Pages

Thursday, December 30, 2010

Tekanan Perasaan

Rawat tekanan perasaan dengan kasih sayang



Oleh Dr Fariza Md Sham


BERITA kematian pelajar Malaysia di Mesir, Mohammad Ishak kerana disyaki dibunuh rakan senegara dan dipercayai terlalu tertekan, menggemparkan masyarakat. Peristiwa tragis ini bukan kes pertama membabitkan pembunuhan akibat masalah tekanan hidup dan banyak kes ngeri juga berlaku dalam negara kita.



Ia sebahagian daripada bukti menunjukkan masalah tekanan sudah mula melanda masyarakat Malaysia dan keadaan ini jika tidak dibendung boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat. Antara golongan harus diberi perhatian ialah generasi muda supaya mereka tidak mewarisi budaya hidup dalam tekanan ini.



Ada pelbagai takrif diberikan pengkaji mengenai tekanan dalam usaha memahami fenomena tekanan. Dalam Lisan al-Arab, istilah tekanan disebut sebagai dhagt. Mu’jam ‘Ilm al-Nafs menjelaskan makna dhagt sebagai keadaan jiwa yang mengalami pergolakan dan kegelisahan amat dalam.



Dictionary of Behavioral Science mendefinisikan tekanan sebagai suatu keadaan fizikal atau tekanan mental yang menyebabkan perubahan dalam sistem saraf autonomi. Definisi ini selari dengan huraian Morstt & Furst, mengenai tekanan. Beliau menyatakan bahawa tekanan adalah suatu keadaan yang dipengaruhi gangguan mental dan emosional yang boleh mewujudkan keadaan tidak selesa atau tegang jika keadaan itu tidak mampu ditanggung tubuh badan.



Dalam A Dictionary of Human Behaviour pula, memberikan definisi tekanan sebagai ketegangan fizikal dan psikologi yang berpanjangan untuk suatu masa, yang boleh menggugat keupayaan seseorang mengendali suatu keadaan.



Ahli psikologi Islam pula, al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, al-Razi dalam al-Tib al-Ruhani, Ibn Arabi dalam al-Futuhat al-Makiyyah,Muhammad ‘Uthman Najati, Muhammad ‘Izuddin Taufik, Samih Atif al-Zin dan Hassan Langgulung melihat tekanan emosi dari sudut kegelisahan jiwa manusia seperti gelisah, kecewa, bimbang keterlaluan dan takut. Perasaan itu wujud kerana hati manusia tidak beriman kepada Allah atau hati manusia tidak reda dengan ujian Allah.



Di samping itu, tekanan juga dikaitkan dengan penyakit hati seperti hasad dengki, sombong, ujub dan riak. Kisah dalam al-Quran turut menggambarkan tekanan yang berlaku kepada masyarakat. Misalnya, kisah nabi ketika menyampaikan dakwah Islamiah menerima tekanan masyarakat kufur dan peristiwa tertentu berlaku terhadap orang beriman.



Ada juga pandangan mengenai tekanan berdasarkan persepsi seseorang terhadap sesuatu perkara atau pengalaman. Mereka mengatakan, tekanan berlaku disebabkan persepsi individu terhadap sesuatu peristiwa atau pengalaman.



Pengalaman tidak menyenangkan sewaktu alam kanak-kanak seperti hukuman atau denda yang keterlaluan boleh mengakibatkan remaja mengalami tekanan.



Orang yang mengalami tekanan sering menghadapi masalah kesihatan. Mereka akan mengalami sakit kepala, lenguh badan, letih dan sesak nafas. Kajian Muhammad Shah Burhan mengenai kesan tekanan terhadap remaja dari sudut fisiologi mendapati mereka sering mengalami masalah kesihatan seperti sakit perut, sakit kepala dan bisa seluruh badan.



Simptom dan tanda fizikal lain ialah kaki dan tangan kerap berpeluh, cepat berasa letih dan tidak bermaya, tidak nyenyak tidur, berat badan susut atau berat badan naik mendadak, sesak nafas dan tangan sering menggeletar.



Tanda itu menyamai tanda dikemukakan Dr Kasmini Kassim dalam bukunya Psikiatri Kanak-Kanak, iaitu, rasa loya, sakit perut, cirit-birit, muntah, pening kepala, mulut rasa kering, degupan jantung semakin cepat, tapak tangan seram sejuk, berpeluh, kerap kencing dan rasa hendak pitam.



