Pages

Showing posts with label angker. Show all posts
Showing posts with label angker. Show all posts

Tuesday, November 19, 2013

Tolonglah Aku!

Ini kisah semasa aku di asrama.

Tiap malam aku tak dapat tidur gara-gara seorang perempuan Cina.

Perempuan Cina ini akan datang dalam keadaan dipenuhi darah menitis-nitis.

Rayunya "Tolonglah aku...aku dirogol dan dibunuh oleh askar Jepun di bilik basuh di bangunan ini."

Korang rasa selama dua tahun aku di sana boleh tak aku tidur lena?

Aku tak tahu apa yang harus aku lakukan.

Aku pendamkan cerita ini.

Bila aku tengok cerita Ghost Whisperer, rasa terkasima, langsung teringat.

Buat temanku Cak Om yang aku tahu silent reader blog ini....sekarang awak faham kan kenapa saya agak weird masa zaman persekolahan dulu..... :)

Monday, May 13, 2013

Kisah Hantu Di Asrama Sekolah (3)

Kejadian ini berlaku semasa pelajar Tingkatan 5 sibuk nak menghadapi SPM.
 
Seperti biasa pada pukul 11 malam lampu bilik dorm wajib dipadamkan. Kalau terasa nak sambung study, silalah duduk di koridor atau gunakanlah lampu suluh dengan sebaik-baiknya. Mata rabun, sendirilah tanggung.
 
Aku tergolong dalam mereka yang terus tidur bila lampu dipadamkan. Mataku jenis yang tak boleh bertahan membaca menggunakan cahaya lampu suluh. Boleh migrain dibuatnya.
 
Biasanya aku "peram' mata. Sukar sungguh aku nak lelapkan mata sejak hari pertama aku jejakkan kaki di sekolah ini. Entah apa sebabnya aku pun tak pasti.
 
Tiba-tiba suasana malam yang sunyi dikejutkan dengan bunyi tapak kaki dan rantai diheret di koridor.
 
Kebetulan pada malam itu tak ada seorang pun rakan sebilikku yang study di koridor.
 
Meremang bulu romaku. Terus aku tarik selimut sampai ke kepala. Janganlah hantu tu masuk ke dalam bilik dan cari aku yang masih tak boleh tidur tu. Sampai berpeluh-peluh aku dibuatnya.

Alhamdulillah, hantu tersebut sekadar bersiar-siar di sepanjang koridor.

Keesokan harinya heboh cerita tentang bunyi tapak kaki dan seretan rantai di koridor. Rupanya ramai jugak yang tak tidur lagi dan berselimut litup sepertiku hehehe.

Thursday, April 25, 2013

Kisah Hantu Di Asrama Sekolah (2)

Pada waktu petang yang dikhaskan untuk permainan petang, biasanya aku akan melepak bersama seorang kawan baik di belakang bangunan sekolah. Bukan tak berminat nak bersukan tetapi aku tak berapa senang dengan keadaan di sekolah baru ku ini. 

Aku dikira "budak baru" di sekolah tersebut kerana aku masuk ke sekolah berasrama penuh semasa tingkatan empat. Jadinya mereka yang masuk dari tingkatan satu menganggap diri mereka sebagai senior. Bila dah rasa senior, mulalah apa saja yang "budak baru" seperti aku ni buat dianggap serba tak kena. Ada saja benda nak dijadikan hal dengan tujuan nak membuli. Segelintir pelajar pembuli seperti ini memang ada di mana-mana. Yang baik-baik pun ramai juga dan aku senang berkawan dengan mereka.

Jadinya untuk menghabiskan masa waktu permainan petang itu, aku dan kawan akan bersembang kosong atau membaca buku di belakang bangunan sekolah. Kebanyakan pelajar lain akan menyertai aktiviti di padang.

Pada suatu petang kami duduk di atas tangga tingkat satu berdekatan dengan makmal. Kami berbual sambil tergelak-gelak kecil. Kebanyakan isi perbualan kami adalah tentang kerinduan pada keluarga serta apa yang berlaku di dalam kelas.

Tiba-tiba kami terdengar bunyi riuh-rendah seperti sebuah majlis kenduri sedang berlangsung berdekatan tempat kami duduk. Kami terus terdiam. Aku kemudiannya mengajak kawanku untuk pergi meninjau apa yang berlaku. Mungkin ada yang buat suprise party  kot. Kawanku dah mula pucat. Dia takut. Aku pun takut tapi pura-pura berani.

