Pages

Showing posts with label kenangan. Show all posts
Showing posts with label kenangan. Show all posts

Tuesday, April 25, 2017

BLOG@DIARI

Anak aku ada menegur aku "Kenapa semua benda Mama nak masukkan ke dalam blog?"

Aku ketawa kecil. Mana ada semua benda Mama letak dalam blog. Mama letak perkara-perkara yang Mama nak ingat jer. Tambah pulak kalau resepi...memang kena letak dalam blog. Kalau tidak sah-sah akulah yang lupa pastu dok termenung pikir eh macam manalah aku masak hari tu...?

Rupanya si kecil ni pun dah ada diari sendiri. Dia kata lecehlah nak menaip kat komputer. Dia nak tulis dalam buku jer.

Aku ketawa terkekeh-kekeh baca diari anak aku yang berumur 7 tahun ni. Kelakar!

Mana tak tumpah kuah kalau tak ke nasi. Aku sendiri dari kecik dah ada diari. Yang bestnya aku akan selotapekan diari aku bila abis tahun.

Yang suka skodeng diari aku adalah arwah Mak. Pastu dia akan ketawa bila dia cerita balik apa yang aku tulis dalam tu. Pernah juga Mak menangis sebab terlalu sedih dengan luahan hati aku. Ahh! Itu yang aku tak mahu. Tapi nak buat guane. Itukan Mak aku...huhu. Sayang Mak, rindu Mak.

Saturday, June 11, 2016

Memberi Dengan Hati

Ini kisah arwah ayahku. 

Ayah berpendapatan sederhana. Kiranya cukup-cukup untuk perbelanjaan kami sekeluarga. 

Keluarga kami kecil sahaja. Aku, mak, tok dan paksu ketika itu. Adik-adik cuma wujud sebelas dan tiga belas tahun selepas itu.

Ayah pun bekerja biasa-biasa sahaja. Setiap bulan ayah akan ambil barang di sebuah kedai runcit. 

Paksu kerjanya sebagai nelayan. Kiranya ikan-ikan kami dapat secara percuma. Jimat.

Selepas ayah meninggal baru ku tahu satu kisah. Mak juga tak tahu sebelum ini.

Ayah setiap bulan rupanya belikan barang-barang keperluan dapur untuk seorang tua miskin di hujung kampung. Tak pernah miss.

Mak pun dapat tahu cerita tersebut daripada orang lain. Betapa ayah cuba merahsiakan kebajikan yang dilakukannya.

Aku kagum dengan ayah. Ayah bukanlah orang senang. Tapi ayah masih mampu membantu orang lain.

Aku masih ingat pesan ayah. Hiduplah dalam ketenangan. Ingat Allah selalu. Bantu orang sedaya yang mungkin. Bantu haiwan sedaya mungkin.

Pesan ayah selalunya pendek-pendek sahaja. Tapi meninggalkan bekas di hati. Insaf.

Ayah selalu berpesan-pesan bila aku sendirian dengannya. Ada kalanya kata-kata ayah menyebabkan aku spontan mengalir air mata mendengarnya. Kata-kata yang ikhlas dari hati amat menyentuh hati.

Aku mahu jadi seperti ayah, insyaAllah.
Memberilah dengan hati...


Tuesday, August 12, 2014

Gambar Raya Lama 1

Aku terjumpa gambar raya masa puluhan tahun yang lepas.
Gambar masa aku masih tinggal di kampung.
Aku pun dah tak tahu mana perginya kawan-kawan aku dalam gambar tu.
Indahnya saat masih kecik...

Aku, sepupu dan rakan-rakan semasa kecik.
Kami bergambar di depan rumah aku; di depan pokok ketapang yang besar.
Rindunya saat itu. Keliling kampung kami ronda kutip duit raya.



Friday, August 16, 2013

Pulau Betong & Siput Belitong

 Iman di kawasan Bakaq Kapoq, Pulau Betong.
 
 Tenang suasana di sini...dengan bayu laut bertiup lembut.
 
 Ternampak anak-anak siput Belitong@siput sedut.
 
 Iman menjerit takut nak dekati siput Belitong. Dia takut siput makan dia...isyhh banyak sangat tengok kartun ni hehe...
 
 Siput Belitong aka Siput Sedut.
 
 Iman tergaru-garu kepala melihat anak-anak siput Belitong yang banyak.
 
Berpadanan dengan nama Pulau Betong, memang banyak siput Belitong kat sini. Sedapnya kalau masak lemak. Nyum nyum. Sekian.

Thursday, April 11, 2013

Musim Hujan

Hari ini seperti petang semalam, hujan selebat-lebatnya.

Iman demam. Muntah. Mungkin disebabkan faktor perubahan cuaca.

Seronok bila hujan, suhu akan jadi sejuk, mata pun lali-lali. 

Pagi-pagi bising burung berkicauan. Mungkin mereka pun seronok dengan cuaca sejuk di waktu pagi.

Terkenang aku masa kecil dahulu. Kalau hujan tak henti selama seminggu, hutan nipah di sebelah rumahku pasti digenangi air jernih.

