Pages

Wednesday, July 25, 2012

Catatan Orang Letih (entri terlepas pandang berbulan-bulan)

Dah dua hari balik dari kampung abg tapi letihnya tak abis lagi. Nampak sangat diri dah semakin tua. Sudahlah sepanjang jalan balik tu aku termuntah-muntah. Apa hal ntah. Perut dan kepala masuk angin. Ditambah abg pecut kereta macam dalam F1. Tunggang-terbalik kami dua beranak kat 'seat' belakang.

Singgah di Jerteh abg belikan tiga jenis kuih tradisional Terengganu. Mana tak belinya, aku dok buat citer sedih sepanjang jalan sebab tak puas makan kuih-muih kat sana (sekali sampai di rumah, baru perasan mak mertua aku dah bagi satu plastik kuih kegemaran aku....sayang mak mertua).

Beli kuih, percuma dapat bulu ayam ke?? Mana mai bulu ayamnya entahla....jangan ayam yang tolong bungkus kuih tu sudah lah haha.

Pastu kenapa ada kaki ayam hitam? Ayam lupa basuh kaki? Tapi aku tak galakkan sesiapa perut kodi macam aku makan kerabu kaki ayam ni. Masam ya amat. Memang depa bubuh cuka sebotol kot. Sah-sah boleh putus urat perut. Aku siap basuh kaki-kaki ayam tu sebelum makan. Malangnya masam tu tak hilang. Kalau ikut teori sedap kerabu ni. Mungkin orang yang buat ni tak ikut resepi tapi main hentam keromo.

Tuesday, July 24, 2012

Bersyukurlah

Pagi tadi ada haiwan yang perlu aku buat nekropsi. Penyelidik dari Iran tuan empunya haiwan ada bersamaku. Katanya nak tengok aku buat nekropsi.

Sebetulnya aku memang tak larat. Di bulan puasa ni bila kena buat nekropsi, boleh mual perut dengan bau-bau yang sungguh meloyakan. Tapi dah tanggungjawab akukan, kenalah buat.

Tanya si Iran berapa jam biasanya nekropsi pada haiwan ? Aku jawab dalam 30 minit - sejam. Si Iran seorang medical doctor. Katanya kalau pada manusia pun biasanya dalam sejam. Bergantung kepada kes.

Masa buat nekropsi, ada seorang penyelidik lagi dari Libya. Dia datang jenguk-jenguk tengok apa yang aku dok buat. Sambil perhati, periksa....kami bersembang-sembang.

Aku bertanya kepada si Libya sama ada dia balik kampung tak Aidilfitri ni. Katanya negara sedang bergolak, bahaya untuk balik. Jadi dia akan menyambut Aidilfitri di Malaysia saja bersama isteri dan anak-anaknya.

Si Iran pula ada menyampuk tentang Langkawi; vacation di Langkawi. Aku bertanya kepada si Iran dah ke Langkawi ke? Sebab sebelum ni si Iran sangat excited mahu ke Langkawi. Tanya itu ini kepada aku. Tapi jawabnya, kewangan tidak mengizinkan. Katanya lagi, depa tak mampu nak banding dengan rakyat Malaysia.

Aku terasa bertuah dengan tiba-tiba. Bertuah jadi rakyat Malaysia. Nekropsi tamat setelah 1 jam setengah aku memotong dan memeriksa. Letih, berdiri.


Monday, July 23, 2012

Stokin Detector

Pagi tadi lepas sahur aku ada tengok channel Discovery tentang macam mana Metal Detector dibuat.


Kemudian aku tertanya-tanya, depa tak ada usaha ke nak buat Stoking Detector…khas untuk manusia bernama lelaki.
Belilah banyak mana stoking pun selalu saja tak cukup; itulah benda yang selalu depa cari bagai nak rak di waktu pagi. Kadang-kadang aku terfikir, orang lelaki ni makan stoking kot. Takpun ada mat pit yang curi stoking depa jual kat kilang belacan untuk perisakan belacan kasi sedap. Eeeiiiuwww. Hehehe.