Kami menjenguk ke dalam makmal yang berbunyi bising itu. Kosong. Pintu berkunci dan tak ada seorang manusia pun di situ.

Dengan tiba-tiba bunyi itu terhenti.

Apa lagi, kami pulak lari tak cukup kaki.

Agak-agaknya siapalah yang buat suprise party  tu kan? Alahai....seram.

Tuesday, April 23, 2013

Kisah Hantu di Asrama Sekolah (1)

Hari ini aku nak bercerita tentang hantu aka makhluk halus yang pastinya bukan semut atau tungau.

Kisah ini berlaku semasa aku bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh di utara tanah air.

Entah apalah sebabnya, sekolah berasrama ni selalu saja dikaitkan dengan cerita-cerita hantu.

Waktu sesi orientasi masa mula masuk sekolah, pengetua awal-awal dah buat pengumuman yang sekolah ini bebas daripada hantu.

Hek eleh! Macamlah aku nak percaya sangat kata-kata pengetua tu. Kalau tak ada hantu masakan sampai beliau perlu buat pengumuman macam tu walhal tak ada sesiapa pun buka mulut bertanyakan hal itu kepada beliau.

Kes 1 terjadi semasa aku menghuni tingkat paling atas di bilik yang bersebelahan dengan tandas dan bilik mandi. Aku seorang yang paling tak suka berebut-rebut dalam apa-apa perkara terutamanya bab mandi. Aku juga tak suka mandi semasa orang ramai sebab aku malu. Oleh kerana itu, aku rela bangun pada pukul 5 pagi dan mandi berseorangan di bilik mandi.

Memang sunyi dan gelap selalunya awal-awal pagi. Tapi aku tak pernah kisah semua itu. Kadang-kadang sedang mandi, aku terdengar pancur hujan di bilik sebelah juga berbunyi. Sayangnya tak pernah pula aku ternampak siapa yang mandi di situ.

Pada suatu hari, aku dan seorang kawan bangun pada pukul 3 pagi untuk siapkan kerja sekolah yang belum selesai bersuluhkan lampu suluh.

Mulutku tiba-tiba gatal mahu menegur.

Aku : Kalaulah tiba-tiba ada orang mandi dan basuh baju time ni...hehehe.

Kawanku hanya tersengih mendengar keceluparan mulutku.

Tiba-tiba terdengar pancur air hujan dibuka di bilik mandi sebelah beserta bunyi orang memberus kain.

Apa lagi, lintang-pukang kami berdua naik ke atas katil dan berselimut. Hampeh punya hantu!

Monday, October 25, 2010

Yey! Kami dapat sorang SEKOQ.

Baru-baru ni tempat kerja aku menganjurkan sebuah workshop. Peringkat kebangsaan gak la dan bertempat di hotel 5 bintang (macam ler orang heran hehe).

Memang sibuk sangat kami time tu dan terutamanya sehari sebelum tu; buat rehearsal sampai tengah malam. Masa rehearsal semua pakat bawak suami dan anak-anak. Kononnya memberi sokongan moral. Walhal masing-masing buat trick nak balik awal. Boleh bagi alasan anak ngantuk, suami  ngantuk. Sayangnya Boss tak bawak pulak suami dan anak-anak. Mahu tak mahu semua kena tunggu rehearsal selesai baru boleh balik. Para suami mata semua merah tahan mengantuk, anak-anak buat bising sebab depa dah bosan.

Hari pertama di situ aku dah dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena. Ada sesuatu yang memanjat belakang aku dan duduk di bahu kanan. Cara panjatannya sangat perlahan, macam sloth @ kongkang pun ada. Akhirnya dia akan duduk di atas bahu. Cuma aku tak nampak gerangan apakah yang memanjat belakangku. Walaupun aku tak rasa sakit, aku rasa tak selesa. Aku rasa aku bawak monkey ke sana sini. Tapi aku diamkan saja. Mana tahu itu cuma perasaan aku.

Akhirnya tamat workshop dengan jayanya, alhamdulillah. Tapi sang monkey terus panjat dan turun dari belakang aku. Sekejap dia naik balik. Hampeh betul. Nak tengok, mata aku dah tak nampak dah benda-benda tu sekarang ni, kadang-kadang saja nampak. Nak panggil paknjang nanti buat kena gelak.