Bila hujan dah berhenti, kami sekampung seakan berpesta mandi-manda di dalam air bah yang jernih di dalam hutan nipah tersebut. 

Masa tu boleh nampak ikan berenang-renang. Kalau bernasib baik, ular sawa  tumpang berenang. Lari tak cukup tanah semua orang.

Aku jarang diberi kebenaran oleh mak dan ayah untuk turut sama mandi-manda di situ. Seingat aku dua kali sahaja aku mendapat kebenaran. Yang selebihnya aku akan duduk di atas kolah simen sambil tersenyum-senyum melihat kegembiraan mereka yang lain bermain air.

Di kala hujan lebat, jika aku di rumah, aku pasti akan menyanyi sekuat hati. Seronok. Tika tu aku boleh menyanyi dengan bebas tanpa sesiapa pun yang mendengarnya. 

Itu dulu...

Saat ini...bila hujan menitis laju, selaju itulah juga segala kenangan membasahi kotak ingatanku ini.



Monday, February 28, 2011

Sagon

Aku teringin sangat nak makan sagon, macam yang arwah tok aku buat dulu-dulu. Ini sagon yang buat dengan kelapa, gula dan apa ntah satu bahan lagi. Biasanya arwah tok akan jemur, goreng dan tumbuk bahan-bahan ni untuk dibuat sagon.

Kemudian tok akan bungkus sagon dalam plastik aiskrim Malaysia. Aku pulak akan makan sagon sambil main dengan kawan-kawan di depan rumah.

Cuma satu, kalau makan sagon dilarang bercakap. Sat lagi habis bersembur keluar sagon dari mulut ke muka kawan.

Eh! Apasal pulak tiba-tiba teringin sagon...hehe.

Sunday, March 28, 2010

Masa Kecil

Orang kata saat paling indah adalah masa kita kecil. Masa tu tak ada perkataan MASALAH dalam kamus hidup kita.

Masa kecil kita tak pandai berpura-pura atau bermuka-muka.

Kalaulah boleh jadi kecil selamanya...

Tuesday, December 8, 2009

Rock Lagik!

Ayah bagi duit belanja sebanyak RM1 setiap hari untuk aku ke sekolah. Jumlah tu nampak banyak untuk budak sekolah rendah di zaman 80an. Tapi hakikatnya tolak duit bas pergi balik, aku cuma tinggal tiga puluh sen untuk makan. Sepuluh sen untuk sirap, sepuluh sen untuk mee goreng atau nasi lemak. Sepuluh sen lagi untuk berfoya-foya (rasa dah habis hebat time tu).

Tapi aku simpan duit sepuluh sen tu untuk lengkapkan misi aku. Misi nak beli kaset rock. Kadang-kadang aku cuma minum sirap, bawa bekal nasi lemak sardin yang Wa buat. Jadi jimat dua puluh sen.

Sebelum naik bas untuk balik, aku jalan lajak sikit dari stesen bas ke kedai jual kaset. Aku ingat lagi Cina yang jual kaset ni selalu tersenyum manis dengan dua lesung pipit di pipi..eeeuuii.

Aku akan belek-belek kaset rock kat situ. Sambil chup kaset mana yang aku nak beli. Nak beli, bukan boleh beli lagi. Kemudian aku akan bagitahu cina lesung pipit tu..."Simpan kaset ni untuk saya na...nanti saya mai beli."

Cina kalau menjual memang bagus. Dia angguk-angguk dan senyum sambil beri keyakinan kepada aku yang dia akan simpankan kaset itu untuk aku. Kalau orang Melayulah yang si penjualnya, mesti aku dah kena gelak. Dahla pakai uniform sekolah rendah.

Berpeluh aku simpan duit. Lebih dari sebulan jugalah baru aku mampu beli kaset yang berharga rm10 masa tu (murahkan!). Cina lesung pipit tu gelak saja pada aku time aku beli kaset yang aku suruh dia simpan. Kemudian pada masa yang sama aku suruh dia simpan kaset yang lain pulak. Itu untuk stok 2-3 bulan lagi. Sebelum bawa balik kaset, Cina tu akan testing dulu kaset yang aku beli. Bestnya dengar lagu berdentam-dentum. Kaset pertama aku beli, Search dan kompilasi lagu-lagu hitnya.

Balik rumah aku termenung. Nampaknya aku kena simpan lagi kaset yang aku beli. Di rumah aku tak ada radio kaset. Macam mana aku nak dengar lagu-lagu dari kaset tu. Ciss! (Masa aku tingkatan 2 barulah ayah belikan aku radio kaset...dapatlah aku dengar semua kaset yang aku beli).

Cerita aku sebijik macam cerita Kami lakonan allahyarham Sudirman. Hehe.

Dan jangan terkejut kalau time tu aku dah kenal Akil Hayy yang menganggotai kumpulan D'Riyadh....dengan alunan suara nak terkucilnya "Di Alam maya ini.....harta dan harga diri.....bukanlah mainan....tapi kenyataan...bla bla bla...." Blah ler lu Akil Hayy.

(Sepupu aku sarankan aku pada masa tu beli kaset di pasar malam...cetak rompak...rm5. Eee tak rockla main cetak-cetak rompak nih).

