Pages

Showing posts with label makan-makan. Show all posts
Showing posts with label makan-makan. Show all posts

Sunday, May 7, 2017

BURGER KETAM KULIT LEMBUT


Hai! Nama saya Burger Ketam Kulit Lembut. Apa? Tak pernah dengar? *sigh*

Ini rupa saya di dalam kotak. Entah kenapalah tuan yang beli tak nak makan saya di kedai...Saya ni bila sejuk agak kaku dan kurang sedap sikit.


Ini pulak saya yang sudah dipindahkan ke atas pinggan. Kenapalah tuan ni tak makan-makan lagi saya? Saya makin sejuk dan kaku ni...


Eh! Eh kacak sangat ke saya ni sampai tertunduk-tunduk tuan ni snap gambar saya. Ok, saya beraksi macho sikit...

*Pelik untuk aku Burger Ketam Kulit Lembut. Macam gabungan yang tak berapa serasi walaupun burger tu sosnya sedap; ketam pun sedap. 

Akhirnya aku makan burger dan ketam berasingan kekeke.

Burger Ketam Kulit Lembut ini boleh didapati di KOPPI Station, Bertam. Boleh cari di dalam applikasi Waze. Kopi dan makanan kat situ sedap-sedap. 

Wednesday, March 22, 2017

AGAR-AGAR KU SANGKA TELUR


Suatu petang Abg singgah membeli kuih-muih di sebuah gerai di tepi jalan. 

Mulanya aku ingatkan ini ialah kuih telur hehehe. Mati-mati aku ingatkan depa kukus dua biji telur dalam bekas plastik tu.

Rupa-rupanya ini adalah agar-agar. Yang macam kuning telur tu adalah agar-agar berperisa oren. Kreatif betullah depa ni :-)

Thursday, October 27, 2016

SALTY CAKE - KING'S

Ternampak ada kek baru di King's. Aku jadi tertarik untuk mencuba. Namanya Salty Cake. Makinlah aku teruja. Selalunya kek manis, tak pernah pula rasa kek yang masin, kan?

Ada promosi untuk kek ini. Beli satu percuma satu.

Dah makan sikit kek baru teringat nak ambil gambar hehe...

Kek ini macam kek span. Dilapisi krim yang nipis dan di permukaannya ditabur bawang goreng. Bawang goreng? Iya.

Bila masuk jer ke dalam mulut...emm sedapnya Salty Cake ni. Tak ada rasa masin pun. Rasanya macam kek span, kuat rasa telur dan sedap bila tergigit bawang goreng.

Cubalah beli. Err...aku bukan buat iklan untuk King's ya hehehe. Cuma berkongsi rasa.

Sunday, October 23, 2016

SALTED EGG CROISSANT

Dah lama aku nak upkan entri tentang makanan ni tapi asyik terlupa jer. Simptom-simptom ketuaan dah mula melanda hehe. 

Asalnya aku beli croissant ini di awal tahun 2016. Dah nak habis tahun baru nak up entri. Memang terbaiklah. Boleh jadi calon wakil rakyat. Janji dicapati hehe.




Aku suka sangat dengan Salted Egg Croissant. Sedap sebab ada rasa manis campur savoury. Dan sebenar-benarnya egg yolk dari telur masin tu yang memanggil-manggil aku untuk membeli croissant ini.

Harga croissant ini agak mahal; RM5++. Haa tengok sampai harga pun aku dah lupa sebab dah terlalu lama haha. Tapi berbaloilah.

Dalam gambar di atas rupa croissant tak berapa menarik sebabnya croissant dah sejuk. Bila dikoyak dua egg yolk di dalamnya dah keras. Kalau masa panas-panas, fuhh...meleleh egg yolknya. Sedap sangat.

Tapi sekarang ni bila aku jenguk-jenguk di King's dah tak ada dorang jual Salted Egg Croissant. Teringin...

Kalau korang jumpa...jangan lupa beli. Memang ada yang rasa agak mahal tapi berbaloi.

Tuesday, May 24, 2016

Udang Rebus di Penarik, Terengganu

Ini kisah udang rebus. Kisah yang tertinggal. Tak dan/tak sempat nak cerita hehe.

Berdekatan dengan kampung Abg, ada ladang ternakan udang. Err...kolam ternakan udang kot. 