Menurut Muhammad ‘Izuddin Taufik dalam bukunya bertajuk al-Ta’sil al-Islamiyy lil Dirasat al-Nafsiah, antara tanda jasmani orang yang mengalami tekanan emosi akibat kerisauan keterlaluan ialah lemah badan, gangguan tidur, denyutan jantung dan pernafasan. Gangguan pergerakan seperti menggigil, suara atau teriakan, sakit mental dan fizikal seperti sakit kencing manis dan tekanan darah tinggi, hilang selera makan dan kekurangan berat badan.



Dari aspek psikologi pula, simptom tekanan boleh dikenal pasti melalui tindak balas psikologi seperti berlaku perubahan emosi, perasaan tidak puas hati, mudah marah, berasa kecewa dan berputus asa dan murung.



Pakar Psikiatrik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Ainsah Omar, dalam pembentangan kertas kerja mengenai tekanan dalam Wacana Wanita anjuran Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) 2001, menyatakan antara kesan tekanan daripada aspek tingkah laku ialah penyalahgunaan dadah, meminum minuman keras, menghisap rokok dan bermasalah dalam perhubungan sosial.



Pelajar yang mengalami tekanan jiwa juga tidak tahu cara belajar yang betul, tidak ada minat dan dorongan untuk belajar, ponteng, marah, merosakkan harta benda sekolah, merokok dan menggunakan dadah. Mereka bertindak demikian sebagai cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. penyalahgunaan dadah.



Berdasarkan simptom dan tanda tekanan, individu mengalami tekanan boleh dihidu lebih awal. Oleh itu, anggota masyarakat terutama ibu bapa, guru, rakan atau orang yang rapat dengannya boleh membantu mereka yang sedang tertekan.



Layanan emosi dan sokongan sosial keluarga terdekat seperti ibu bapa, guru dan rakan amat perlu. Memberi perhatian dan kasih sayang kepada individu mengalami tekanan boleh memberi kekuatan emosi kepada mereka.



Asas ini diletakkan al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Dan antara tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya) bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu hidup bahagia dengannya dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan kasihan belas. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)



Agama Islam menganggap asas perhubungan di antara manusia adalah berdasarkan perasaan belas kasihan serta kasih sayang sesama manusia lebih-lebih lagi antara ibu bapa dan anak.



Menurut Imam al-Ghazali, kasih sayang boleh menjinakkan hati. Ia membuktikan bahawa kasih sayang boleh melembutkan hati yang keras dan merawat perasaan tertekan. Jika perasaan kasih sayang ini luput daripada keluarga dan masyarakat, maka akan merenggangkan ikatan yang terjalin di antara mereka (ahli keluarga dan masyarakat).



Oleh itu, individu yang mengalami tekanan boleh dikurangkan melalui perhatian dan kasih sayang ibu bapa, guru atau rakan. Dengan perhatian dan kasih sayang, berasa mereka dihargai dan diberi perhatian.



Seterusnya, Imam al-Ghazali menyatakan, kata-kata lembut berisi rahmat dan kasih sayang sangat menyentuh hati dan perasaan sehingga meninggalkan kesan mendalam dan mampu mengarah kepada perubahan lebih baik.



Dalam konteks mengawal tekanan di peringkat remaja supaya anak tidak mengalami tekanan apabila berhadapan dengan cabaran hidup, di samping ibu bapa memberikan kasih sayang ibu bapa juga bertanggungjawab mengawal tingkah laku anak.



Keseimbangan perhatian dan kasih sayang dengan kawalan terhadap anak boleh memberikan kestabilan emosi kepada anak terutama anak remaja yang mengalami masa perubahan daripada pelbagai aspek.



Permasalahan berkaitan kejiwaan pada peringkat kanak-kanak dan remaja perlu diberi perhatian kerana akibat jangka panjang akan lebih buruk iaitu wujud satu kelompok masyarakat yang hidup dalam tertekan. Sudah tentu kita tidak mahu peristiwa menyedihkan seperti berlaku kepada pelajar kita di Mesir akan berulang lagi.



