Pages

Thursday, December 30, 2010

Tekanan Perasaan

Rawat tekanan perasaan dengan kasih sayang



Oleh Dr Fariza Md Sham


BERITA kematian pelajar Malaysia di Mesir, Mohammad Ishak kerana disyaki dibunuh rakan senegara dan dipercayai terlalu tertekan, menggemparkan masyarakat. Peristiwa tragis ini bukan kes pertama membabitkan pembunuhan akibat masalah tekanan hidup dan banyak kes ngeri juga berlaku dalam negara kita.



Ia sebahagian daripada bukti menunjukkan masalah tekanan sudah mula melanda masyarakat Malaysia dan keadaan ini jika tidak dibendung boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat. Antara golongan harus diberi perhatian ialah generasi muda supaya mereka tidak mewarisi budaya hidup dalam tekanan ini.



Ada pelbagai takrif diberikan pengkaji mengenai tekanan dalam usaha memahami fenomena tekanan. Dalam Lisan al-Arab, istilah tekanan disebut sebagai dhagt. Mu’jam ‘Ilm al-Nafs menjelaskan makna dhagt sebagai keadaan jiwa yang mengalami pergolakan dan kegelisahan amat dalam.



Dictionary of Behavioral Science mendefinisikan tekanan sebagai suatu keadaan fizikal atau tekanan mental yang menyebabkan perubahan dalam sistem saraf autonomi. Definisi ini selari dengan huraian Morstt & Furst, mengenai tekanan. Beliau menyatakan bahawa tekanan adalah suatu keadaan yang dipengaruhi gangguan mental dan emosional yang boleh mewujudkan keadaan tidak selesa atau tegang jika keadaan itu tidak mampu ditanggung tubuh badan.



Dalam A Dictionary of Human Behaviour pula, memberikan definisi tekanan sebagai ketegangan fizikal dan psikologi yang berpanjangan untuk suatu masa, yang boleh menggugat keupayaan seseorang mengendali suatu keadaan.



Ahli psikologi Islam pula, al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, al-Razi dalam al-Tib al-Ruhani, Ibn Arabi dalam al-Futuhat al-Makiyyah,Muhammad ‘Uthman Najati, Muhammad ‘Izuddin Taufik, Samih Atif al-Zin dan Hassan Langgulung melihat tekanan emosi dari sudut kegelisahan jiwa manusia seperti gelisah, kecewa, bimbang keterlaluan dan takut. Perasaan itu wujud kerana hati manusia tidak beriman kepada Allah atau hati manusia tidak reda dengan ujian Allah.



Di samping itu, tekanan juga dikaitkan dengan penyakit hati seperti hasad dengki, sombong, ujub dan riak. Kisah dalam al-Quran turut menggambarkan tekanan yang berlaku kepada masyarakat. Misalnya, kisah nabi ketika menyampaikan dakwah Islamiah menerima tekanan masyarakat kufur dan peristiwa tertentu berlaku terhadap orang beriman.



Ada juga pandangan mengenai tekanan berdasarkan persepsi seseorang terhadap sesuatu perkara atau pengalaman. Mereka mengatakan, tekanan berlaku disebabkan persepsi individu terhadap sesuatu peristiwa atau pengalaman.



Pengalaman tidak menyenangkan sewaktu alam kanak-kanak seperti hukuman atau denda yang keterlaluan boleh mengakibatkan remaja mengalami tekanan.



Orang yang mengalami tekanan sering menghadapi masalah kesihatan. Mereka akan mengalami sakit kepala, lenguh badan, letih dan sesak nafas. Kajian Muhammad Shah Burhan mengenai kesan tekanan terhadap remaja dari sudut fisiologi mendapati mereka sering mengalami masalah kesihatan seperti sakit perut, sakit kepala dan bisa seluruh badan.



Simptom dan tanda fizikal lain ialah kaki dan tangan kerap berpeluh, cepat berasa letih dan tidak bermaya, tidak nyenyak tidur, berat badan susut atau berat badan naik mendadak, sesak nafas dan tangan sering menggeletar.



Tanda itu menyamai tanda dikemukakan Dr Kasmini Kassim dalam bukunya Psikiatri Kanak-Kanak, iaitu, rasa loya, sakit perut, cirit-birit, muntah, pening kepala, mulut rasa kering, degupan jantung semakin cepat, tapak tangan seram sejuk, berpeluh, kerap kencing dan rasa hendak pitam.



