Pages

Monday, May 13, 2013

Kisah Hantu Di Asrama Sekolah (3)

Kejadian ini berlaku semasa pelajar Tingkatan 5 sibuk nak menghadapi SPM.
 
Seperti biasa pada pukul 11 malam lampu bilik dorm wajib dipadamkan. Kalau terasa nak sambung study, silalah duduk di koridor atau gunakanlah lampu suluh dengan sebaik-baiknya. Mata rabun, sendirilah tanggung.
 
Aku tergolong dalam mereka yang terus tidur bila lampu dipadamkan. Mataku jenis yang tak boleh bertahan membaca menggunakan cahaya lampu suluh. Boleh migrain dibuatnya.
 
Biasanya aku "peram' mata. Sukar sungguh aku nak lelapkan mata sejak hari pertama aku jejakkan kaki di sekolah ini. Entah apa sebabnya aku pun tak pasti.
 
Tiba-tiba suasana malam yang sunyi dikejutkan dengan bunyi tapak kaki dan rantai diheret di koridor.
 
Kebetulan pada malam itu tak ada seorang pun rakan sebilikku yang study di koridor.
 
Meremang bulu romaku. Terus aku tarik selimut sampai ke kepala. Janganlah hantu tu masuk ke dalam bilik dan cari aku yang masih tak boleh tidur tu. Sampai berpeluh-peluh aku dibuatnya.

Alhamdulillah, hantu tersebut sekadar bersiar-siar di sepanjang koridor.

Keesokan harinya heboh cerita tentang bunyi tapak kaki dan seretan rantai di koridor. Rupanya ramai jugak yang tak tidur lagi dan berselimut litup sepertiku hehehe.

Friday, May 10, 2013

Serawa@Pengat Labu


Bahana menonton Masterchef Selebriti, aku pun jadi teringin nak makan serawa labu. Serawa dalam bahasa Utara; nama lainnya pengat.

Labu ni besar gedabak. Disebabkan tak lut aku hiris, akhirnya Abg yang tolong potong dan buangkan kulitnya. Terima kasih...hihi.

Nikmatnya makan serawa labu di tengah malam. Apa tidaknya, aku mula masak serawa ni pun  jam dah pukul 10.30 malam.

Yang paling aku seronok, Abg pun makan serawa ni dengan banyak. Sebelum ni aku tak pernah masak serawa labu sebab Abg tak sukakan apa jenis serawa pun. Akhirnya...Lepas ni bolehlah  masak pelbagai jenis serawa lagi.

 Serawa Labu

  • 1/2 biji labu - dibuang kulit dan dipotong-potong
  • 2 keping gula kabung
  • 1 kotak santan segera
  • 1/2 sudu teh garam
  • 2 sudu besar sagu - direndam 
  • 1 helai daun pandan - disimpul
Kaedah :
  1. Masukkan labu, air, gula kabung dan daun pandan ke dalam periuk. Rebus sehingga labu agak lembut.
  2. Masukkan sagu yang telah direndam.
  3. Bila sagu telah kembang, masukkan santan dan masak sehingga mendidih. 
  4. Serawa perlu sentiasa dikacau untuk pastikan santan tidak pecah minyak. Tutup api bila labu telah empuk.

Friday, May 3, 2013

Bagaimana Memilih Arnab Sebagai Haiwan Kesayangan (1)

Ramai di antara kita gemar membela arnab sebagai haiwan kesayangan. Di sini aku ingin memberi beberapa panduan  ringkas sebelum membeli arnab.
Semasa memilih arnab di kedai haiwan atau pasar malam pastikan arnab tersebut dalam keadaan sihat. Bagaimana nak tahu arnab tersebut benar-benar sihat?

1. Perhatikan bulu arnab tersebut. Arnab yang sihat bulunya bersih dan bersinar. Ini menunjukkan yang arnab tersebut sihat dan sentiasa 'grooming' dirinya. Jika arnab itu sakit tentulah ianya tidak akan membersihkan dirinya sendiri.


2. Pastikan mata arnab bersinar, tiada lelehan pada mata, hidung atau mulut. Jika ada, itu menunjukkan kemungkinan arnab tersebut mengalami jangkitan pada saluran pernafasan.

3. Cuba teliti telinga dan kawasan muka arnab. Pastikan telinga dan bahagian mukanya bersih daripada jangkitan ektoparasit (contohnya tungau). Jangkitan ektoparasit biasanya akan menyebabkan telinga dan bahagian muka arnab seakan mereput, serta alopecia (botak) pada badan akibat bulu yang luruh.
 
4. Bahagian tapak kaki arnab sepatutnya tiada bengkak kemerah-merahan. Jika ada, ianya dikenali sebagai 'pododermatitis' iaitu jangkitan pada 'pad' di tapak kaki arnab. Keadaan ini jika dibiarkan tanpa rawatan, akan menyebabkan arnab mati akibat menahan sakit dan tidak mahu makan selain risiko jangkitan sekunder oleh bakteria.

5. Pilihlah arnab yang berumur 2 bulan dan ke atas. Ini kerana, tempoh cerai susu (berhenti menyusu) bagi arnab ialah 2 bulan. Ramai peniaga arnab akan menjual arnab apabila ianya mencecah umur 1 bulan. Ini meningkatkan risiko kematian kepada anak arnab tersebut memandangkan ianya masih kecil dan ketahanan badannya masih lemah.


Jangan terpedaya dengan kata-kata manis peniaga. Mereka hanya ingin mendapatkan keuntungan dan melepaskan tanggungjawab kepada pembeli. Ramai daripada pembeli membeli arnab yang belum sampai tempoh cerai susu kerana tertarik dengan kecomelan arnab tersebut. Tetapi apabila dibawa pulang dan dibela dalam jangkamasa yang singkat sahaja kebanyakannya anak arnab itu akan mati.

Memanggey

Memanggil atau memanggey adalah istilah orang utara bagi menjemput orang makan kenduri.
 
Kad kahwin adik bongsuku dah siap. Aku dah mula menjalankan misi memanggey. Orang pertama yang bertuah itu adalah kawan baik arwah mak.
 
Biasanya orang memanggey cuma bersalaman sambil bertanya khabar dan menyatakan tujuan mereka datang sambil memberikan kad jemputan. Jarang sangat orang datang memanggey akan masuk ke dalam rumah dan makan minum sampai kenyang baru beredar.
 
Mungkin pengalaman pertama; kami dah terlajak bersembang siap makan minum dan menonton cerita kartun di rumah makcik tersebut yang merupakan jemputan pertama kami. Hangus 30 minit.
 
Aku juga akan memberi penelitian pada pakaian semasa memanggey. Kebetulan aku memakai jeans dan blouse. Jeans agak sendat. Bukan salah jeans, salah aku yang tak habis-habis mengumpul lemak. Jeans tu asalnya longgar. Natijahnya, makcik itu memandang aku atas dan bawah.
 
Ish.