Penulis ialah Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia

Sunday, December 19, 2010

Terkenang-kenang

Banyak perkara yang aku nak paparkan di sini tapi disebabkan kesibukan berganda, semuanya hilang macam tu saja.

Sudah sebulan mak pergi meninggalkan kami. Rindu pada mak tak payah ceritalah. Setiap pagi, lepas Subuh aku akan call mak. Sekarang, bangun pagi aku macam terpinga-pinga. Pegang telefon, dan mulalah air mata meleleh.

Setiap hari apa saja yang berlaku dalam lingkungan kehidupan aku pasti aku akan ceritakan kepada mak. Tak pernah missed. Sekarang aku kena fikir, nak cerita pada siapa? Habisnya aku telan sendiri semua suka duka yang terjadi.

Banyak sungguh dugaan untuk keluarga kami di penghujung tahun 2010. Selepas mak meninggal, Paklang pulak sakit diikuti dengan abg dan Hermawan yang kemalangan. Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan kebaikan. Tapi hati terus berdebar sebab masih ada 2 minggu sebelum 2011 menjelma. Mohon pada Allah semoga tidak ada lagi berita-berita sedih dalam keluarga kami.

Rumah mak di GP tinggal kosong macam tu saja. Nak harapkan aku dan abg berulang kerja dari sana memang tak mampu. Selain faktor masa dan keletihan, faktor kos juga kena ambik kira. Pi mai pi mai, duit minyak kereta saja dah RM500 bila kami duduk sana. Cuma Sabtu dan Ahad sajalah yang dapat kami balik jenguk rumah mak ayah.

Aku pun kadang-kadang tak faham. Adik-adik belum ada komitmen tapi depa pun tak nak balik GP. Suka sangat depa duduk di rumah Maklang aka Tok. Aku sedih tengok rumah mak ayah yang terbiar. Harap sangat Jumaat, Sabtu dan Ahad adik-adik aku balik dan duduk di sana sementara depa masih cuti semester. Itu sajalah kenangan mak ayah yang masih ada. Tapi aku tak suka paksa adik-adik. Bagi aku depa dah besar panjang. Dah ada akal untuk berfikir mana yang baik dan mana yang buruk.

Batu nisan mak belum tempah. Rasanya dah boleh tempah, dah genap sebulan. Biasanya lepas sebulan baru boleh letak batu nisan, tunggu tanah kubur kejap dulu. Ingat hari ni aku nak balik seberang tempah batu nisan. Aku masih ingat lagi tahun lepas sewaktu kami ke kedai untuk tempah batu nisan ayah. Mak punyalah takut sampai pekedai tu nak bagi business card pun dia tak nak ambik. Tapi kita manusia, akan mati. Tengok tahun ni aku pulak buat tempahan untuk batu nisan mak. Esok-esok, adik-adik pulak tempah batu nisan untuk aku. Nasib baik kali ni mak tak wasiatkan aku suruh letak batu sungai di kuburnya. Kalau tidak jenuh aku nak cari. Dulu, untuk ayah, kawan kami yang tolong carikan. Bukan sembarangan boleh kebas batu sungai, silap haribulan ada yang ikut balik. Batu sungai di kubur ayah timbul selepas kawan aku bacakan ayat suci Al Quran masa kami sama-sama di sungai.

Ok, dah penat menaip. Iman dah seminggu tak nak tidur malam. Pukul 5 pagi baru tidur. Hari ni pun sama. Dalam masa jaga Iman, aku terlelap. Tengok-tengok Iman dah kunyah kertas resit bank. MasyaAllah. Aku korek mulut Iman, cuma dapat secebis kertas biru. Yang lagi secebis dah selamat masuk perut Iman. Ya Allah, janganlah Iman sakit perut sebab termakan kertas. Macam-macam lah.

Wednesday, December 1, 2010

Boring.

Aku terpaksa bercuti seminggu. Terpaksa ikut abg training. Boss aku macam berat nak lepaskan aku. Tapi aku buat muka tebal 4 inci. Semua sebab anak. Aku tak mampu handle Iman seorang diri. Tulang belakang dan kaki aku tak kuat. Tanpa abg, aku akan jadi statik.

Bosan amat terperap dalam hotel menanti cukup seminggu. Dengan anak ini, aku tak dapat bergerak laju-laju. Jawabnya nak makan pun kais apa yang ada. Alamak! Mulalah pening-pening, dengan tak cukup makan dan tidur.

