Pages

Monday, September 28, 2009

Makan ringan-ringan

Hari Ahad, persediaan untuk pergi kerja lagi. Aku ikut Abg untuk bayar bil-bil di bank. Sudah tentu kami ke pulau.

Sebelum tu Abg singgah di Medan Selera Padang Kota untuk beli Nasi Ayam dan sirap. Perut aku dah berdendang minta diisi. Kami berhenti di tepi jalan untuk makan.

Ya Allah, tergamak orang ni jual Nasi Ayam. Maha tak sedap dan tak boleh telan. Dahla supnya berbau memeningkan kepala. Aku pandang wajah Abg. Rupanya Abg yang jenis tak cerewet tu pun dah tak boleh telan Nasi Ayam tu. Akhirnya polisterine Nasi Ayam kami tutup. Ish laparla...

Pusing kiri kanan. Nampak ada orang jual rojak. Abg keluar beli rojak. Harga RM3, dalam bekas polisterine besar. Buka saja polisterine...waaa...hahaha kami berdua terus tergelak.

"Lelaki ka yang jual rojak ni bang?"

"Dak, pompuan."

"Awat dia potong buah-buah ni besaq gajah!"

"Tu nasib baik, kalau dia bubuh buah sebijik-bijik tak potong lagi haru."

Aku dan Abg terus gelak sambil menikmati rojak tersebut.

Bila toleh pada lori penjaja tu baru perasan namanya Rojak Menjerit (lokasi : Padang Kota Lama, dekat Fort Cornwalis). Hahaha. Memangla rasa nak menjerit tengok buah dihiris besaq kepala lutut kata orang Penang. Tapi Rojak Menjerit ni sedap, kacang banyak. Cuma kuah rojak Paknjang buat lagi sedaplah :-)

Cumanya kalau bagi kanak-kanak yang makan, kena berhati-hatilah. Takut tercekik! Aku dan Abg pun terbongak-bongak nak telan rojak tu.

Kemudian terus kami ke bank. Selesai urusan, lapar lagilah. Akhirnya kami berhenti di Subway. Beli sandwich gedabak. Sebelum tu Abg pastikan ianya halal. Budak yang jual tu siap keluarkan sijil halal lagi. Yang dijual kat situ pun cumalah sandwich ayam dan daging.

Wah! Nyesal beli sebijik jer. Mulut Abg besar, sekali dia ngap dah tinggal separuh. Jadi bila ada peluang aku makan, aku makan dengan senyap hingga ke gigitan terakhir hehehe. Lain kali boleh beli lagi. Sedapnya! Kinah mesti suka sebab dia pun hantu sandwich macam aku.

Honey & oat chicken sandwich.

Petang tu ingat sempat makan mee rebus yang Paknjang janjikan....rupanya tak ada rezeki....Paknjang sms kata mee saja tinggal, kuah dah abis. Hehe esok sajalah.....

Sunday, September 27, 2009

Masjid perlu bersih!

Semalam sesi merayau bersama Abg, Mak dan Amir. Maksud aku merayau dengan kereta. Balik dari Giant kami tak terus pulang, ke Perda pula. Cari apa? Cari laksa untuk aku! Kerja pelik...cari laksa malam-malam.

Di Giant pun aku sekadar duduk dalam kereta menunggu Mak dan Amir beli-belah barang-barang keperluannya untuk balik ke kolej. Sebelum tu aku dan Abg jalan-jalan di dalam Guardian. Sebenarnya percubaan aku jalan-jalan sebagai persediaan untuk bekerja hari Isnin ni. Tapi alahai, tak sampai 30 minit aku dah 'surrender'. Wa sudah sakit itu kaki lor...Jadi aku pun duduk senyap-senyap dalam kereta sambil menikmati ais krim dan ditemani alunan lagu dari radio.

Sampai di Perda sudah masuk Maghrib. Singgah sebentar untuk bersolat Maghrib di Masjid Perda.

Masuk dalam ruang mengambil wuduk + tandas, hidung aku yang super sensitif menangkap satu bau yang kurang menyenangkan. Alamak! Lahabau! Sapalah yang dah berak dalam tempat mengambil wuduk? Tekak aku mulai loya. Sedangkan tandas tak sampai 3 meter, boleh pulak dibantai berak di tempat yang tak sepatutnya.

Mak masuk ke tandas. Aku yang dari tadi menahan pundi kencing yang tepu terus terpaksa menahan. Dari jauh aku lihat tahap kebersihan tandasnya pun tahap 'so so' aje. So goodbyelah. Cepat-cepat aku berwuduk dan meninggalkan tempat yang meloyakan itu.