Saturday, December 5, 2009

Ex-Boyfriend

Disebabkan aku rock, aku kena ada boyfriend yang rock juga. Kawan-kawan aku semua ada boyfriend time tu. Aku pun ada...tapi sembunyi-sembunyi.

Kawan-kawan aku simpan gambar boyfriend depa dalam purse. Aku pulak simpan gambar boyfriend aku dalam wallet. Huh! Different kay. Tapi aku tak pernah tunjuk gambar boyfriend aku pada sesiapa pun hatta pada sahabat baik aku sendiri. Percintaan itu satu rahsia, antara aku dan dia saja. Indahnya.

Suatu hari ada spot-check. Ha! Semua purse kena geledah termasuk wallet aku. Yang mana ada gambar semua kena rampas. Merah juga mata kawan-kawan aku menahan sedih sebab gambar boyfriend depa kena rampas.

Aku? Masih senyum lebar. Gambar boyfriend aku tak kena rampas pun. Cuma cikgu yang buat spot-check berkerut tenung gambar boyfriend aku dalam wallet. Kemudian wallet aku dipulangkannya.

Kawan-kawan ramai yang tak puas hati. Depa datang nak tengok gambar dalam wallet aku. Mahu tak mahu terpaksa aku tunjukkan. Depa macam cikgu tadi gak, berkerut dahi lalu berlalu tanpa berkata apa-apa.

Sah. Cikgu dan kawan-kawan aku memang tak kenal boyfriend aku yang cukup gah time tu. Hahaha.
Time tu aku tengah angau dengan Jon Bon Jovi.



Friday, December 4, 2009

Aku nak Rock!

Masa umur aku 12 tahun, aku rasa aku paling rock. Aku suka dengar lagu-lagu rock, Melayu ada, English pun ada. Budak-budak sebaya aku time tu tak reti pasal rock lagi...aku dapat ilham rock ni kat mana pun aku tak tahu. Mungkin sebab perangai aku, aku tak suka sama macam orang lain. Apa aku buat, aku nak lain dari yang lain. Sampai pakaian pun lain daripada kawan-kawan aku (sekarang kalau tengok semula gambar lama...sakit perut aku gelakkan diri sendiri).

Kalau dah nak jadi rock, rambut kena rock. Sebelum ni tukang gunting rambut aku adalah Mak. Mahu tak mahu Mak akan paksa gunting rambut. Lawa tak lawa nasibla. Cakap banyak, silap-silap gunting Mak singgah kat 'jugular vein' aku....Eee ngeri. Mak aku komando. Semua orang dah tahu.

Satu hari tu aku 'plan' tak nak kasi Mak gunting rambut aku. Mak gunting rambut aku tak rock. Macam budak pompuan yang nak pakai riben besar atas kepala.

Nak pergi kedai gunting, duit mana ada. Jadi aku ambik cabaran menggunting rambut sendiri. Yeah! Rock! Aku berdiri di depan cermin dengan gunting. Aku pun mulala menggunting ikut hati rock aku. Kejadian ni berlaku di Sg Ara, rumah Tok. Adik An tukang tunggu aku gunting rambut.

Selesai misi aku, aku sengih puas. Aku rasa dah abis rock dengan rambut ada ekor kuda kat belakang, panjang di depan, rapat sebelah tepi.

Masa turun ke dapur, Mak jeling rambut baru aku. Aku dah cuak. Ada instinct tak best dalam hati aku. Mak dok perati saja aku tak lepas-lepas. Aku buat-buat tak nampak sambil ajak Adik An dok luar rumah.

"Bearcat! Hang mai sini!," kedengaran suara komando Mak aku menjerit.

Mampus!

Di belakang rumah dekat pokok-pokok pisang, Mak ketong rambut aku macam tikus gigit labu. Tanpa belas kasihan dan tanpa skill. Main redah saja gunting. Sambil menggunting kepala aku disenyoh-senyoh. Sakit siot! Mulut tak payah cakapla....macam M16. Pekak seketika telinga aku.

Adik An cuma mampu berdiri tercegat tengok aku kena 'belasah' dengan Mak. Aku diam, tahan air mata daripada mengalir. Tak rock la menangis. Dalam hati punya meradang Tuhan saja yang tahu.

Kemudian Mak tinggalkan aku dan Adik An. Aku tengok cermin. Rasa nak meraung. Masa tu menitis gak air mata aku. Rambut aku dah panjang pendek, tinggi rendah entah macam hapa-hapa.

Maksu kata kesian sambil dok gelakkan aku. Masa tu aku rasa nak tumbuk semua orang.

Kemudian aku mengamuk. Mana boleh aku pergi sekolah macam tu. Ni bukan rock...ni rambut orang gila! Akhirnya Mak membebel-bebel marah, kasi aku duit. Aku dan Adik An jalan kaki ke kedai gunting rambut Tai Chang. Sambil berjalan, muka aku merah tahan marah. Malu beb kat orang di pekan Sg Ara.

Kesudahannya Tai Chang pun tak leh nak adjust banyak sangat rambut aku. Rambut aku tetap senget.
MAkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkk!

