Pages

Saturday, July 20, 2013

Integriti

Dalam NST semalam ada kisah tentang seorang pensyarah di sebuah IPTA yang dihadapkan ke mahkamah di atas tuduhan menipu claim.
 
Bukan calang-calang orang yang melakukan kerja ini; bekas dekan sebuah pusat pengajian.
 
Kalau dibaca berita penuh tentang kes tersebut memang tak diragui lagi ianya banyak berlaku. Di kalangan staf bawahan pun ramai yang buat claim yang diada-adakan. Tentu bekas dekan ini rasakan dia sebagai orang atas akan terselamat apabila melakukan perkara-perkara seperti ini.
 
Ini masalah integriti. Setinggi mana pun tahap pendidikan kamu atau setinggi mana pun jawatan kamu, bila tiada integriti, inilah yang akan berlaku.
 
Aku teringat rungutan seorang staf. Katanya dia pergi berkursus bersama dengan bosnya menaiki keretanya. Malangnya apabila selesai kursus, si bos dah pesan awal-awal kepada staf tersebut agar jangan buat tuntutan perjalanan.
 
Rupanya si bos yang buat tuntutan perjalanan ke atas dirinya walaupun dia pergi ke kursus menggunakan kenderaan anak buahnya. Memang staf tersebut tidak puas hati tetapi memandangkan yang buat tu bosnya sendiri, dia tidak berani bertindak dan cuma mengadukan hal tersebut kepada aku.
 
Kadang-kadang aku selalu terfikir, terutama seperti kes bekas dekan tersebut. Apa lagi yang mereka ini mahukan? Gaji seorang professor mencecah belasan ribuan ringgit, dengan elaun yang pelbagai, kenderaan jabatan lagi dapat.
 
Apabila kita lupa untuk bersyukur, beginilah akibatnya. Segala apa yang kita perolehi kita tidak akan rasa cukup dan terus-terusan kita akan memandang kepada apa lagi yang dapat kita kaut.
 


Tuesday, July 16, 2013

Resepi Biskut Kacang Mazola

Hari ini aku paparkan resepi biskut kacang yang sedap dan lazat. Memang cair dalam mulut. Yang pentingnya tak perlu susah-susah goreng kacang dan sebagainya. Cubalah :)


Bahan-bahan :
  • 450 gm tepung gandum
  • 250 gm mentega kacang (peanut butter)
  • 200 gm minyak jagung Mazola
  • 200 gm gula halus
  • 25 gm tepung Hwon Kwee (5 sudu besar)
  • 1 sudu besar tepung jagung.
Kaedah :
  • Campurkan semua bahan, uli sehingga membentuk doh.
  • Terap gunakan acuan yang disukai.
  • Bakar di dalam oven sehingga masak.

Monday, July 15, 2013

Resepi Biskut Almond London

Memandangkan hari raya Aidilfitri dah tak lama lagi, pasti ada yang mula nak buat biskut raya (rasanya baru seminggu kita berpuasa kan? kui kui kui). Walaupun banyak dijual biskut-biskut raya tetapi aku percaya masih ada golongan yang lebih berpuas hati membuat sendiri biskut-biskut yang diingini.
 
Aku seperti biasa dah order beberapa jenis biskut daripada sepupu dan kawan-kawan. Tak order banyak pun tahun ni. Selebihnya, dua tiga jenis biskut kegemaran pasti aku akan buat sendiri. Selalunya biskut yang aku buat untuk aku, Abg, Iman dan adik-adik aku jer belasah makan. Sebab sedap, tak boleh bagi pada orang lain haha. Teruk.
 
Aku akan berkongsi resepi yang aku dah biasa buat dan terjamin kesedapannya ya. Mungkin resepi-resepi yang akan aku kongsi agak evegreen tapi ada kelainannya sedikit.
 