Berapa besarnya kolam ternakan tu tidaklah aku tahu. Nampak kolamnya pun tidak. Maybe kena masuk jauh ke dalam sikit.

Biasanya jika ada udang yang rejected, depa akan rebus udang tu dan jual di tepi jalan (ada kawasan khas untuk menjual ikan air tawar dan sebagainya).

Aku cuma nak cerita kat sini betapa manisnya udang fresh yang direbus. Walla! Sepinggan Rm5 sahaja. Sedap sangat. Ratah macam tu saja. Tapi sapa yang ada gout tu berpada-padalah makan ya.

Kalau nak buat bihun ke nasi goreng ke memang best.

Petua nak makan udang ni kena makan dengan kulit-kulitnya...baru jadi penawar. Itu yang ketua penyelidik bahagian kajian penyakit ikan pernah bagitau aku. 

So, jamu mata dengan gambar udang yang dah expired sebulan ni ya hehehe.

Masih terasa kemanisan udang rebus ni..

Kalau korang nak ke Kuala Terengganu silalah ikut jalan pantai. Lebih menarik. Boleh beli udang, makan ikan/udang/sotong/ketam celup tepung dan lain-lain lagi. Jangan lupa try.

Psst! Sebenarnya udang ni reject bukan sebab penyakit ke apa tapi sebab tak cukup saiz ni. Biasanya untuk tujuan pembekalan ke pasaraya besar atau eksport memang dah ada spesifikasi yang telah ditetapkan. 

Monday, December 21, 2015

BinBakarFriedChicken

Semalam adik aku belikan ayam goreng BBFC (Bin Bakar Fried Chicken).

Adik aku asyik dok cerita ayam BBFC di Guar Perahu sedap sangat sampai dia dah tak makan KFC kalau sekadar nak makan ayam goreng.

Okayyyy...meh belikan aku 3 ketul. 3 ketul sebab ada tiga insan dalam rumah aku kan hehe.

Oh! Memang sedap rupanya BBFC ni. Adik aku hantar ayam goreng tu waktu petang (BBFC start berniaga jam 5 petang) dan kami hanya sempat makan waktu malam lepas balik dari rumah sepupuku.

Ayam goreng BBFC masih rangup dan sedap.

Sebijik rupa ayam goreng KFC :)

Okay...aku akui baik beli BBFC yang seketul RM2 kalau nak bandingkan dengan ayam goreng KFC. Berbaloi. Lagipun kalau beli set ayam goreng KFC, biasanya yang dimakan cumalah ayam goreng dan roti bun. Side dishes yang lain tu masuk tong sampah huhu. Pembaziran.

Sunday, November 29, 2015

Mini Cupcake


Mini cupcakes ni bukan sahaja cantik tetapi sedap! Nama-nama yang digunakan pun menarik dan senang nak ingat.

Bila makan mini cupcake taklah rasa bersalah sangat hehe. 

Boleh dapatkan mini cupcakes sedap ini di Aeon Ipoh. Cer try tengok. 

Saturday, November 28, 2015

Alemy Meggi Ketam - Kelantan





Makan megi ketam di Kelantan. Sepupu aku belanja. Terima kasih!

Rasa meginya biasa-biasa sahaja. Ketam memang besar. Tapi lecehnya nak makan.

Nak makan megi lagi, nak kopek ketam lagi. Huhu.
Cukuplah sekali aku dah try.

Sapa yang rajin makan berlemoih-lemoih silakanlah hehe.

Saturday, November 21, 2015

Nasi Arab atau Nasi Kandar?

Sekarang ni banyak sungguh kedai/gerai yang menjual Nasi Arab.

Tapi aku keliru bila ada sesetengah tu yang Nasi Arabnya sama serupa macam Nasi Kandar.

Lauk-pauk confirm lauk Nasi Kandar cuma nasinya saja yang ala-ala Nasi Bukhari atau Nasi Beriyani.

Aku keliru betui ler...

Nasi Arab di Sg Dua...Nasi Arab ke ni? hehe

Wednesday, October 7, 2015

Sup Kuku Lembu

Kami buat ibadah qurban masa hari raya Aidiladha yang ketiga. Abg ada bawak balik kaki lembu dua pasang. Katanya semua orang di surau tak nak ambik kaki lembu tersebut. Depa malas nak proses dan masak hehe.