Tiba-tiba sorang kawan terbuka cerita. Katanya di bahu dia macam ada benda duduk dan tangannya sakit sampai lengan. Sorang lagi pulak turut bercerita, bahu kanannya sakit sampai ke tengah belakang. Sorang lagi pulak berat sebelah bahu kanan dan pijar kedua-dua tangan.

Yey! Confirm! Kami dah ada sorang sekoq!

Waktu aku nak ke rumah tukang urut, monkey tu aku rasakan melompat-lompat macam beruk kena belacan di belakang aku. Hahaha. Takut kot.

Friday, February 26, 2010

Siong

Tengok tak cerita ni?
Aku tak tengok.
Cuma tengok sedutannya di tv.

Darah aku tersirap.
Bulu roma meremang.
Gambit Saifullah yang melakonkan watak hantu bermuka putih tepung, bersiung dan menghisap darah.

Nak tahu tak?
4 tahun lepas masa aku terganggu, makhluk yang wajahnya serupa inilah yang sering hadir di sisiku.
Memujuk aku untuk bertemankan dia.
Menghulurkan tangan untuk aku di bawa ke alamnya.

Serius, aku tak menipu.
Aku pernah ceritakannya pada abg.
Sampai aku jadi gentar bila bersendirian di rumah.
Dia pasti akan datang memujuk.

Aku tak pernah bermimpi kerana dia hadir dalam sedar, waktu siang dan malam.
Beza cuma matanya merah.

Siapa penulis cerita Siong tu?
Aku nak sangat tahu.
Mungkin watak tersebut terhasil daripada pengalaman sebenar penulis.
Misteri.

(aku cuba google muka hantu tu tapi tak dapat).

Tuesday, January 5, 2010

Wad Itu

Minggu lepas aku masuk wad lagi. Mulanya aku di tempatkan di bilik berdua. Tapi aku cepat-cepat menolak. Menyusahkan aku kerana tandasnya jauh di luar. Sudahlah aku terpaksa mengharapkan bantuan wheel chair dan orang lain untuk ke situ. Lagipun bilik tersebut jauh dari pandangan nurse. Kalau apa-apa hal jenuhlah nak tunggu nurse datang. Loceng panggil nurse? Hehe tekanlah....kalau nasib baik nurse di kaunter, cepatlah dia datang. Kalau tak...terkencinglah aku di atas katil.

Jadi aku ke bilik berlima. Selesa, nyaman, betul-betul di depan kaunter nurse. Tapi nyamuk punyalah banyak. Ngeng, ngeng, ngeng. Pap, pap, pap. Nasiblah orang sebelah. Aku ni jenis kasar, tampar nyamuk pun bunyi macam aku pukul kompang. Kadang-kadang nyamuk lepas, lengan aku yang pedih merah macam nak tercabut kena tamparan sendiri. Satu malam aku dapat bunuh tujuh ekor nyamuk. Walla! Silap haribulan tambah satu penyakit lagi aku dapat, penyakit bawaan nyamuk....minta dijauhkan.

Sebelum ni aku dah pernah masuk ke wad ni tapi duduk di katil yang lain. Pesakit di katil sebelah aku ada menceritakankan pada malam pertama dia masuk wad, sedang dia terlelap dia dikejutkan dengan suara menjerit di telinganya. Bingkas dia bangun tetapi tak ada sesiapa pun.

Malam itu aku sedang memerhatikan nurse di kaunter. Aku bosan, jadi aku layan mata melihat kerenah nurse dan doktor yang lalu-lalang. Tiba-tiba di sebelah kanan ku laju melintas sekujur tubuh hitam. Aku pusingkan leher dan baru perasan mana ada ruang untuk manusia masuk, di situ ada curtain (kain tutup tu...aku tak tahu orang panggil apa). Rupa sekujur tubuh itu seakan Tuxedo Mask dalam cerita Sailor Moon.




Emm patutlah....sebentar kemudian baby di katil itu (katil itulah) menangis tak henti-henti sampai kesian pulak aku dengar. Ibu dan ayah baby baru tu macam panik jer bila baby mereka menangis tak nak henti.

Aku pulak sambung tido lagi baik. Dahla badan bintik-bintik merah kena gigit nyamuk.


Thursday, December 10, 2009

Pertama Kali Kami Bersua



Kali pertama aku lihat hantu masa berumur 3 tahun.
Masa tu kami sekeluarga baru pulang dari Pahang, naik keretapi.

Sampai saja di rumah aku jadi tak tentu arah.
Aku mula menangis.
Menangis dan menangis.