Untuk hari ni aku nak berkongsi resepi Biskut Almond London. Gambarnya tak ada  sebab biskut belum dibuat. InsyaAllah, sedap :)
 
 
Bahan-bahan :
  • 250 gram mentega
  • 1/2 cawan gula halus
  • 3 cawan tepung gandum
  • 2 sudu besar minyak sapi (cairkan)
  • 1/2 sudu the baking powder
  • 1 sudu besar tepung jagung.
  • Badam sebiji-sebiji - dipanggang
  • Badam cincang
  • Coklat masakan + minyak - cairkan secara double boiler atau masukkan saja ke dalam microwave.
  • Paper cup
Kaedah :
  • Kacau mentega, gula halus dan minyak sapi sehingga sebati.
  • Ayak tepung gandum, tepung jagung dan baking powder. Masukkan ke dalam adunan mentega. Uli sehingga membentuk doh.
  • Bulat-bulatkan doh membentuk oval dan masukkan badam sebiji ke dalam doh. 
  • Letakkan di atas dulang pembakar yang telah dilenser dengan sedikit mentega.
  • Bakar di dalam oven sehingga biskut masak (suhu 180 darjah Celsius, selama lebih kurang 20 minit atau sehingga masak).
  • Masukkan biskut ke dalam paper cup.
  • Sudukan coklat masakan ke atas biskut dan taburkan badam cincang.

Gambar Big Ben di London ganti gambar biskut Almond London yang aku rasa orang London pun tak kenal biskut ni hihihi (sumber Google)

Friday, July 12, 2013

Salam Ramadhan. Sabar Juga Ada Hadnya...

Selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua...maaf, ucapan dah terlewat tiga hari hihi.
 
Aku memang seronok bila tiba bulan Ramadhan. Cuacanya sangat-sangat berbeza dengan cuaca pada hari biasa. Tak pastilah jika keadaan ini cuma aku yang rasa atau korang juga merasakan sama seperti yang aku rasakan...
 
Tapi yang tak berapa bestnya, baru berpuasa selama tiga hari, berat aku dah naik satu kilogram.
 
Huhuhu inilah bahana kononnya tak nak beli makanan luar semasa berbuka, semuanya nak masak. Bila dah sendiri masak, makan banyaklah pulak hihihi.
 
Asalnya aku berjanji kepada abg yang aku cuma nak masak nasi dan lauk maksimanya dua jenis saja. Tapi bila aku dah melangkah ke dapur semua benda aku rasa nak masak kekeke. Parah, parah...
 
Aku berangan lagi untuk buat sendiri beberapa jenis biskut untuk raya kali ni. Sebenarnya aku lebih suka biskut yang aku buat berbanding biskut yang dibeli. Disebabkan kekangan masa aku terpaksa membeli biskut raya sebelum-sebelum ni. Lepas tu mulalah mengomel tak kena itu ini hihihi...cerewet.
 
Yang seronoknya, Iman si anak dara aku tu dah Nampak minatnya ke dapur walaupun umur baru tiga tahun. Memang boleh diharap si kecik ni. Nampaknya nanti masa buat biskut raya bolehlah Iman tolong sama hihi.
 
Ok, semoga kita semua dapat beribadah dengan bersungguh di bulan yang mulia ini. Mana tahu inilah Ramadhan yang terakhir untuk kita.
 
Oh ya...di bulan Ramadhan ni ada jugak rupanya mereka yang nak bermain api. Harapnya kerajaan dapat mengambil tindakan terhadap depa ni. Dah sangat melampau, biadap terhadap umat Islam. Tolonglah jangan tengok saja...
 
 
 


Monday, July 8, 2013

Chi Chi Burger, Taman Free School, Penang

 
 
 
Chi Chi Burger terletak di Taman Free School, Penang. Gerainya kecik saja. Waktu beroperasi pun pendek; kalau tak salah aku dari pukul 6 petang hingga 9 malam sahaja.
 
 
Orang sekitar gelar Chi Chi Burger sebagai Burger Orang Kaya. Sebabnya? Pemilik gerai menjual burger ikut suka hatinya kekeke. Pemiliknya seorang perempuan yang berumur dah 60 tahun.
 