Menurut Muhammad ‘Izuddin Taufik dalam bukunya bertajuk al-Ta’sil al-Islamiyy lil Dirasat al-Nafsiah, antara tanda jasmani orang yang mengalami tekanan emosi akibat kerisauan keterlaluan ialah lemah badan, gangguan tidur, denyutan jantung dan pernafasan. Gangguan pergerakan seperti menggigil, suara atau teriakan, sakit mental dan fizikal seperti sakit kencing manis dan tekanan darah tinggi, hilang selera makan dan kekurangan berat badan.



Dari aspek psikologi pula, simptom tekanan boleh dikenal pasti melalui tindak balas psikologi seperti berlaku perubahan emosi, perasaan tidak puas hati, mudah marah, berasa kecewa dan berputus asa dan murung.



Pakar Psikiatrik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Ainsah Omar, dalam pembentangan kertas kerja mengenai tekanan dalam Wacana Wanita anjuran Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) 2001, menyatakan antara kesan tekanan daripada aspek tingkah laku ialah penyalahgunaan dadah, meminum minuman keras, menghisap rokok dan bermasalah dalam perhubungan sosial.



Pelajar yang mengalami tekanan jiwa juga tidak tahu cara belajar yang betul, tidak ada minat dan dorongan untuk belajar, ponteng, marah, merosakkan harta benda sekolah, merokok dan menggunakan dadah. Mereka bertindak demikian sebagai cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. penyalahgunaan dadah.



Berdasarkan simptom dan tanda tekanan, individu mengalami tekanan boleh dihidu lebih awal. Oleh itu, anggota masyarakat terutama ibu bapa, guru, rakan atau orang yang rapat dengannya boleh membantu mereka yang sedang tertekan.



Layanan emosi dan sokongan sosial keluarga terdekat seperti ibu bapa, guru dan rakan amat perlu. Memberi perhatian dan kasih sayang kepada individu mengalami tekanan boleh memberi kekuatan emosi kepada mereka.



Asas ini diletakkan al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Dan antara tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya) bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu hidup bahagia dengannya dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan kasihan belas. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)



Agama Islam menganggap asas perhubungan di antara manusia adalah berdasarkan perasaan belas kasihan serta kasih sayang sesama manusia lebih-lebih lagi antara ibu bapa dan anak.



Menurut Imam al-Ghazali, kasih sayang boleh menjinakkan hati. Ia membuktikan bahawa kasih sayang boleh melembutkan hati yang keras dan merawat perasaan tertekan. Jika perasaan kasih sayang ini luput daripada keluarga dan masyarakat, maka akan merenggangkan ikatan yang terjalin di antara mereka (ahli keluarga dan masyarakat).



Oleh itu, individu yang mengalami tekanan boleh dikurangkan melalui perhatian dan kasih sayang ibu bapa, guru atau rakan. Dengan perhatian dan kasih sayang, berasa mereka dihargai dan diberi perhatian.



Seterusnya, Imam al-Ghazali menyatakan, kata-kata lembut berisi rahmat dan kasih sayang sangat menyentuh hati dan perasaan sehingga meninggalkan kesan mendalam dan mampu mengarah kepada perubahan lebih baik.



Dalam konteks mengawal tekanan di peringkat remaja supaya anak tidak mengalami tekanan apabila berhadapan dengan cabaran hidup, di samping ibu bapa memberikan kasih sayang ibu bapa juga bertanggungjawab mengawal tingkah laku anak.



Keseimbangan perhatian dan kasih sayang dengan kawalan terhadap anak boleh memberikan kestabilan emosi kepada anak terutama anak remaja yang mengalami masa perubahan daripada pelbagai aspek.



Permasalahan berkaitan kejiwaan pada peringkat kanak-kanak dan remaja perlu diberi perhatian kerana akibat jangka panjang akan lebih buruk iaitu wujud satu kelompok masyarakat yang hidup dalam tertekan. Sudah tentu kita tidak mahu peristiwa menyedihkan seperti berlaku kepada pelajar kita di Mesir akan berulang lagi.



Penulis ialah Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia

Sunday, December 19, 2010

Terkenang-kenang

Banyak perkara yang aku nak paparkan di sini tapi disebabkan kesibukan berganda, semuanya hilang macam tu saja.

Sudah sebulan mak pergi meninggalkan kami. Rindu pada mak tak payah ceritalah. Setiap pagi, lepas Subuh aku akan call mak. Sekarang, bangun pagi aku macam terpinga-pinga. Pegang telefon, dan mulalah air mata meleleh.

Setiap hari apa saja yang berlaku dalam lingkungan kehidupan aku pasti aku akan ceritakan kepada mak. Tak pernah missed. Sekarang aku kena fikir, nak cerita pada siapa? Habisnya aku telan sendiri semua suka duka yang terjadi.