Mak dan ayah jadi tak menentu tengok aku menangis tak henti-henti.

Aku masa tu masih kecil. Tak tahu macam mana nak beritahu mak dan ayah apa yang aku nampak.
Akhirnya aku bersuara "Hantu, hantu."

Aku tunjukkan setiap arah di mana hantu yang aku lihat melompat-lompat.
Memang hantu tersebut melompat-lompat di sekeliling aku.

Mak terus bacakan ayat-ayat suci Al-Quran padaku.
Ayah capai penyapu lidi dan kibaskan ke arah yang aku tunjukkan.

Akhirnya hantu tersebut hilang.
Aku terlena dalam sedu-sedan.
Aku demam panas yang teramat lepas tu.

Eh! Tak percaya ke?
Betul, aku masih ingat apa yang berlaku walaupun umurku baru 3 tahun.
(Dan aku masih ingat lagi bila aku lihat jasad arwah Pakcik Man dikapankan...aku masih kecil masa tu).

Saturday, August 8, 2009

Jangan Biarkan Dia Bersendirian 2

Hari-hari seterusnya aku lalui dengan penuh riang. Riang seorang kanak-kanak yang tak pernah tahu erti duka. Rasa duka cuma hinggap sekali-sekala; kala rotan, tali pinggang atau getah paip hinggap di badan. Hilang sakit, hilanglah duka. Aku merenjas semula macam kuda gila. Keluar hutan, masuk hutan. Terjun parit, korek tanah jumpa telur. (nasib baik aku tak ambil dua biji telur yang kujumpa tu).

Sebagai kanak-kanak aku tak dapat membezakan. Yang mana satu manusia yang mana satu makhluk luar biasa. Siapa yang menyapa, aku jawab. Dia senyum, aku pun senyum. Dia ajak berkawan.... Jomlah!

Pernah suatu petang, waktu rehat di sekolah agama. Kawanku Sabariah sibuk menceritakan pasal seorang nenek. Nenek yang mukanya sebelah hitam sebelah putih. Sambil bercerita tangan Sabariah sibuk menghala pada bukit yang tak jauh dari kampung kami. Kata kawanku lagi, dia mahu minta ilmu cantik. Kelakar pun ada, umur baru 10 tahun dah pandai mahu berilmu-ilmu. Aku pun terpengaruh dalam tak sedar.

Suatu hari aku duduk sendirian sambil termenung memandang bukit tersebut. Diam-diam hatiku membuat hajat. "Nenek, aku mahu ilmu supaya aku kuat berlawan. Aku mahu pukul semua budak lelaki yang suka buli aku."

Sebenarnya aku tidak sedar. Dia sudah lama memerhatikan aku. Dia bukanlah mitos. Dia benar-benar wujud. Hasil pertapaan ilmu kuno. Aura hitamnya memang mempengaruhi. Daerah terpencil itu.

Friday, August 7, 2009

Jangan Biarkan Dia Bersendirian

Masa aku kecil, aku seorang diri, tak ada abang, kakak mahupun adik. Sampailah umurku 11 tahun, baru dapat adik.

Aku banyak habiskan masa bermain sendirian. Bercakap dengan binatang-binatang, anak-anak patung. Bukan tak ada kawan-kawan sebayaku, tapi mak dan ayah tak berapa galakkan aku bergaul dengan mereka. Mak tak nak aku main pasir, merayau tak tentu pasal. Lagipun ada di antara mereka suka mencarut. Itu lagilah mak dan ayah tak suka. Takut aku terikut.

Bila waktu petang, aku bosan, aku masuk ke hutan di belakang rumah. Tak jauh, betul-betul belakang rumah. Hutan pokok nipah, paya air payau. Ada pokok kelapa tumbang, aku panjat. Aku letak tali dan buat kuda. Aku goyang kuat-kuat sambil nyanyi-nyanyi.

Wa yang cari daun pisang petang-petang selalu aku sergah. Terkejut dia tengok aku main seorang diri dalam hutan.

Wa tanya aku "Tak takut ka sorang-sorang?" "Ada ular ka apa ka nanti?"
"Dak pun..." Aku jawab sambil sengih-sengih.

Takut apa, belakang rumah saja.

Tapi aku tak pernah tahu. Ada mata yang memerhatikan aku. Yang menyeringai mahu berkawan. Akhirnya, aku berteman tanpa pernah aku sedari.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...