Nampak saja kaki dan kuku lembu tu aku dah surrender awal-awal. Oh! Tidak! Aku pun tak reti nak masak. Abg kata jangan paniklah. Paksu kan ada hehe. Nampaknya Paksulah jadi mangsa kena proses kuku lembu tu sebelum boleh dimasak.

Petang tu Paksu datang ke rumah kami. Paksu bawa sabut, bakar sabut sampai habis kami semua kelemasan dalam rumah dengan asap dari sabut. Puncanya silap tempat bakar sabut dan angin pulak membantu tolak asap ke dalam rumah huhu.

Paksu bakar kuku lembu sampai hitam. Err! Kuku tu dah memang hitam kan hehe. Lepas tu Paksu kupas kuku tu (hoof) sampai tinggal isi di dalam sahaja. 

Aku rebus kuku tu lebih kurang dua jam; masukkan halia yang diketuk, kiub daging, dan rempah-rempah semua.

Akhirnya siaplah sup kaki lembu. 

Rasanya?

Pergh! Sebijik macam rasa sup kaki ayam tapi versi lebih besar dan berjeli. Lepas makan aku rasa naik pening jadinya kekeke.

Nampaknya itu kali pertama dan terakhir kami akan makan sup kuku kambing. Tobat! Terlalu berlemak. Abg dah angkat tangan surrender awal-awal kekeke.

Friday, July 31, 2015

Originally Bangkok Tomyam, Penang

Sedap. Makan tengahari sempena hari raya. Bos tak nak makan juadah raya. Dia nak tomyam gak hehe. Apa-apa sajalah asalkan halal dan sedap.

Kedai ni baru dibuka masa Ramadhan hari tu. Harga mahal sikit daripada kedai tomyam lain di sekitaran yang sama. Tapi rasa masakan sangat sedap. Portion besar.

Jom try. Aku suka kerabu magga, ikan masak tiga rasa, sotong celup tepung yang rangup dan semualah aku suka haha. Aku memang recommend kedai ni. Tingkat atas sangat cantik dan selesa kalau nak buat event pun.

Set untuk 8-10 orang makan (RM179.00) 
- Ikan dua ekor, tomyam campur dua bekas dan air dua jug - tak muat meja untuk letak hehe.


ORIGINALLY BANGKOK TOMYAM
85, Persiaran Mahsuri 1/3 Sunway Tunas,
11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

014-7425070

Waktu Perniagaan: 12 tengahari - 1 pagi
(Cari guna waze jer kalau tak pernah sampai)

Sunday, May 31, 2015

Musim Durian

Durian dah mula banyak orang jual. Tak tahulah durian Siam atau durian kampung. Tapi kalau tanya si penjual sokmo jawabnya durian kampung. Bila balik, buka tengok rupanya durian Siam. Terus potong stim nak belasah durian.

Aku memang cerewet. Aku takkan makan durian Siam. Walaupun ada sesetengah gemar durian Siam sebab ulasnya tebal bijinya kecil. Rasa durian Siam sangat aneh pada lidah aku.

Tak sabar rasanya nak beli durian banyak-banyak dan makan dengan nasi putih, air garam dan gula. MasyaAllah nikmatnya.

Nanti aku nak pi beli durian Balik Pulau. Itu memang dah pasti rasanya terbaik hehe.

Anak aku juga hantu durian. Sebab selalu sangat tengok cerita Upin dan Ipin, dia sendiri dah pandai minta belikan durian dan manggis. Kata anakku lepas makan durian kena makan manggis. Sebab durian panas, manggis boleh sejukkan kembali badan kita. Hehe...bagus bagus. Tak dapat manggis, kita minum air dalam pangsa durian atau lebih mudah kita beli jer air cap Badak. Oh! Durian. I love you! Haha.

Friday, May 8, 2015

Nasi Sila Lahar Kepar

Minggu lepas aku ajak adikku keluar makan. Dah lama kami tak makan-makan bersama. Lagipun kami dah rindu sangat dengan si comel Aqil.

Sebab nak makan malam, kami sepakat menuju ke Nasi Sila Lahar Kepar di Kg Padang, Kepala Batas.

Kami orang pertama yang sampai. Operasi baru nak bermula. Restoren ni buka dari jam 6.30 petang hingga 11.30 malam. Tutup setiap hari Sabtu.

Ini kira first timelah kami nak makan di sini. Selalu asyik dok tengok orang jer makan, beratur panjang.