(bukti bergambar ada...tapi aku tak sanggup letakkan di sini)

Thursday, October 29, 2009

Kerjaya Silih Berganti 3


Pekerjaan ketiga aku ini mengajar aku erti sebenar perkataan "kuli Batak". Daripada mulanya hatiku ikhlas terus jadi hampas.

Itu bukan masalah. Ini semua pengalaman. Bukan senang mahu dapat pengalaman jadi "kuli Batak". Sampai masa, aku tahu, aku perlu mengundur diri.

Aku perlukan ketenangan.

Malas pula aku nak cerita kerjaya ketiga ini.
Takut-takut aku hilang pertimbangan dan siapkan patung vodoo.
Yang mungkin aku akan rendamkan patung vodoo itu ke dalam lubang tandas.
Biar orang tersebut berbau busuk selamanya.
Kejam pulak aku.

Wednesday, October 28, 2009

Kerjaya Silih Berganti 2



Aku berhenti saja kerja di selatan tanahair terus aku dapat kerja di Penang. Atas pertolongan kawan akulah aku dapat kerja tersebut. Walaupun kerja kontrak, aku tak kisah. Asalkan aku terus dapat bekerja.

Kerja kali ni memang aku idam-idamkan. Banyak 'field work'. Maksudnya tidaklah aku terperap di pejabat setiap masa. Macam kerja pertama aku jugak. Ada masa aku terpaksa berpanas, bersengkang mata.

Tiap-tiap bulan mesti 'outstation' untuk buat 'sampling'. Walaupun aku masa tu tak dapat 'claim' satu habuk pun. Memang aku kerja ikhlas betullah. Tak kira Sabtu atau Ahad.

Gaji aku memang sikit sangat-sangat. Aku dibayar ikut gaji budak lepasan SPM. Jangan tak percaya. Tapi tak ada pula aku nak memilih. Yang penting pengalaman yang aku dapat.

Janji bos baruku dia mahu serapkan aku terus ke jawatan tetap. Tapi katanya aku harus bersabar.

Aku sebenarnya dah merangkap jadi macam 'Personal Assistant' pada bosku. Rakan-rakan yang bekerja sekali denganku ada juga lafazkan simpati atas nasib aku. Sudahla gajinya ciput, kerja boleh tahan. Bila aku beritahu pada kawan yang 'recommend' kan pekerjaan ini pada aku, dia pun terkejut. Banyak kali juga dia 'sound' bos aku suruh bayar aku lebih. Tapi alasan bosku, tak cukup duit. (kawanku itu setaraf dengan bosku, bolehla main 'sound-sound' saja).

Aku 'enjoy' bekerja bila dapat buat 'sampling' di kawasan-kawasan terpencil. Lupa pasal gaji dan penat. Satu saja yang buat aku cuak. Bila mahu buat 'sampling', biasanya kami akan menaiki bot. Semua orang berlenggeng tak pakai 'life jacket'. Aku yang tak pandai berenang ni hanya mampu berdoa banyak-banyak. Aku tahu yang lain-lain tu memang hebat berenang. Tu yang dorang selamba jer.

Sampai satu masa, rakan yang bekerja kontrak denganku mula mengorak langkah mencari kerja tetap yang lebih menjamin. Aku turut serta. Dalam hati niatnya saja suka-suka. Aku masih berpegang pada janji bosku. Yang seorang lagi pulak nekad mahu terus sambung kontrak sampai terus diserap ke jawatan tetap.

Aku dipanggil temuduga di Putrajaya untuk jawatan dalam kerajaan. Aku hadir juga walaupun aku hatiku berat mahu terima kerja tersebut. Dengan alasan takut kena 'blacklist', aku dan Abg 'terbang' malamnya dan balik selesai temuduga. Berat bagiku untuk menerima jawatan tersebut kerana setiap 5 tahun aku akan dipindahkan di mana-mana negeri di Malaysia ini. (Syukur, kawan yang terima jawatan tersebut dah 3 kali pindah dalam tempoh 6 tahun). Aku perlu fikirkan tentang suamiku. Berjauhan bukanlah sesuatu yang baik untuk perhubungan jangka masa panjang. Banyak perkara mungkin terjadi.

Dalam jangka masa aku bekerja kontak ini juga, Mak selamat menjalani pembedahan. Alhamdulillah, tak sia-sia aku berhenti kerja dulu. Aku dapat menjaga Mak di rumahku.

Kali ini permohonan kerja yang aku kata suka-suka saja itu berjaya. Aku mula serba-salah. Mahu terima atau tidak. Jika aku terima jawatan tersebut, aku akan bekerja tetap dalam perkhidmatan kerajaan dan dapat terus menetap di Penang. Masalahnya aku tidak suka akan kerja tersebut (ya, memang betul...aku gatal tangan memohon masa tu). Abg dan keluargaku memang marahkan aku sebab memohon kerja yang menyimpang betul daripada kelulusanku.

Rakan yang memohon bersama-sama denganku turut berjaya mendapatkan kerja tersebut. Rakanku berkata ini kali keempat dia memohon baru dapat. Tak puas hati betul dia pada aku kerana sekali memohon terus diterima. (nak buat macam mana...dah rezeki kan).