Kalau mak masih ada, tentu seronok. Mak boleh ikut kami. Tapi perancangan tinggal perancangan. Kuasa Allah mengatasi segalanya.

Kawasan sekeliling memang mengujakan untuk orang yang suka shopping. Aku tak minat shopping, cuma rasa jugalah nak beli satu dua benda untuk Iman.

Yang teruja lebih-lebih adalah si Iman. Melompat-lompat. Aduh! Anakku, mama suka tengok Iman aktif, tapi kesianlah pada mama kodi ni.

Tapi kesian abg, demam. Mungkin letih sebab sejak dua minggu lepas memang kami sentiasa sibuk, tak sempat rehat. Tambahan pula abglah segalanya yang menjaga Iman.

Emm...macam manalah Ramli MS yang hidupnya memang di hotel. Membosankan.

Monday, November 29, 2010

Selamat Tinggal Mak yang Dikasihi.

Mak dah tak ada. Mak dah pergi tinggalkan kami. Aku sedih, terkejut dan jadi keliru. Walaupun kononnya aku dah lama bersedia menerima sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada mak.

Pagi sebelum mak tenat, mak sms aku suruh bawakan tuala. Masa Izat jaga mak di hospital mak juga sempat pesan suruh aku belikan adult diaper. Aku tertanya-tanya. Mak dah tak boleh berjalan ke? Sebab sehari sebelum tu mak ok, cuma lemah sikit sebab tak ada selera makan. Demam pun dah kebah. Cuma tunggu nak keluar dari wad. Tiba-tiba mak tak boleh bernafas.

16 hb November 2010, pukul 8 pagi, mak telah meninggalkan kami semua. Esoknya 17 November 2010, hari ulang tahun perkahwinan aku dan abg yang ke-10, juga bersamaan Hari Raya Aidiladha.

Terima kasih kepada Maklang yang banyak membantu sejak mak masuk wad. Begitu juga pada Pakngah, Makngah, Paknjang, Makndak dan Maksu yang memudahkan lagi pengurusan pengkebumian mak.

Bila dah tiba masanya, sesaat pun kita tak kan dapat lari. Selamat tinggal mak yang dikasihi. Selamat bersemadi di samping ayah seperti yang mak impikan selama ini. Kami tak akan putus untuk mengirim 'hadiah' untuk mak dan ayah yang kami kasihi, insyaallah.

Sunday, November 14, 2010

Oh Tuan Doktor di GH

Ada satu hari Iman demam panas, memang panas. Kebetulan aku di GH melawat mak, terus kami bawak Iman ke casualty. Suhu badan Iman tinggi. Nurse minta aku jelum Iman. Iman menjerit-jerit tak nak, tak selesa. Kemudian doktor kata Iman kena admit. Keputusan ujian darah Iman tak berapa cantik. Tenggelam punca punya pasal, kami setuju.

Terus-terang, aku benci admit di GH. Nurse kebanyakan belagak macam badak sumbu. Orang masuk wad dah jadi macam pengemis. Doktor dan pakar ok. Baik-baik.

Mula sekali doktor check telinga Iman.

"Kak, telinga anak kak berdarah, kita panggil otitis media."

Aku pandang abg, abg pandang aku. Aku cium telinga Iman. Tak ada bau. Belek-belek telinga Iman. Tak ada discharge.

"Betul ke ni doktor? Apa punca otitis media? Tak ada simptom pun."

"Betul kak, nanti Pakar datang dia akan explain."

Konfiden betui dia.

Pakar Paedatrik datang terkedek-kedek. Pakar check telinga Iman. Doktor tadi kena marah. Itu bukan darah, itu tahi telinga @ ear wax.

Aku geleng kepala sambil senyum. Ngok ngek punya doktor, nasib baik hang baik, tak belagak macam badak sumbu. Lepas pada kejadian itu, doktor tersebut kelihatan malu dan cuba mengelak daripada bertembung dengan kami. HAHA.

Saturday, November 13, 2010

Mak Masih di Wad

Sudah hampir 2 minggu mak di wad. Mak dah dipindahkan ke bilik isolation. Ada jangkitan kuman. Kesian mak. Malam-malam Izat pi jaga mak. Terima kasih Izat. Aku tak mampu jaga mak waktu malam. Iman tak dak sapa nak tengok.