Konsep makan kat sini ialah sila pi beratur, pesan lauk apa yang nak, ambik talam/dulang, pi la hidang sendiri di meja.

Lauk-pauknya jenis yang tradisional. Tak daklah lauk-lauk moden. Kiranya kedai ni memang khas untuk orang yang nak makan nasi berlauk di malam hari. So adalah pilihan lain selain mamak's.

Kat depan restoren ni ada dijual satey. Pada aku satey tu sedap dan murah. 


 Lauk-pauk yang kami makan petang tu...


Anak sedara aku yang comel si Aqil. Mulut comel Aqil dah kena tutup dengan puting hehe.

Kesimpulannya makan di Nasi Sila Lahar Kepar ni oklah. Aku tak rasa ada apa yang istimewa. Biasa-biasa saja. Macam masak kat rumah hehe. Cuma satey memang sedap. Nyum nyum.

Tapi yang seronoknya dapat berkumpul bersama ahli keluarga.


Wednesday, April 15, 2015

Creme Brulee

Bila hari yang dilalui agak pahit dan kaku...
Aku cari kemanisan dalam Creme Brulee.

Lepas tu aku dah boleh tersenyum :-)

Creme Brulee

Tuesday, April 14, 2015

Mee Tarik Warisan Asli


First time cuba makan mee tarik di Bandar Baru Bangi.

Boleh tahan harganya. Tapi seronok tengok depa tarik mee.

Rasa meenya macam meggi hehe.

Yang tooth pick lamb tu pedaih aih. Tak sesuai dengan selera aku.

Yang pasti makan kat sini tak kena GST. He he.

p/s"Aku masih teringin nak makan Nasi Air Kg Baru. Yang tu lagi sedap dan murah. Hari tu tak sempat pi."

Thursday, April 9, 2015

Aiskrim Pasu

Aku tak pernah tahu tentang Aiskrim Pasu. Rasanya fenomena Aiskrim Pasu ni dah lama pun.

Tapi hari tu masa Hari Keluarga, depa ramai-ramai pakat beli Aiskrim Pasu di tepi pantai.

Harganya satu pasu RM5.

Oh! Macam tu rupanya Askrim Pasu. Macam-macam diletakkan di dalam pasu tu.

Iman dan Aiskrim Pasunya.

Aku yang bukan penggemar aiskrim rasa nak termuntah makan aiskrim yang dah dicampur macam-macam he he.

Iman pun tak dapat nak habiskan aiskrim yang dibeli oleh adikku kepadanya.

Dah. Aku takkan beli dah Aiskrim Pasu ni.


Sunday, October 26, 2014

DeliverEat

Aku kerap juga order makanan melalui servis DeliverEat
Mudah. Cepat. Jimat minyak kereta dan tak perlu bayar parking.

Setakat ni aku puas hati dengan servis DeliverEat.
Servis di kawasan Penang dan Seberang Perai sahaja.
Selalunya aku order bila time makan di pejabat.
Order awal pagi, dan boleh pilih penghantaran pukul berapa yang kita nak.

Pernah jugak aku balik lambat dari pejabat, tak sempat nak masak, so aku order dari pejabat, setkan masa yang aku agak akan sampai rumah.
Sesampai di rumah, sekejap tu depa pun datang hantar makanan.

Order dari Restoren Pelita melalui DeliverEat

Sekarang depa dah tambah servis penghantaran barang-barang keperluan harian.
Pembayaran melalui perbankan internet atau kad kredit.

Rider depa pun ok baik-baik dan sopan.
Yang penting menepati masa.

Cuma servis ni ada kos minimum.
Elok kalau nak order banyak.

Selamat mengorder :)

Tuesday, September 30, 2014

Barah Kebab & Chicken Milani - Restoren Kapitan, Queensbay

Aku dari dulu lagi tertanya-tanya apa itu Barah Kebab bila masuk ke Restoren Kapitan.
Bila tanya kepada mamak tu dia punya penjelasan buat aku macam lagi tak faham.

Rupanya, Barah Kebab adalah Kebab Kambing. Ler...

Apa lagi...untuk peminat tegar kambing dan bebiri macam aku ni dah tak boleh tahan nafsu.
Order bang...order.

Sekali kebabnya sampai anakku pun berkata "Eh, makanan mama dah tak elok...dah ada lumut!."

Pengsan!

Sebenarnya warna hijau kelumutan tu disebabkan daging kambing tadi disiramkan sos pudina.
Bukan sebab dia perap sampai naik lumut hehehe.