Aku jadi aneh. Ini berkaitan sikap. Kebanyakan orang Islam di Malaysia ialah orang Melayu. Orang Melayu yang jarang mementingkan kebersihan tandas dan bilik air. Ada yang kaya, rumah memang hebat. Tapi bila jenguk ke tandas, alahai tak lalu...

Yang lebih aneh, tempat sesuci masjid selalu sangat tandas dan bilik airnya kotor. Aku buat andaian kerana aku dan Abg kaki merayau. Kerap singgah ke masjid-masjid. Dan aku terus rasa kecewa. Ini memberikan tanggapan yang buruk pada masjid dan utamanya agama Islam sendiri.

Ini belum bercerita tentang masjid di negeri Pantai Timur. Suatu masa, kerja aku memerlukan aku banyak keluar untuk 'sampling' di Pantai Timur. Adalah seorang staf berbangsa Cina yang turut serta. Suatu hari, kerana sudah tidak tahan kami terpaksa berhenti di sebuah masjid di tepi jalan. Kerana kedudukan tandasnya di luar, staf berbangsa Cina ini turut serta untuk melepaskan hajat.

Masuk saja ke tandas yang tersedia dalam 4 buah di situ, aku terus rasa malu. Kotornya! Aku lihat muka rakan aku tadi dah geli-geleman tapi terpaksalah juga melepaskan hajat.

Kalau bercakap pasal telekung, aduh sedih juga ni. Ada masjid yang telekungnya dah berapa lama tak basuh entahlah. Bau masam, bertahi lalat. Bila terlupa bawa telekung sendiri, terpaksa jugalah pakai telekung masam tu. Pengunjung masjid yang gunakan telekung sering buat tak kisah. Bila habis solat, terus telekung dicampakkan tersadai. Jarang aku lihat telekung tersusun kemas kecuali di masjid di Bertam. Telekung tersusun elok dan bersih di 'hanger'.

Sebenarnya semua ini berbalik kepada diri kita semua. Pengguna masjid. Jika kita gunakan kemudahan yang disediakan dengan baik, seperti kita gunakan kemudahan di rumah sendiri, pasti semua masalah ini tidak berlaku. Jadi sama-samalah kita menjaga kebersihan masjid di samping mengimarahkannya. Jangan nak harap pada AJK masjid saja untuk melakukan semua tugas-tugas itu.

Maaf, makcik membebel pulak hari ini...adeih dah tua rupanya aku.

Saturday, September 26, 2009

Update Kek Lapis Sarawak...sudah lupa da...


Ha...seperti yang aku janjikan sebelum raya. Inilah rupanya Kek Lapis Sarawak yang kawan Izat pos hari tu. Comelkan? Aku jadi konpius tengok corak tu...cantik, macam mana dia atur? Tak retilah aku nak membuatnya :-)

Rasanya pun syedap. Lainkali boleh order Kek Lapis Asam Manis dan Kek Lapis Horlicks pulak. Mesti meletups! Tapi Izatlah bayarkan hehe. Kakak tolong makan dan komen ja.....

Friday, September 25, 2009

Selamat Datang Miki!

Ini ahli keluarga kami yang baru. Namanya Miki. Bentuk badannya bulat macam sebiji bola. Manja walaupun jantan. Warnanya sebijik macam raccoon.

Kehadiran Miki buatkan Mone terasa hati. Mengamuk dia sampai siapa pun tak dapat sentuh. Mone lompat dan cuba cakar muka aku. Mone kejar dan cuba serang Mak. Mone betul-betul mengamuk. Tak ada lagi ngiauan manja. Mone berbunyi macam macam harimau menderam. Akulah mangsa yang paling hendak diserangnya.

Petang, Mone balik dalam keadaan yang cukup kotor. Badannya penuh kotoran hitam; minyak hitam atau arang. Di mana dia bergolek aku pun tak pasti. Nampak benar dia protes.

Cuma satu yang Mone tak tahu, Miki tu bakal suaminya. Suaminya yang comel, cute dan manja. Tapi apakan daya, Mone dah tak nak dengar apa yang aku cuba beritahu pada dia. Adoi....dua-dua aku sayang. Haiwan pun pandai cemburu, inikan pula manusia....


Alhamdulillah

Alhamdulillah aku lahir sebagai seorang perempuan.
Alhamdulillah aku telah berkahwin dan patuhku kini pada suami.

