buruk iaitu wujud satu kelompok masyarakat yang hidup dalam tertekan. Sudah tentu kita tidak mahu peristiwa menyedihkan seperti berlaku kepada pelajar kita di Mesir akan berulang lagi.
Penulis ialah Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia
No comments:
Post a Comment
Terima kasih untuk respons anda :)