Abg lagi best. Abg bagitau Iman "Haaa inilah namanya Kebab Incredible Hulk. Arrghhhh!."

Ting tong betui suami aku ni.

Tapi, cubalah order Barah Kebab. Memang sedap. Aku suka. SUKA!

Rupa Barah Kebab ni macam kena spray cat pun ada jugak. Gulp!

Abg pulak order Nasi Beriyani Chicken Milani.
Aku tengok Abg interview mamak tu macam wartawan tv3 untuk segmen Majalah 3.
Abg nak tahu ingredients Chicken Milani.
Mamak tu pulak aku tengok tergeleng-geleng.

Rupanya mamak kata tarak tau apa ingredients Chicken Milani (penipu betui).
Abg pun makan.
Abg kata sedapnya.
Abg tanya aku "Yang tahu tak apa depa boh dalam Chicken Milani ni."
Aku sengih jer.

Sebenarnya depa letak cheese dan apa lagi ntahlah dalam Chicken Milani tu,
Aku malas cerita banyak dengan Abg.
Sebab dia kononnya geli makan cheese.
Walhal psikologi jer bukan sebab allergic ke apa.
Bila dia tak tahu itu cheese, dia pulun jer makan sambil sengih-sengih.
Jahatkan aku haha.

Chicken Milani...nyum nyum

So, kalau korang ke Restoren Kapitan Queensbay, jangan lupa order Barah Kebab dan Nasi Beriyani Chicken Milani di samping Roti Naan Cheese yang sedap tu :)

*Entri ini tidak ditaja oleh Restoren Kapitan kikiki*

Saturday, September 6, 2014

Roti Senget Benget

First time buat roti.
Tangan keras tak berseni langsung.
Walaupun roti lembut dan gebu, bentuknya out.

Korang tengok boleh.
Janganlah gelak kuat-kuat sangat.
Malu aku.



Percubaan Pertama. Senget!

Gebu

Percubaan kedua. Letak cheese dan tabur gula.

Percubaan ketiga. Bulat tak serupa bulat. 

Percubaan keempat. Sos main tuang dari botol.

Percubaan kelima. Adalah bentuk sikit.

Suka yang ni. Kecik comel berkilat. 

Banyak-banyak benda, berus dan botol sos aku lupa beli.
Maka beginilah rupanya.
Apa-apa pun alhamdulillah...menjadi.
Anak dan Abg dah suruh buat roti hari-hari.
Nampaknya biceps aku akan membesar.
Tak payah susah-susah angkat dumbell lagi.



Thursday, August 7, 2014

Roti Jala Untuk Makan Malam

Petang semalam aku teringin sangat nak makan roti jala cicah dengan kari ayam dan kentang. Manalah nak cari malam-malam orang jual roti jala. Akhirnya kenalah balik kerja dan masak sendiri.

Laaa...rempah kari daging cuma ada sebungkus dalam almari. Mau tak mau aku campur sebungkus rempah kari daging dan sebungkus lagi rempah kari ikan. Sedap. Kari aku tak pakai santan. Tapi tetap pekat dan likat. Serbuk kari kena banyaklah sikit.

First time aku gunakan frying pan yang paknjang belikan untuk aku di Pasar Kemboja, Parit Buntar. Memang baguslah frying pan  tu. 

Mak ajar aku kalau buat roti jala, setiap kali dah habis menjala acuan tu kena terbalikkan supaya muncungnya tak tersumbat dengan tepung dan jadi "buta". Ha..ingatlah tu ya.

Frying Pan untuk roti jala.

 Roti jala aku lipat fesyen lama macam mana arwah mak ajar aku dulu.

 Kari ayam. Yang banyaknya kentang.

Iman di dalam wad pada pagi raya. Dia nak pakai baju raya tapi dok termenung sebab tak boleh beraya.

Iman makan roti jala sahaja tanpa kuah. Iman kata budak-budak memang makan roti jala kosong. Pandailah dia hehe.

Bila masak roti jala aku akan teringat arwah mak dan ayah. Mak selalu masak roti jala sebab ayah sangat suka makan roti jala di waktu petang. Rindunya kat depa...

Oh ya! Sekeping roti jala nilai kalorinya adalah 30kcal. Itu nilai kalori roti jala tanpa kuah kari ya hehe.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...