Saturday, July 21, 2012

Puasa "1"

Nyaman sungguh cuaca puasa hari pertama 2012. Cuacanya panas terang tetapi teduh. Sejuk jer rasa.

Dalam kepala teringin nak makan ayam percik kuah putih masa berbuka. Tiba-tiba perancangan dah berubah. Abg suruh siap. Jom jalan pergi cari lauk. Jalan jauh sikit. Kalau time ni pergi pasar atau supermarket jawabnya ramailah manusia.

Jomlah kalau dah larat. Seronok bila hari cuti rasa santai. Rupanya makan menyebabkan kita sibuk. Sibuk berfikir apa nak makan dan sibuk mencari makanan. Proses berfikir dan mencari tu memakan masa rupanya. Bulan Ramadhan diri rasa releks :)

Akhirnya kami beli siput (apakebenda ntah) 4 kg dan lokan satu besen. Tak campur ikan bilis, ikan kering, ikan bunga dan ikan kembung lengat (orang Islam punya, yang buang perut ye). 2 kg siput kami bagi pada Maklang. Kemudian aku beli pulak timun betik. Sedap ni. Makan dengan santan sejuk. Aku beli juga pada Paklang. Aku tahu dia pun suka makan buah timun betik ni. Tiba-tiba terkenang arwah ayah. Tiap kali puasa mesti ayah beli timun betik untuk makan dengan santan yang disejukkan di dalam peti ais.

Lokan sebesen baru rm6



Siput apakenbendantah 2kg = rm8


Siap masak ala masam manis

Juadah berbuka hari ini adalah ayam percik Maklang bagi (hehe) dan siput masak masam manis. Dah cukup.

Salam Ramadhan



Petang tadi semua kawan-kawan aku begitu gembira balik kampung untuk menjalankan ibadah puasa bersama ibu bapa dan keluarga tercinta. Terbayang keseronokan menyambut Ramadhan bersama mak dan ayah serta adik-adik suatu masa dulu. Tapi semuanya hanya tinggal kenangan :)

Sebenarnya sejak semalam aku dah siap-siap packing baju kami sekeluarga; rancangnya mahu balik rumah ibu mertuaku. Last minute, rancangan terpaksa dibatalkan. Ibu mertua aku masih di rumah adik ipar di Kuantan. Tak dapatlah kami bawa dia berpuasa di sini.

Beg pakaian masih tersedia elok. Aku tak punggah pun baju-baju keluar dari beg. Kata Abg, minggu depan kami mesti balik ke kampungnya...insyaAllah. Yey! Seronok.

Nampaknya, esok pagi aku perlu ke pasar. Barang basah 'bo liau'. Kalau ikut perancangan asal nak balik kampung maka aku memang tak nak beli barang-barang basah takut rosak. Untuk sahur aku dah masak nasi dan telur masin. Tinggal esok goreng ikan bilis bersama bawang dan cili dan diperah air asam sikit. Itu dah mencukupi bagi juadah sahur kami.

Alamak! Lupa nak pergi ambil ubat gastrik aku di klinik. Nampaknya itu juga dah tersenarai dalam list tugasan aku esok harinya.

Oleh itu aku mengucapkan "Selamat Menyambut Ramadhan" buat semua umat Islam. Selamat menunaikan ibadah puasa dan semoga amalan kita diterima olehNya.

Wednesday, May 16, 2012

Buku

Anakku merenung ke arah Pulau Jerejak (gambar ini ada kaitan dengan entri; baru sampai dari KL terus berehat di QB)
2 minggu lepas aku ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Ramainya manusia. Berhimpit-himpit, tergesel-gesel. Ish, rimas pulak jadinya. Berada di satu-satu booth tak boleh lama sebab manusia bertolak-tolak. Aduh, potong stim aku yang membuak-buak perasaan tengok buku-buku yang banyak. Kalaulah semua buku tu aku yang punya. Hahaha....aku kaya, aku kaya! Opps!