Buat adik-adikku, kalian lelaki.
Tanggungjawab yang besar menanti.
Menjaga mak suatu hari nanti.
Jangan kalian ingat itu tugas yang enteng.

Aku hanya mampu buat apa yang terdaya.

Alhamdulillah aku lahir sebagai seorang perempuan.

Thursday, September 24, 2009

Kami Beraya...Meriah, Meriah



Puas aku suruh dan usik baru Maknjang nak senyum....Maknjang memang pemalu hehe. Paknjang? Yang tu memang kaki gelak kekeke.


Makndak, Pakndak dan Mak. Mak ni suka buat muka sedih bila aku ambil gambar....pasal apa? Ntah....aku pun tak tahu. Nanti Mak kata muka dia tak lawa bila tengok gambar...ler hehe.


Maksu dan Paksu. Aku suka usik Paksu...Paksu jangan marah no hehe.



Dik An dan Shahrom. Inilah mak ayah kepada dua hero yang nakal tapi cute sangat.


Ini bukanlah sepasang suami isteri dan anak mereka ya. Harap Maklum!


Nirah dengan baju rayanya yang lawa, Kinah yang selebet hehe.


Paknjang macam teringin anak kecik lagi jer hehe.


Posing atas motor Mat Bunga.


Inilah Mat Bunga motor pink. T-shirt pun pink, ish ish. Rambut raya hehe.


Satey yang sedap. Kuah rojak yang sedap tapi sikit amat. Lenkali Paknjang kena buat kuah rojak satu tong hehehe. Sedap.


Pakngah memulakan acara makan selesai tahlil ringkas.


Mengambil makanan dengan penuh sopan. Gambar pizza yang sedap tak sempat aku ambik. Aku pun nak makan gak!


Takut tengok mata Farhad!


Terima kasih Pakngah. Pakngah yang belanja satey.


Kinah sedang membaca jampi serapah supaya Miqdad berhenti makan satey. Miqdad dah kena pukau hahaha.


Depan toilet pun jadi depa ni...hehe. Pembancuh lemonade yang bagus.


Comel. hehe.


Izat sedang kekah batang satey....kesian...lapar sangat la tu.


Asal aku nak ambik gambar Nuim mesti dia tutup mulut. Nak kata tak dak gigi, ada gigi kekeke. Malu ler tu.


Minah brutal dengan gaya mengpau duit raya.


Lawa gambar ni....aku candid. Semua masih solo, sila, sila hehe.


Aku pun tak ingat sapa yang adik....errr.


Minah ni memang brutal tengokla cara duduk hehe.


Lega aku raya dah abis. Puas aku kena lanyak dengan budak kecik dua orang tu...sakit-sakit badan aku.....


Selamat Hari Raya! Saya malu, saya bogel sebab panas sangat makan rendang daging banyak.

Thursday, September 17, 2009

Akhirnya...

Aku dari lepas soq tadi tak tido. Tunggu kek lapis sampai. Ha? Apa kejadahnya aku tak tido....bukannya posmen datang pukul 7 pagi.

Pukul 1 lebih baru posmen pos laju sampai. Lajunya...sampai tengahari baru sampai. Yey! Tak larat tunggu Encik Posmen dah. Wah! Besar kek. Terima kasih Encik Posmen. Ingat Encik Posmen dah ngap kek tu di tengah jalan. Kot-kot la Encik Posmen uzur.

Kenapa aku pulak teruja lebih-lebih dapat kek lapis tu? Itu bukan kek aku...kek Izat. Alamak! Over pulak aku ni hehe. Aku over nak makan saja. Harap-harap sedap.

Mak buka kotak, nah...sebijik kek lapis Sarawak yang cantik. Nanti aku snap gambar. Penghantarnya bernama Dila. Terima kasih Cik Dila. Mesti Dila ni pun cantik macam kek lapis nih. Boleh ke aku samakan orang dengan kek?

Tapi seksanya nak tunggu Izat balik...hari Sabtu. Alahai, ikut hati aku potong jer, pastu balut semula elok-elok. Nanti aku cakapla Dila tu hantar kek kecik jer hahaha. Izat bukan tahu pun.

Takperlah....sabarlah.
Dua kali dah aku asyik buka peti ais. Bukan apa, takut Mone curi kek aku. Hehe. Eh! Silap. Kek Izat....

Wednesday, September 16, 2009

Kek Lapis Sarawak

Gambar hiasan

Tadi Izat sms aku. Katanya esok akan sampai sebuah bungkusan pos laju. Pesannya lagi bila dah dapat, cepat-cepat letakkan bungkusan tu dalam peti sejuk.