Akhirnya aku buat solat isthiqarah. Tiga kali aku mendapat jawapan yang sama. Aku harus berhenti kerja kontrak dan terima jawatan baru itu. Aku ikut saja petunjuk yang Allah dah beri. Moga ada rahmat buatku.

Bosku terus memujukku. Aku cuma mampu tersenyum. Aku terpaksa. Aku perlu teruskan perjuangan untuk hidup dan membantu keluargaku sedikit-sebanyak.

Akhirnya sekali lagi aku berhenti kerja dan terus bekerja di tempat baru. Setelah 3 tahun bekerja, rakanku yang tekad untuk menyambung kontrak dengan harapan diserap ke jawatan tetap itu ada menelefonku. Dia juga telah berhenti kerja dan bekerja di tempat lain. Memang dorang tidak menunaikan apa yang dorang janji. Dan pada masa itu, aku rasa teramat lega. Tidak silap keputusan yang aku telah buat.
Bersambung....

Monday, October 26, 2009

Kerjaya Silih Berganti




Setiap orang pasti mahu kekal dalam satu kerjaya saja jika kerjaya tersebut benar-benar membuatkan dia dapat bekerja dengan gembira setiap hari.

Aku, baru 7 tahun bergraduat, tapi sudah 4 kerja silih berganti. Bukan kehendakku. Keadaan memaksa. Banyak faktor yang terpaksa difikirkan apabila terpaksa membuat pilihan untuk menukar kerja.

Cuak? Sudah pasti. Siapa yang tidak cuak bila terpaksa memulakan sesuatu dari A semula dan terpaksa membiasakan diri dengan majikan yang baru, suasana kerja yang baru; juga teman-teman yang baru.

Kali pertama bekerja aku tercampak jauh di selatan. Betul-betul jauh, di kawasan yang kiri kanannya ladang kelapa sawit dan berbukit-bukau. Tapi aku suka suasana ladang yang penuh ketenangan. Paginya sangat sejuk, malamnya sangat sepi.

Aku ditempatkan di kuarters pekerja yang tidak jauh dari kilang dan pejabat. Sebelah rumahku ialah rumah pekerja bawahanku; beberapa orang pemuda dan seorang pengurus kilang. Terdapat sebuah rumah pekerja lagi yang terletak berhampiran ladang. Kesimpulannya, semua yang tinggal di situ ialah lelaki kecuali aku dan rakan serumahku.

Bosku memang seorang yang baik. Lelaki Cina, 50-an yang bersikap agak 'tradisional' dan menggemari kecantikan (dalam erti kata yang lain dia seorang Cina 'alim'). Pejabat yang lengkap dengan kemudahan rumah selalu dijadikan rumah keduanya apabila dia sibuk menguruskan urusan kerja. Maksudnya dia akan tidur di situ pada malam-malam tertentu.

Aku gembira bekerja di situ. Tak perlu terlalu formal. Cukup setiap hari aku memakai jeans, kemeja dan kasut boot. Alatan 'make-up' boleh disimpan di dalam peti besi (aku memang tak pakai alat-alat 'make-up'). Tapi perlu 'cleanser' dan 'facial wash' kerana setiap hari aku akan pulang dalam keadaan yang 'comot' dan berpeluh-peluh.

Waktu kerja juga panjang, jam 7.30 pagi aku sudah keluar dari rumah dan 7.00 malam baru aku bergerak pulang. Semua itu tidak terasa kerana suasana kerja yang sungguh aman bagiku. Kalau diikutkan memang meletihkan apabila aku terpaksa berulang-alik berjalan kaki sekitar kawasan ladang setiap hari. Peluh tak payah cerita, mencurah-curah. (Waktu kerjaku tiada had. Pernah aku terpaksa berjaga pukul 12 tengah malam untuk bekerja sampai ke pagi).

Walaupun begitu, di  hati aku tetap teringatkan Abg di rumah dan Mak yang ketika itu sakit jantung yang kronik. Berjauhan dengan orang tersayang itu amat menyakitkan sebenarnya.
Namun aku pujuk hatiku kerana menurut Bosku, setahun saja aku bekerja di situ, dia akan memindahkan aku ke ibu pejabat yang terletak di Pulau Pinang.

Untuk mencari kedai makan di daerah itu agak sukar. Yang ada cumalah kedai makan kecil, diusahakan oleh orang kampung. Lauk pun boleh dikira, tak sampai sepuluh jenis. Kedudukannya agak jauh dari ladang. Mahu tak mahu, penat atau tidak, kami terpaksa memasak setiap hari dengan sumber yang agak terhad. Tapi itu tidak menjadi masalah. Bila badan terlalu penat, apa saja yang dimasak semuanya menjadi amat sedap.

Dengan alasan itu juga aku terpaksa membeli kereta walaupun baru bekerja. Rakanku memang sudah berkereta tetapi dia asalnya orang situ biarpun daerah yang lain. Jadi dia kerap pulang ke rumah dan meninggalkan aku seorang diri di rumah. Tentulah payah bagiku untuk bergerak ke sana ke sini bila dia tiada.