Sejak kecik aku memang hantu buku. Makan pun sambil baca buku. Mak kata aku mengikut pak sedara aku yang satu tu.... Mak selalu ingatkan aku "Baik-baik! Satgi tercekik tulang!"

Mana taknya, mata ke buku, tangan kanan saja yang suap ke mulut. Serius, aku main rasa jer dengan hujung jari nasi, lauk dan sayur dalam pinggan pastu terus suap masuk mulut. Nasi paling sedap bila dimakan dengan buku. Tak percaya cubalah hehe.

Selain dari buku yang banyak di rumah sebab ayahku suka membaca, kat rumah tok dulu banyak sangat buku-buku Tokwan, mak dan pak sedara. Aku kecik lagi time tu tapi aku dah belasah baca buku "Badai Semalam", "Salina", "Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck", "Pribadi", "Hikayat Hang Tuah", "Ranjau Sepanjang Jalan" dan banyak lagi. Buku-buku Pakngah yang baru balik belajar dari Mesir pun aku baca hehehe. Buku-buku perubatan. Tapi terus-terang aku katakan ada jugak aku tak faham buku yang aku masa baca tu especially Salina dan Ranjau Sepanjang Jalan tu. Haha. Sekarang kalau tak faham lagi tak tahulah.

Sambung citer di PWTC. Niat nak beli buku anak, ayah dan mama. Yang dapat cuma buku anak dan mama. Ayah dapat penat dukung anak dan poket rabak dipau oleh mama. Nasib ler, sapa suruh janji, kan. Dah janji kenalah menunaikannya. Kalau tidak, ayah pun sama macam ahli politik sebelum menang pilihanraya hehe. Lepas pilihanraya, habuk pun takdak. Lagipun ayah jarang baca buku, asyik dengan komputer jer. Biarlah mama saja yang memanfaatkan peluang yang ada :p

Dalam 13 buah buku jer termampu beli. Nak kata murah sebab ada diskaun tak lah jugak. Setakat 10% tu apalah sangat berbanding kos datang jauh-jauhkan. Tapi keseronokan melihat buku melimpah-ruah tu yang best. Perasaan yang tidak dapat digambarkan.

Salah satu buku yang dibeli.
Buku Ustaz Hasrizal tu dah aku khatam pun. Bagus isinya. Banyak teladan dan pengajaran yang dapat diambil dari buku ini biarpun Ustaz Hasrizal pun tua dua-tiga tahun saja dari aku. Nasihat-nasihat serta pandangan yang matang dan praktikal dalam menguruskan rumahtangga menurut Islam yang disampaikan secara selamba. Tak membebankan otak tapi banyak yang menyerap ke dalam fikiran. Aku cintakan buku ini.

Novel-novel cinta pun banyak tapi aku tak berminat nak beli. Entah kenapa, sejak dari remaja aku lebih tertarik dengan buku-buku kemanusiaan, motivasi, keagamaan dan komik. Novel cinta ada jugak baca tapi kurang. Macam membosankan.

Buku-buku lain malas pulak aku nak ambik gambar. Aku dah jadi pemalas nak upload gambar. Ok itu saja citer untuk kali ini. Daaa.

Tuesday, April 24, 2012

Suka Berebut

Tak faham. Kenapa cayanunalif suka berebut? Suka potong queue dan buat muka berlagak. Agaknya orang Melayu macam aku ni baik hati atau tak suka cari pasal atau pengecut untuk mempertahankan hak sendiri dengan alasan tak nak kecoh-kecoh.

Insiden suka berebut terbaru tahun 2012 ialah semasa aku nak check-out dari hotel di Langkawi dan semasa nak bayar roti di Giant.

