Hari ini seperti petang semalam, hujan selebat-lebatnya.
Iman demam. Muntah. Mungkin disebabkan faktor perubahan cuaca.
Seronok bila hujan, suhu akan jadi sejuk, mata pun lali-lali.
Pagi-pagi bising burung berkicauan. Mungkin mereka pun seronok dengan cuaca sejuk di waktu pagi.
Terkenang aku masa kecil dahulu. Kalau hujan tak henti selama seminggu, hutan nipah di sebelah rumahku pasti digenangi air jernih.
Bila hujan dah berhenti, kami sekampung seakan berpesta mandi-manda di dalam air bah yang jernih di dalam hutan nipah tersebut.
Masa tu boleh nampak ikan berenang-renang. Kalau bernasib baik, ular sawa tumpang berenang. Lari tak cukup tanah semua orang.
Aku jarang diberi kebenaran oleh mak dan ayah untuk turut sama mandi-manda di situ. Seingat aku dua kali sahaja aku mendapat kebenaran. Yang selebihnya aku akan duduk di atas kolah simen sambil tersenyum-senyum melihat kegembiraan mereka yang lain bermain air.
Di kala hujan lebat, jika aku di rumah, aku pasti akan menyanyi sekuat hati. Seronok. Tika tu aku boleh menyanyi dengan bebas tanpa sesiapa pun yang mendengarnya.
Itu dulu...
Saat ini...bila hujan menitis laju, selaju itulah juga segala kenangan membasahi kotak ingatanku ini.
No comments:
Post a Comment