Aku reply sms Izat "Murtabak Raja ka?"

"Dak, kek lapis Sarawak."

Wow! Kek lapis Sarawak. Serta-merta air liur aku meleleh...tap, tap. Basah keyboard....imaginasi saja tu.

Raya tahun lepas aku dah boikot kek lapis Sarawak. Bukan salah orang Sarawak tapi salah orang Semenanjung yang guna nama Sarawak untuk jual keknya.

Masa tu aku pesan dua biji kek lapis Sarawak. Kata kawan yang jual tu, kek lapisnya mak sedara di Sarawak yang buat, sedap menjilat jari, menjilat kaki dan lain-lain lagilah. Ingat aku kucing? Jilat sana-sini?

Kerana terpengaruh aku belilah juga...ya aku suka sangat kek lapis sarawak sebab masa di U dulu kawan dari Sarawak selalu bawakan selepas raya. Dahla rupa cantik, rasanya sedap. Ini baru dikatakan rupa sepadan dengan rasa. Selalu yang kawan aku bawa tu memang emaknya yang buatkan. Dia bawa pun sikit jer...jadi tak boleh lah aku aku mengada-ngada makan sampai buncit.

Lepas kek lapis yang diorder aku perolehi, aku excited beritahu mak. Sedap ni, sedap (walhal aku pun tak rasa lagi). Masa berbuka aku potong dan rasa. OMG, aku tiba-tiba jadi hulk....arggghh koyak semua baju....
TAK SEDAPNYA! Nih! Nak tipu aku ke apa??? Macam aku tak pernah rasa kek lapis yang original. Nyesal, abis duit aku beli punya mahal. Dua biji pulak tu!
Dahla mak asyik komen...ini yang hang kata sedap? Apara...

Rupanya kawan aku yang order dua biji kek lapis Sarawak daripada orang yang sama pun marah-marah. Kawan aku nih biasa tinggal di Sarawak. Nampak sangat kami dah kena tipu. Rasa nak pos kek tu biar si tukang jual yang makan.

"Kak jangan potong kek tu lagi tau, tunggu Izat balik, Izat nak potong."

"Wokey, kak tak potong....kak terus makan ja hahaha."

Asma Al Husna (Hadddad Alwi)


Tuesday, September 15, 2009

Aku rindu mereka semasa kecil




Ini gambar aku, Izat dan Amir. Masa tu aku baru berumur 15 tahun. Nak ambik SRP time ni. Lokasi, di rumah lama di kampung dulu.




Izat dan Amir comel sangat-sangat waktu kecil. Cutekan? Tengok si Izat, dia yang duduk atas benda untuk baby tidur tu. Kaki pun dah terlebih-lebih. Amir pula bulat....ya bulat dan debab. Tak larat aku nak dukung.



Kalau time balik sekolah, dari jauh Izat dah lari sambut aku. Adalah habuannya nanti. Coklat, gula-gula atau anak patung kertas. Ha? Anak patung kertas?? Iye....anak patung kertas yang boleh tukar-tukar baju tu...Izat suka main benda ni dulu hahaha.





Kemudian aku akan jadi kuda. Merangkaklah aku dalam rumah dengan Izat di belakangku. Dengan pembaris satu dan leher terikat lampin (dia ingat dia superman) Izat akan menunggangku. Kaki pun tak sampai. Bila jatuh dia akan ketawa terkekeh-kekeh. Kalau sakit dia meraung.




Bila Amir besar sikit, terpaksalah aku jadi kuda untuk dua orang pulak. Sakit gak pinggang sebab aku kurus saja masa tu. Tapi kalau kenangkan...memang aku enjoy...enjoy layan adik-adik waktu depa masih kecil.

 Yang tak enjoy cuma masa nak basuh uk, uk depa. Alahai bosannya.




Tapi bila masing-masing dah besar, terasa sangat kemesraan tu dah berubah. Memanglah, aku dah tak boleh dukung dan lambung-lambung Izat dan Amir lagi. Tak boleh nak cubit-cubit pipi depa lagi. Lagipun depa dah tak se'cute' dulu hehe.




Yang penting, aku dah tak boleh buli depa lagi. Huhuhu.

Monday, September 14, 2009

Yey! Biskut dah sampai

Biskut raya yang diorder dah sampai. Biskut Almond London, Tart Nenas dan Samperit. Yang ni tiap-tiap tahun wajib ada. Nak complaint boring pun tak buleh. Sebab nak buat biskut sendiri tak daya lah pulak.