Insiden pertama. Aku sedang menanti di lobby hotel untuk check-out. Masa tu receptionist sedang sibuk melayan guest yang nak check-in. Bila selesai urusan check-in tu tak sempat aku buka mulut, datang 3 orang cayanunalif perempuan muda potong queue kata nak check-out. Agaknya mata depa tu rabun, tak nampak aku dok tercongok tunggu giliran. Ataupun depa tu kurang akal dan didikan tak reti nak queue waktu nak berurusan di kaunter. Aku rasa kepala aku panas.

Insiden kedua. Aku beli roti. Masa pilih-pilih roti ada seorang cayanunalif perempuan tua dan cucunya lingkungan umur 4-5 tahun. Selesai pilih roti aku ke kaunter untuk bayar. Tiba-tiba perempuan tua ni datang dan potong queue aku terus ke depan dah sama dengan cashier. Kurang akal betul. Dah ler muka masam mencuka macam aku pulak potong queue dia. Amboi banyak cengkadak.

Tapi itulah. Aku ni memang senyap jer. Bukan apa, malas cari gaduh. Aku tahu angin aku, selagi aku boleh bersabar, aku sabar untuk perkara-perkara kecil macam tu. Kalau rakan aku A....eemmm mati kena jerkahlah cayanunalif tu. Masalahnya aku ni jerkah-jerkah taklah kot. Kang aku bagi buah tangan sebijik kat pipi depa. Tak pasal-pasal masuk balai. Yolah angin manusia ni mana sama. Ada cakap mulut kencang aksi tak berapa. Aku pulak terbalik keadaannya. Tak baik sungguh kan?

Sunday, April 1, 2012

Hari-hari yang panjang

Salam semua. Hari-hari mendung sudah berlalu. Getir betul fikiran dengan pelbagai keresahan datang sekaligus dalam diri. Alhamdulillah, kini saat menenangkan fikiran. Redha dan terima apa saja jalan yang telah ditetapkanNya.

Alhamdulillah, Iman juga telah pulih dari demam dan ulcer yang panjang; seminggu...lama tu. Aku dan Abg turut keletihan di kala anak sakit. Tidur tak menentu, kerja pun tak menentu. Dengan ragam Iman yang sungguh mencabar kesabaran. Ya, dia sakit dan tidak pandai menyatakan kesakitan itu lalu diterjemahkan dalam bentuk tangisan dan lentingan badan yang boleh buatkan aku pun terduduk semasa mendukung Iman. Bayangkan kalau ada dua ulcer tumbuh dalam mulut, itu dah buat aku tak boleh senyum. Dalam mulut Iman penuh dengan ulcer, di lidah langit-langit, tekak, bibir dan pipi. Aku boleh bayangkan kesakitan yang Iman rasa. 3 hari Iman tak mahu makan dan minum. Aku menangis. Sangat pilu bila lihat kanak-kanak sekecil itu sakit. Dengan demam yang tak mahu kebah.

Seminggu sebelum itu berita diterima bos yang amat aku hormati akan berpindah ke tempat lain. Itu juga buatkan hatiku sedih. Mahu dapat bos yang sebaik itu sangat sukar. Seorang yang sangat memahami, bertanggungjawab dan sentiasa memberikan motivasi kepada staf-stafnya. Bos ada beberapa kali mengajak aku bekerja di tempat barunya. Tentu saja aku suka. Tapi bila memikirkan keluarga, itu yang utama. Biarlah aku di tempat lama; menanti ketua yang bagaimana pula akan tiba. Doanya bos baru terbaik seperti bos aku ini, insyaAllah.