Ikut hatiku, memadailah dengan sebuah motorsikal. Cuma Abg bimbangkan keselamatan diriku bila aku perlu keluar ke kedai sendirian; ialah dengan kiri kanannya berbukit dan ladang kelapa sawit. (Hari pertama aku memandu sendirian ke bandar selepas menghantar Abg pulang, ada rasa takut dan seram apabila terpaksa meredah ladang kelapa sawit dalam hujan lebat dan banjir. Bergenang juga air mata sebenarnya sambil hati tak henti berdoa agar tidak ada kejadian buruk yang berlaku sepanjang perjalananku).

Sehinggalah terjadinya satu peristiwa yang membuatkan aku terus nekad untuk berhenti kerja. Apa jadi pun, aku mahu pulang.

Malam itu seperti selalunya, aku tinggal sendirian melayan siaran televisyen yang sekejap ada, sekejap hilang. Rakanku asal hari Sabtu pasti dia pulang ke kampungnya. Dia ada mengajak aku ikut sekali, tetapi aku tak mahu. Aku tak selesa tidur di rumah orang. Biarlah aku sendirian di rumah. Boleh juga aku berehat.

Telefon bimbitku berdering. Rupanya bosku menelefon dari pejabat. Dia minta aku segera ke pejabat, ada hal katanya.(liputan telefon bimbit juga tidak berapa baik di sini, kadang-kadang terpaksa aku bercakap di luar rumah untuk mendapatkan liputan yang lebih baik).

Sesampai di pejabat aku lihat bosku sedang menungguku. Diajaknya aku masuk ke bilik komputer. Di tangannya ada sekeping cd.

"Tolong, I mahu tengok cd ni malam ini. I orang tua, tak pandai mahu operate ini komputer. Nanti u ajar i sekali ok cara mau pasang cd."

Aku hanya mengangguk sambil mengambil cd yang dihulurkan kepadaku.

Seketika jantungku berdegup kencang. Oh Tuhan! Aku memandang cd tersebut. Kemudian ku pandang wajah Bosku. Kemudian ku pandang sekeliling ruang dalam bilik. Aku dan dia sahaja di dalam bilik ini.

Aku pura-pura tenang dan memasukkan cd dalam cd drive. Entah apa yang aku buat, aku sendiri tak tahu. Fikiranku dah melayang pada setiap langkah silat dan wajah Abg.

"Tak bolehla bos. Cd rosak ni."

"Aiya, i baru beli sudah rosak. Penipu betulla orang jual cd ni."

"Err berdosa bos tengok cd macam ni. Tuhan lagi tau. Itu sebab tak boleh buka."

"Hehehe tiapa-tiapa (tidak apa), i mahu syok-syok saja...ini baru level 3. Ok, u boleh balik tido. Tido baik-baik."

Aku rasa mahu pecut macam Usin Bolt saja masa tu. Tapi aku terus 'control macho'. Walhal aku dah berpeluh-peluh. Menggeletar aku 'call' Abg malam tu. Dan terus aku buat keputusan mahu berhenti kerja.

Ya, aku berhenti kerja tidak lama selepas peristiwa itu. Abg yang tolong karangkan 'resign letter' untuk aku. Walaupun bosku berat hati mahu melepaskan aku. Dia cuba 'up' kan gaji aku tetapi aku tetap geleng-gelengkan kepala.

Biarlah aku cari kerja lain. Yang penting keselamatanku lebih terjamin dan aku dapat tinggal bersama orang yang aku kasihi.

Oh, malam itu sebenarnya bosku yang 'alim' itu meminta aku memasang cd porno untuknya. Itu yang buat aku rasa mahu hempuk kepalanya dengan 'keyboard'. Dan malam itu juga baru aku tahu cd porno ini ada 'level' 1-5. Aku juga sebenarnya menipu bosku dengan mengatakan cd yang dibelinya rosak. Biarlah...diakan buta IT :) Bersambung....

Thursday, October 22, 2009

Megi itu Enak!


Bila terbaca dalam blog Izat, aku tersenyum sendirian. Terkenang zaman 'study', zaman poket sentiasa kering, makan apa saja yang termampu.

Megi...memang masa tu megi adalah makanan asasi bagi student macam aku. Cuma disebabkan perut aku sensitif, aku terpaksa tolak Megi ke tepi. Alternatif lain ialah biskut kering atau nama lainnya roti empat segi (Abg selalu pelik....katanya...itu bukan roti, itu biskut), telur, kicap dan sos.

'Coursemate' aku dulu seramai 57 orang; 4 India, 11 Melayu dan selebihnya Cina. Semua 'kaki Megi' kecuali aku. Setiap hari ada yang makan 2 bungkus Megi untuk kenyangkan perut supaya boleh terus berjaga malam untuk 'study'. Dorang akan beli Megi secara pukal, dalam kotak.

Tapi dorang tetap pandai, cemerlang dan berjaya. Sekarang masing-masing kalau bercerita semula zaman 'study' yang susah pasti semua akan tergelak-gelak. Kelakar pun ada bila masing-masing cari saja jalan untuk jimatkan duit. Duit yang ada digunakan untuk beli buku (yang kebanyakan 'zerox', sebab murah).