Almond London dah tinggal sekerat balang. Raya nanti kami hidang balang ja. Confirm! Balik Izat dan Amir, memang tinggal balang saja.


Tapi tak puas hatila...Almond London tu dah sedap adunan tepungnya. Apa kelas guna coklat murah nak salut biskut tu. Eee rasa nak marahnya. Eee. Tu lah pasal lebih baik buat daripada beli biskut-biskut raya ni.

Saturday, September 12, 2009

Biskut Raya oh Biskut Raya

Raya tak lama lagi. Aku yang terover nak raya, nak makan biskut raya. Tahun ni nampaknya aku tak mampu langsung nak buat sejenis pun biskut raya. Harap keluarkan duit, beli....tak ada pilihan terpaksa suka sajalah dengan biskut apa yang dijual.

Aku sms Amir tadi. Harap sangat dia balik awal. Adik aku ni boleh harap skit kalau bab nak menolong di dapur. Kalau Amir balik awal aku nak pujuk dia buatkan biskut untuk aku. Sejenis pun jadilah...biskut yang aku suka. Boleh jugak abg tolong. Abg bab-bab terap kuih guna acuan memang dia suka. Kalau kat rumah pun abg selalu menolong. Tapi bila angin bosan abg datang, mulalah biskut aku jadi macam-macam rupa...aku pulak naik hangin hehe. Takper, yang pelik-pelik tu suruh saja abg yang makan :P

Aku juga merindui biskut Buah Jambu yang dulu-dulu Maklang selalu buat. Tetapi setelah mendapat tentangan ramai (tentangan yang kuat kekeke) akhirnya biskut Buah Jambu terkeluar dari senarai menu hari raya di rumah tok. Melalui interview yang aku jalankan, Mak, Mak Ndak dan Adik An sangat anti biskut ni. Bila sebut saja semua jadi marah, aku kelakar betullah. Yang menambahkan kemarahan ramai ialah bunga cengkih yang Maklang pacakkan sebagai tangkai buah jambu tu. Kekekeke.

Paknjang dan Miqdad, adakah anda ingat rupa dan rasa biskut Buah Jambu Maklang? Jom kita kempen supaya ianya dibuat semula...hehe.

Thursday, September 10, 2009

Rindu yang Tak Pernah Padam

Rindunya aku nak kembali bersilat. Dah lebih 10 tahun aku tinggal terus silat. Bukannya benci tapi keadaan yang tak mengizinkan. Sebenarnya abg yang tak izinkan aku bersilat lagi bila aku berkahwin.


Aku kenal silat masa berumur 13 tahun. Sebelum tu aku memang aktif bersukan di sekolah. Bila dah kenal silat, aku mula jatuh cinta. Jatuh cinta yang melampau. Ayah memang galakkan aku masuk silat, mak kurang sikit tapi mak tak membantah. Asalkan pelajaran aku tak terganggu dan aku tahu jaga diri.

Memanglah aku berangan-angan mahu kahwin dengan orang yang sehaluan dengan aku, pandai silat. Jadi taklah hilang terus seni itu dari dalam diri ini. Tapi muka macam aku ni, budak-budak yang join silat sama aku pun tak pandang. Dahla pakaian pelik berbanding org lain (mak la ni....aku terpaksa pakai apa saja yang mak beli tanpa bantahan...mana ada duit nak cakap banyak-banyak). Kesian kat aku hehe dok admire kat org senyap-senyap, habuk pun tarak (masa tu la).

Lepas aku kahwin aku baru tahu... Abg rupanya memang tak reti dan tak minat langsung dengan seni mempertahankan diri. Minatnya cuma pada bola. Kalau boleh main bola, kaki sampai bengkok pun tak apa.

Aku ajak juga abg untuk join kelab karate berhampiran. Sebelum ni pun aku memang ada belajar karate, ingat mau sambung lagilah. Abg sengih-sengih saja. Akhirnya abg suruh aku ajar dia langkah silat. Aku pun apalagi seronoknya bila abg tunjuk minat (sebenarnya abg cuma nak ambil hati aku kekeke).

Maka bermulalah sesi pengajaran dalam rumah. Aduhai, bila nak lentur pokok buluh bukannya senang. Last-last jadilah sesi itu sesi gelak guling-guling dan aku naik angin tumbuk abg mana yang sempat. Benci betul bila aku ingat saat tu kekeke. Dahla banyak komen, kuda-kuda macam kambing-kambing, lagi mau gelak-gelak.