Rumah. Mulanya kata sepakat telah dicapai antara aku, abg dan adik-adik....aku mahu pindah rumah. Jual rumah sedia ada dan beli rumah baru. Hati masih sayangkan rumah ini, rumah atas tanah yang pasti sukar diperolehi lagi kalau dah di jual di Pulau Mutiara ini. Tak ada sejuta dalam tangan, bermimpi sajalah. Lagipun rumah ini sajalah kenangan dan peninggalan dari arwah mak yang aku ada. Setelah berbincang panjang bersama beberapa mak dan bapak sedara, aku mengambil keputusan untuk terus menetap di sini. Sekarang urusan merancang untuk buat pengubahsuaian pada rumah sedia ada. Kalau ikutkan rumah ni dah cukup selesa untuk kami bertiga, malangnya pelan dalaman rumah ni macam tak sesuai. Menjadikan rumah sempit dan Imanlah yang selalu resah, nak ajak main di luar. Yang lebih sulit kalau ada tetamu nak datang. Aduh, tak selesanya rasa.

InsyaAllah harap semuanya berjalan lancar. Esok aku akan mula bekerja. Doa ku ada cahaya buat kami sekeluarga :)

Wednesday, February 8, 2012

Belut Masak Paprik

Tadi tengahari aku ke Giant. Cadangnya mahu beli ayam untuk dimasak malam ini. Selesai beli ayam, aku ambil kerang dan mundar-mandir di depan tempat ikan. Sekonyong-konyongnya (wahaha) aku ternampak si penimbang ikan sedang sibuk memotong belut, 2 ekor.

Wow! Belut! Sedapnya!

"Belut ka tu?," tanya aku untuk kepastian.

"Ya," pendeknya jawapan orang tu.

"Saya nak!," kataku penuh keyakinan.

"Tak boleh kak, ni orang punya, kak pilihlah belut lain dalam tong tu," balas orang tu sambil senyum-senyum.

Alamak! Malunya aku, nampak belut dah lupa diri. Kawanku ketawa  melihat perangai gelojoh aku.

Sekilo belut lebih kurang RM20++ Mahal kan. Aku ambil seekor saiz sederhana, RM8.66. Kalau di kampung suamiku belut ni lebih murah. Tapi tak sanggup aku nak beli bila tengok depa jual belut hidup dalam plastik yang diisi air. Eeee gelila. Tadi masa orang tu siang pun aku dah siap pesan suruh dia nyahkan kepala belut tu jauh-jauh. Macam kepala ular jer. Kawanku pulak dah terjerit kecil tengok macam mana belut dimatikan. Letak belut dalam plastik, ketuk kepalanya, keluarkan, belah perut dan buang isi perutnya, basuh. Eeee ngilu, ngilu. Sepanjang proses tu aku alihkan pandangan pada kerang.

Akhirnya malam ni, dinnerlah kami kerang rebus cicah sos cili bersama belut masak paprik. Sedapnya. Yang mengajar aku makan belut sepupu aku yang tinggal di Kelantan, isteri  si telingaterbang (telinga pun boleh terbang? aneh kui kui). Cakap banyak tak mau...tengok jerlah gambar di bawah ni :-)

Isi belut yang telah dibersihkan dengan air beras

Belut masak paprik...sedapnya (walaupun hangpa nampak tak sedap :-p)

Saturday, January 28, 2012

KangkungKu


Kangkung

Bunga Kangkung

Daun Kangkung yang segar dan gemuk macam aku heee.
Alhamdulillah...kangkung yang ditanam oleh ibu mertuaku dah boleh petik hasilnya. Ini gara-gara teruja Paknjang tanam kangkung hari tu la hehe. Yeay! Boleh buat cucur udang kangkung. Selain kangkung kat rumah aku ada serai, pandan dan bunga kantan (dan rumput dan lalang...bila dekat-dekat hujung bulan haha).

Kangkung ni kangkung hasil penyelidikan kat tempat aku. Tu yang gemuk dan segar. Adalah jugak sikit-sikit ulat makan, tapi it's ok...itu bermaksud kangkung ni bebas dari pesticide...Lagipun apa salahnya aku kongsi kangkung dengan ulat, ulat pun nak makan per hehe.

Terus jadi semangat nak tanam sayur-sayuran lain pulak. Err...nak tengok kebun aku? Tak perlu kot. Nanti korang tak dapat bezakan mana sayur mana rumput haha. Chaoz.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...