Aku terliur tengok Megi cuma tak daya nak tahan sakit perut lepas makan. Mahu tak mahu, aku cicah saja biskut kering dengan air kopi. Ok apa. Kenyang. Sekali makan hampir 10 keping biskut kering. Hehe memang banyak. Penat dan lapar selalunya lepas 'rotation'. Selalunya ayah akan beli satu tin besar biskut kering buat bekalan untuk aku. Alhamdulillah perut aku baik, tak menyusahkan aku mahu makan yang bukan-bukan masa tu. Perut aku pun tahu aku tak banyak wang.

Nak dibandingkan dengan budak-budak zaman sekarang, dorang terlalu mewah. Tengok 'handphone' dorang pun lebih hebat daripada orang yang dah bekerja. Harapan aku, dorang pun belajar dengan hebat juga.


"Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian"

Harapan aku lagi, jangan sampai pepatah ini jadi sebaliknya.

Monday, October 19, 2009

Cinta Pertama - Hattan




Dengar-dengar lagu ni ditujukan untuk bekas isterinya...emmm.
Tapi sedap lirik lagu ni....huhu.

Thursday, October 1, 2009

Band Orang Buta

Kisah masa aku berumur 14 tahun. Masa untuk gila-gila remaja. Bila teringat semula rasa nak gelak pun ada, malu pun ada.

Aku bersekolah di sekolah yang semua pelajar perempuan. Jadi, aku adalah salah sorang jagoan. Ada saja apa-apa acara untuk sekolah, asyik-asyik muka aku jer ada. Yelah, budak berani...kebanyakan kawan-kawan aku yang lain penakut dan malu. Aku tak tahu malu sebab semua perempuan.

Cikgu Sainsku dah suruh aku menyanyi lagu Richard Marks dengan iringan piano sahabat baik aku. Practiselah kami seminggu gak ler. Untuk makluman, suara aku bukannya sedap tapi aku suka menyanyi...dan berani....redah jer lah. Persembahan ni sempena Hari Penyampaian Hadiah yang akan dihadiri oleh ibu bapa juga.

Tiba hari yang dinantikan, sahabat baik aku kematian atuknya. Jadi tak dapatlah dia hadir ke sekolah. Aku ingat oklah, tak payahlah aku menyanyi lagi di atas pentas.

Rupanya sekolah aku ada menjemput band pengiring dari sekolah cacat penglihatan. Cikgu Sains ku masih tak puas hati. Akhirnya dia suruh aku naik juga ke pentas untuk menyanyi.

Alamak!

Aku pun melangkah naik ke pentas. Dari atas pentas nampaklah wajah Mak dan Izat. Mak dah dok tergelak, gelak. Izat kecik lagi masa tu...dia seronok tengok kakak dia atas pentas.

Aku toleh belakang, eh eh comel-comel pulak budak band pengiring ni walaupun depa cacat penglihatan. Akhirnya aku buat perubahan drastik. Aku bisik pada ketua band, aku nak nyanyi lagu "Suci Dalam Debu" daripada kumpulan Iklim. Masa tu lagu ni belum popular. Aku saja keja terlalak kat rumah sebab awal-awal aku dah kumpul duit dan terus sambar kaset pertama Iklim bila ianya dilancarkan.

Konfiden jer budak band ni angguk-angguk. Tapi dorang suruh aku start nyanyi dulu.

Aku start nyanyi, baru muzik masuk.

Hahahaha....hancur! Berterabur! Aku nyanyi ke mana, depa main muzik ke mana. Rupanya depa tak familiar dengan lagu tu. Ish awat tak habaq kat cek awai-awai!

Aku perabih gak nyanyi walaupun aku dah tak tahan nak gelak + nak nangis sebab kesian kat depa di belakang aku. Aku tengok mak aku dah pulun gelak. Kawan baik sekampung aku dah sampai nangis-nangis...bukan sebab lagu tu sedih tapi sebab gelak kuat sangat.

Abis lagu cepat-cepat aku turun pentas. Aku bantai gelak di belakang pentas. Kemudian datang Cikgu Sains aku. Aku kena marah sebab pandai-pandai pi ubah lagu. Aku cuma diam dan terus gelak.

Kawan-kawan sekelas semua tanya aku, lagu apa aku nyanyi? Depa tak tau pun.
Mak pulak tak abis gelak, dia kata aku buat naya kat budak-budak buta tu.

Tapi lepas pada tu lagu "Suci dalam Debu" terus 'meletup'.

Salah satu faktornya akulah tu...dibantu oleh band orang buta.

Tak caya? Percaya sajalah kan bang? hahaha.

Thursday, September 10, 2009

Rindu yang Tak Pernah Padam

Rindunya aku nak kembali bersilat. Dah lebih 10 tahun aku tinggal terus silat. Bukannya benci tapi keadaan yang tak mengizinkan. Sebenarnya abg yang tak izinkan aku bersilat lagi bila aku berkahwin.