Mak selalu call aku sambil menangis. Aku faham perasaan mak. Bosan, menahan sakit lagi, tentu amat tak selesa. Aku hanya mampu suruh mak bersabar.

Bila kita jatuh sakit, baru kita tahu siapa kawan siapa saudara. Kawan mak dari jauh pun ada yang datang melawat. Mak rasa gembira. Aku tahu mak rasa sedih, ada saudara yang dekat pun sikit tak tanya khabar. Tak apalah mak, tak payah fikir sangat. Hidup macam tu lah. Bersyukurlah masih ada saudara lain yang ingat akan mak dan selalu datang melawat. Mungkin depa terlalu sibuk dengan kerja. Bersangka baiklah.

Ntahlah, mungkin mak akan terus berada di dalam wad sampai ke tarikh pembedahannya. Kesian mak. Raya Haji pun mungkin tak boleh keluar wad.

Semoga mak sabar dengan dugaan yang menimpa mak ini.

Saturday, November 6, 2010

Cepatnya.

Minggu ni mak masuk wad, buat angiogram. Tak disangka doktor minta mak stay dalam wad dan proceed dengan second surgery. Eh! Mana boleh macam tu. Sapa yang nak jaga mak nanti. Kelam-kabut jugak aku bila mak maklumkan pada aku pagi tu.

Semalam, setelah berbincang dengan adik-adik, suami dan maklang, kami sepakat supaya surgery dibuat bulan Disember. Pakar dah beri persetujuan. Mak akan keluar wad dulu.

Iman demam panas. Teruk. Tak tahu demam panas biasa atau luar biasa. Harap yang biasa-biasa sudahlah. Aku letih jadinya. Minggu depan ada conference lagi kat KL.

Oh! Aku selalu rasa hidup ini amat meletihkan. Aku ingin berehat. Tenang. Sambil senyum-senyum.

Monday, October 25, 2010

Yey! Kami dapat sorang SEKOQ.

Baru-baru ni tempat kerja aku menganjurkan sebuah workshop. Peringkat kebangsaan gak la dan bertempat di hotel 5 bintang (macam ler orang heran hehe).

Memang sibuk sangat kami time tu dan terutamanya sehari sebelum tu; buat rehearsal sampai tengah malam. Masa rehearsal semua pakat bawak suami dan anak-anak. Kononnya memberi sokongan moral. Walhal masing-masing buat trick nak balik awal. Boleh bagi alasan anak ngantuk, suami  ngantuk. Sayangnya Boss tak bawak pulak suami dan anak-anak. Mahu tak mahu semua kena tunggu rehearsal selesai baru boleh balik. Para suami mata semua merah tahan mengantuk, anak-anak buat bising sebab depa dah bosan.

Hari pertama di situ aku dah dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena. Ada sesuatu yang memanjat belakang aku dan duduk di bahu kanan. Cara panjatannya sangat perlahan, macam sloth @ kongkang pun ada. Akhirnya dia akan duduk di atas bahu. Cuma aku tak nampak gerangan apakah yang memanjat belakangku. Walaupun aku tak rasa sakit, aku rasa tak selesa. Aku rasa aku bawak monkey ke sana sini. Tapi aku diamkan saja. Mana tahu itu cuma perasaan aku.

Akhirnya tamat workshop dengan jayanya, alhamdulillah. Tapi sang monkey terus panjat dan turun dari belakang aku. Sekejap dia naik balik. Hampeh betul. Nak tengok, mata aku dah tak nampak dah benda-benda tu sekarang ni, kadang-kadang saja nampak. Nak panggil paknjang nanti buat kena gelak.

Tiba-tiba sorang kawan terbuka cerita. Katanya di bahu dia macam ada benda duduk dan tangannya sakit sampai lengan. Sorang lagi pulak turut bercerita, bahu kanannya sakit sampai ke tengah belakang. Sorang lagi pulak berat sebelah bahu kanan dan pijar kedua-dua tangan.

Yey! Confirm! Kami dah ada sorang sekoq!

Waktu aku nak ke rumah tukang urut, monkey tu aku rasakan melompat-lompat macam beruk kena belacan di belakang aku. Hahaha. Takut kot.