Banyak sungguh dugaan untuk keluarga kami di penghujung tahun 2010. Selepas mak meninggal, Paklang pulak sakit diikuti dengan abg dan Hermawan yang kemalangan. Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan kebaikan. Tapi hati terus berdebar sebab masih ada 2 minggu sebelum 2011 menjelma. Mohon pada Allah semoga tidak ada lagi berita-berita sedih dalam keluarga kami.

Rumah mak di GP tinggal kosong macam tu saja. Nak harapkan aku dan abg berulang kerja dari sana memang tak mampu. Selain faktor masa dan keletihan, faktor kos juga kena ambik kira. Pi mai pi mai, duit minyak kereta saja dah RM500 bila kami duduk sana. Cuma Sabtu dan Ahad sajalah yang dapat kami balik jenguk rumah mak ayah.

Aku pun kadang-kadang tak faham. Adik-adik belum ada komitmen tapi depa pun tak nak balik GP. Suka sangat depa duduk di rumah Maklang aka Tok. Aku sedih tengok rumah mak ayah yang terbiar. Harap sangat Jumaat, Sabtu dan Ahad adik-adik aku balik dan duduk di sana sementara depa masih cuti semester. Itu sajalah kenangan mak ayah yang masih ada. Tapi aku tak suka paksa adik-adik. Bagi aku depa dah besar panjang. Dah ada akal untuk berfikir mana yang baik dan mana yang buruk.

Batu nisan mak belum tempah. Rasanya dah boleh tempah, dah genap sebulan. Biasanya lepas sebulan baru boleh letak batu nisan, tunggu tanah kubur kejap dulu. Ingat hari ni aku nak balik seberang tempah batu nisan. Aku masih ingat lagi tahun lepas sewaktu kami ke kedai untuk tempah batu nisan ayah. Mak punyalah takut sampai pekedai tu nak bagi business card pun dia tak nak ambik. Tapi kita manusia, akan mati. Tengok tahun ni aku pulak buat tempahan untuk batu nisan mak. Esok-esok, adik-adik pulak tempah batu nisan untuk aku. Nasib baik kali ni mak tak wasiatkan aku suruh letak batu sungai di kuburnya. Kalau tidak jenuh aku nak cari. Dulu, untuk ayah, kawan kami yang tolong carikan. Bukan sembarangan boleh kebas batu sungai, silap haribulan ada yang ikut balik. Batu sungai di kubur ayah timbul selepas kawan aku bacakan ayat suci Al Quran masa kami sama-sama di sungai.

Ok, dah penat menaip. Iman dah seminggu tak nak tidur malam. Pukul 5 pagi baru tidur. Hari ni pun sama. Dalam masa jaga Iman, aku terlelap. Tengok-tengok Iman dah kunyah kertas resit bank. MasyaAllah. Aku korek mulut Iman, cuma dapat secebis kertas biru. Yang lagi secebis dah selamat masuk perut Iman. Ya Allah, janganlah Iman sakit perut sebab termakan kertas. Macam-macam lah.

Wednesday, December 1, 2010

Boring.

Aku terpaksa bercuti seminggu. Terpaksa ikut abg training. Boss aku macam berat nak lepaskan aku. Tapi aku buat muka tebal 4 inci. Semua sebab anak. Aku tak mampu handle Iman seorang diri. Tulang belakang dan kaki aku tak kuat. Tanpa abg, aku akan jadi statik.

Bosan amat terperap dalam hotel menanti cukup seminggu. Dengan anak ini, aku tak dapat bergerak laju-laju. Jawabnya nak makan pun kais apa yang ada. Alamak! Mulalah pening-pening, dengan tak cukup makan dan tidur.

Kalau mak masih ada, tentu seronok. Mak boleh ikut kami. Tapi perancangan tinggal perancangan. Kuasa Allah mengatasi segalanya.

Kawasan sekeliling memang mengujakan untuk orang yang suka shopping. Aku tak minat shopping, cuma rasa jugalah nak beli satu dua benda untuk Iman.

Yang teruja lebih-lebih adalah si Iman. Melompat-lompat. Aduh! Anakku, mama suka tengok Iman aktif, tapi kesianlah pada mama kodi ni.

Tapi kesian abg, demam. Mungkin letih sebab sejak dua minggu lepas memang kami sentiasa sibuk, tak sempat rehat. Tambahan pula abglah segalanya yang menjaga Iman.

Emm...macam manalah Ramli MS yang hidupnya memang di hotel. Membosankan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...