Dua, tiga kali aku ajar abg akhirnya aku 'surrender'. Bagi dia main bola cukuplah. Akhirnya keinginan aku terpendam macam tu saja. Yang boleh aku buat cumalah merindu. Pantang dengar gendang silat, aduh...tak dapat tahan kaki nak sepak-menyepak.

Last sekali aku tengok persembahan silat masa kenduri Fatimah. Masa tu aku sibuk tolong sendukkan lauk-pauk untuk tetamu. Bunyi saja muzik silat, aku dah tak senang duduk. Jenuh gak nak seka air mata yang tiba-tiba meleleh-leleh tak semena-mena. Dahla tangan nak senduk lauk...ciiit. Rupanya abg rakamkan persembahan silat tu. Dia tahu aku rindu sangat nak bersilat. Balik rumah abg tunjukkan pada aku. Terubatlah sikit rindu ni.

Abg pernah suarakan aku sebab apa dia tak suka silat. Katanya budak silat ramai yang kerek, perasan hebat dan selalu cabar orang untuk bergaduh. Memang betul pun. Aku tak nafikan segelintirnya memang macam tu. Nak buat macam mana, hati manusia ni kan lain-lain. Tapi janganlah kerana seorang abis semua orang silat diborong suka gaduh. Kesian aku. Aku tak suka gaduh. Tapi aku pernah angkat meja dan lempar pada budak lelaki kelas aku, dan aku tumbuk perut dia. Memang betullah kot. Hehehe dah org mula dulu, kita balas sajalah.

Nanti bila ada anak, aku nak anak aku kenal silat sebelum dia kenal seni mempertahankan diri yang lain-lainnya. Walaupun abg tak setuju, aku akan pujuk abg. Kita ambil sajalah yang putih, yang hitam tu kita tolak-tolaklah ke tepi. Kita boleh buatkan bang?

Terlalu banyak kenangan aku dan silat, terlalu. Walaupun silat pernah buat aku menderita tapi itulah bila dinamakan cinta...cinta itu memang buta.

Wednesday, September 9, 2009

09092009

Hari ini aku bagai tergamam.
Seolah tarikh ini memang sengaja dipilihnya.
Ya Allah...

Air mata aku gugur membasahi pipi.
Kenapa?
Setelah 10 tahun berlalu.


Tuesday, September 8, 2009

Buat Usus Itu Panjang...Jangan Tension-tension hehe.

Walaupun aku tak dapat tolong Kinah buat assignment dia, aku cuba kurangkan tension Kinah dengan gambar-gambar di bawah ni. Gambar-gambar diambil Ahad lepas masa Adik An balik berbuka puasa di rumah Tok.

KAMI RINDU AYONG!
YUMI PUN SELALU INGAT AYONG...AYONG TAK DAK YUMI YANG TENSION HUHU
Jangan tension-tension Ayong....kalau tension, ingatlah kami berdua :)

Monday, September 7, 2009

Tok : Aku dah tua...

Semalam, sementara tunggu berbuka puasa aku suka-suka ambil gambar Tok. Ya, aku suka 'candid' gambar Tok. Banyak gak gambar Tok dengan aku.

Kemudian aku tunjukkan gambar yang aku ambil pada Tok.

Tok : Ish! Banyaknya kedut-kedut (tok tengok lcd kamera sambil raba-raba pipi). Tu....awat mata Tok macam tu???

Aku : Hehe. Tu...pipi tegang lagi tu Tok.

Tok : Betui ka ni gambaq Tok?

Aku : Betui la...(kataku sambil sengih).

Tok : Macam orang tua....

Aku : Kekeke, G pun dah tua, takkan Tok dok muda-muda lagi kot.

Tok tergelak terkekeh-kekeh sambil terus raba pipi.
Nampak sangat Tok lama tak tengok cermin hehe.

Sunday, September 6, 2009

Mata kami serupa kan?


Nirah, Pak Njang dan Fawwaz. Anak sedara dan pak sedara yang sama-sama mata kesit...mata JOWO! hehe.

Khas untuk Pulasan007


Inilah jadinya bila kamera terlepas ke tangan jurugambar lain. Ingat nak suruh ambik gambar 'tetamu baru' yang bertandang. Sekali, gambar depa posing yang tak abis-abis kekeke. Antu betuila. Jadi pada Miqdad, pandai-pandailah belek, yang mana muka kurang familiar, itu adalah ahli keluarga baru kita.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...