Wednesday, October 13, 2010

Kepow!

Bertenang.
Bukannya bertendang.

Bertenang.
Bukannya berganyang.

Amir accident dah masuk dekat 2 minggu. Kesian aku tengok adik aku tergolek saja di rumah. Kaki berjahit dan ada patah sikit. Tapi keadaannya hampir sembuh. Cepat-cepatlah adik aku tu sembuh supaya dia dapat balik ke kolej. Sudahlah final semester. Takut pelajarannya terganggu. Aku tengok Amir asyik main FB.

Mulanya Amir dah dapat surat untuk ke Pakar Orthopedik. Aku bawa Amir jumpa tukang urut patah dulu. Faham-faham sajalah bila dah masuk hospital, benda kecil pun boleh jadi bapak gabak. Tukang urut beritahu tulang kaki Amir pecah sikit saja. Adalah disapunya minya dan dibandage. Yang bestnya sorang lagi perawat dok asyik tanya adik aku tu accident di kawasan mana. Rupanya ada yang menurut pulang.

Perawat yang satu lagi tu dah tolong buangkan si penurut tanpa disuruh tu. Rasanya? Tanyalah Amir, dia saja yang tahu hehe.

Mak mula bebel. Mak kata dah banyak kali mak pesan supaya adik jangan suka balik lewat malam. Malam kejadian, Amir tunggang motor dengan kawan untuk balik ke rumah nak ambil road tax. Dah dekat pukul 11 pm lebih.

Amir ni jenis tak tahu takut sikit. Tapi aku rasa lepas ni mesti dia akan lebih berhati-hati. Malang tu tak berbau. Nasib baik adik aku bawa motor 40-50km/jam. Kereta langgar pun, dia terpelanting tak teruk sangat. Kalau dia bawa motor laju, impaknya tentu lebih teruk.

Aku terkenang kisah lama, zaman aku muda-muda. Aku suka bawa motor melilau sorang-sorang di KL waktu malam. Pernah jugak aku melilau jam 12 tengah malam. Aku isi minyak penuh-penuh, kemudian aku akan ronda sampai aku penat. Mak dan ayah tak pernah tahu peel aku ni. Bila aku bosan, sedih, tension, lagi panjanglah langkah kaki aku.

Betullah, zaman muda jarang aku berfikir panjang. Kalau sekarang, suruh buat macam tu, eee tak nak la..Macam-macam bahaya menanti. Dahla aku perempuan. Tak pernah terlintas di fikiran aku perkara-perkara buruk yang boleh berlaku terhadap diri sendiri. Sepanjang highway sudahlah gelap. Tapi alhamdulillah, tak pernah berlaku apa-apa. Mungkin berkat doa mak dan ayah. Aku juga sebelum keluar meronda akan baca doa dan macam-macam lagi hehe. Risau sangat kalau Iman akan ikut peel aku ni.

Ok, harap adik aku cepat sembuh. Jangan ngada-ngada sangat. Banyakkan berjalan perlahan-lahan. Takut nanti bertukar jadi batu lak hehe. Dah asyik semua mak, mak, mak, MAK.

Sunday, October 10, 2010

Baru 4 hari

Baru 4 hari aku menghadiri workshop; maknanya aku tak masuk ofis. Apa jadi? Tunggang-langgang, lintang-pukang hanya disebabkan seorang manusia yang harus aku panggil beruk.

Staf-staf lain naik angin, marah-marah dan tak puas hati dengan manusia siluman ini. Datangnya kembali lambat...dah hampir-hampir lunch time. Punch card pun tiba-tiba rosak. Ajaibnya. Lebih ajaib punch card rosak kali terakhir si siluman ni punch.

Aduh! Pening kepala. Kerja tak dibuatnya. Cakap depan aku bukan main lembut, baik. Di belakang, kerja semua tak jalan. Aku pening sebab deal dengan benda hidup bukan sama dengan objek pegun. Kalau kau tak bagi makan dan minum, matilah benda hidup ni. Kalau kau tak biakkan, mana nak dapat anak untuk penuhi permintaan.

Harus aku sumbat si siluman ini ke dalam sangkar dan beri dia makanan arnab.

AKU BENGANG!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...