Aku kenal silat masa berumur 13 tahun. Sebelum tu aku memang aktif bersukan di sekolah. Bila dah kenal silat, aku mula jatuh cinta. Jatuh cinta yang melampau. Ayah memang galakkan aku masuk silat, mak kurang sikit tapi mak tak membantah. Asalkan pelajaran aku tak terganggu dan aku tahu jaga diri.

Memanglah aku berangan-angan mahu kahwin dengan orang yang sehaluan dengan aku, pandai silat. Jadi taklah hilang terus seni itu dari dalam diri ini. Tapi muka macam aku ni, budak-budak yang join silat sama aku pun tak pandang. Dahla pakaian pelik berbanding org lain (mak la ni....aku terpaksa pakai apa saja yang mak beli tanpa bantahan...mana ada duit nak cakap banyak-banyak). Kesian kat aku hehe dok admire kat org senyap-senyap, habuk pun tarak (masa tu la).

Lepas aku kahwin aku baru tahu... Abg rupanya memang tak reti dan tak minat langsung dengan seni mempertahankan diri. Minatnya cuma pada bola. Kalau boleh main bola, kaki sampai bengkok pun tak apa.

Aku ajak juga abg untuk join kelab karate berhampiran. Sebelum ni pun aku memang ada belajar karate, ingat mau sambung lagilah. Abg sengih-sengih saja. Akhirnya abg suruh aku ajar dia langkah silat. Aku pun apalagi seronoknya bila abg tunjuk minat (sebenarnya abg cuma nak ambil hati aku kekeke).

Maka bermulalah sesi pengajaran dalam rumah. Aduhai, bila nak lentur pokok buluh bukannya senang. Last-last jadilah sesi itu sesi gelak guling-guling dan aku naik angin tumbuk abg mana yang sempat. Benci betul bila aku ingat saat tu kekeke. Dahla banyak komen, kuda-kuda macam kambing-kambing, lagi mau gelak-gelak.

Dua, tiga kali aku ajar abg akhirnya aku 'surrender'. Bagi dia main bola cukuplah. Akhirnya keinginan aku terpendam macam tu saja. Yang boleh aku buat cumalah merindu. Pantang dengar gendang silat, aduh...tak dapat tahan kaki nak sepak-menyepak.

Last sekali aku tengok persembahan silat masa kenduri Fatimah. Masa tu aku sibuk tolong sendukkan lauk-pauk untuk tetamu. Bunyi saja muzik silat, aku dah tak senang duduk. Jenuh gak nak seka air mata yang tiba-tiba meleleh-leleh tak semena-mena. Dahla tangan nak senduk lauk...ciiit. Rupanya abg rakamkan persembahan silat tu. Dia tahu aku rindu sangat nak bersilat. Balik rumah abg tunjukkan pada aku. Terubatlah sikit rindu ni.

Abg pernah suarakan aku sebab apa dia tak suka silat. Katanya budak silat ramai yang kerek, perasan hebat dan selalu cabar orang untuk bergaduh. Memang betul pun. Aku tak nafikan segelintirnya memang macam tu. Nak buat macam mana, hati manusia ni kan lain-lain. Tapi janganlah kerana seorang abis semua orang silat diborong suka gaduh. Kesian aku. Aku tak suka gaduh. Tapi aku pernah angkat meja dan lempar pada budak lelaki kelas aku, dan aku tumbuk perut dia. Memang betullah kot. Hehehe dah org mula dulu, kita balas sajalah.

Nanti bila ada anak, aku nak anak aku kenal silat sebelum dia kenal seni mempertahankan diri yang lain-lainnya. Walaupun abg tak setuju, aku akan pujuk abg. Kita ambil sajalah yang putih, yang hitam tu kita tolak-tolaklah ke tepi. Kita boleh buatkan bang?

Terlalu banyak kenangan aku dan silat, terlalu. Walaupun silat pernah buat aku menderita tapi itulah bila dinamakan cinta...cinta itu memang buta.

Wednesday, September 9, 2009

09092009

Hari ini aku bagai tergamam.
Seolah tarikh ini memang sengaja dipilihnya.
Ya Allah...

Air mata aku gugur membasahi pipi.
Kenapa?
Setelah 10 tahun berlalu.


Thursday, August 27, 2009

Makruh

Kalau berkumur tak batal puasa cuma makruh. Balik dari sekolah aku cepat-cepat salin baju, mandi (mandi lama-lama). Kemudian dengan kadar segera aku mendapatkan peti sejuk.

Nah...baru ilang penat tanpa membatalkan puasa. Aku ke dapur, berkumur-kumur menggunakan air sejuk dalam peti sejuk. Nyaman.

Kemudian terasa telinga aku ditarik. Adoi. Nasib baik aku tak ambil lebihan air oren Sunquick dalam peti sejuk buat berkumur.

 Emm abis-abis, kaedah lain aku guling-gulingkan badan di atas lantai simen macam hantu guling. Aaa rasa nyaman jugak. Sampai sekarang tabiat guling-guling masih diteruskan. Diiringi bebelan daripada mak. Tak makruhkan guling-guling atas simen? hehe.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...