 
Chi Chi Burger juga boleh tolak-tolak kalau pesanan yang dibuat terlalu banyak. Memang kelakar betul. Tapi pelanggan sentiasa ada. Pelanggan sentiasa memburu Chi Chi Burger.
 
 
Burgernya sedap. Sos terasa tetapi tak melimpah-ruah sampai sukar nak makan. Di dalamnya ada ubi kentang dan sayur goreng berlada hitam.

Cuba order burger special yang ada telur tu. Memang sedap sebab mayonis diletakkan di dalam telur bukan di letakkan di atas roti. Sayur kobis, carrot, salad, bawang pun ada diletakkan dalam jumlah yang mencukupi. Bila burger dimakan tak ada sememeh dengan sos atau sayur terkeluar sana sini.

Kalau nak burger pedas boleh request. Memang pedas berapi sebab diletakkannya cili padi potong....haaa amek ko kekeke.

Yang paling kelakar menurut makcik ni ialah orang TV3 pernah datang untuk interview dia suatu ketika dulu. Makcik ni kata nak makan burger boleh, interview tak nak kekeke.
 
Jom layan Chi Chi Burger :)

Wednesday, June 12, 2013

Selamat Sudah....

Alhamdulillah, selamat sudah adik bongsuku berkahwin.
 
Fuh! Letih tak terkata selesai menguruskan urusan perkahwinan dari A-Z. Disebabkan mak dan ayah telah tiada; aku dan Abg adalah penggantinya.
 
Malam sebelum kenduri masih ada tetamu yang tercicir. Jenuh aku meminta maaf dan menjemput mereka melalui Paknjang. Alhamdulillah mereka memahami dan tetap hadir. Terima kasih.
 
Hujan lebat pada hari tersebut. Aku gelisah. Takut tiada tetamu yang hadir dan makanan akan dibazirkan.
 
Alhamdulillah, tetamu hadir seperti dalam perancangan. Majlis berjalan lancar dan santai. Yang paling menyenangkan hatiku, saudara-mara dapat berkumpul dan beramah-mesra. Begitu juga dengan teman-teman baikku. Rasa sangat terharu bila mereka sanggup datang dari jauh, dalam hujan lebat semata-mata untuk meraikan jemputan dariku.
 
Terima kasih yang tak terhingga buat Abg, Izat, sepupu, mak dan bapa sedara yang banyak membantu meringankan bebanku. Aku sangat menghargainya.
 
Tetapi ada sedikit kekecewaan....gambar aku dan Abg sangat minima jumlahnya berbanding mereka yang lain yang berposing bagai nak rak.
 
Ish, sampai hati hangpa semua lupakan tuan rumah...hehehe.
 
Gambar pengantin dalam pokok-pokok lalang yang aku suspek jirat cina...errk! 
 
 
Gong Xi Fatt Choi....hehe 
 
 
Iman dan Fawwaz 
 
Maksu dan Paksu bergambar dengan Iman. Kelakar tengok gambar ni sebab Iman nak lari hehehe.
 
 

Monday, May 13, 2013

Kisah Hantu Di Asrama Sekolah (3)

Kejadian ini berlaku semasa pelajar Tingkatan 5 sibuk nak menghadapi SPM.
 
Seperti biasa pada pukul 11 malam lampu bilik dorm wajib dipadamkan. Kalau terasa nak sambung study, silalah duduk di koridor atau gunakanlah lampu suluh dengan sebaik-baiknya. Mata rabun, sendirilah tanggung.
 
Aku tergolong dalam mereka yang terus tidur bila lampu dipadamkan. Mataku jenis yang tak boleh bertahan membaca menggunakan cahaya lampu suluh. Boleh migrain dibuatnya.
 
Biasanya aku "peram' mata. Sukar sungguh aku nak lelapkan mata sejak hari pertama aku jejakkan kaki di sekolah ini. Entah apa sebabnya aku pun tak pasti.
 
Tiba-tiba suasana malam yang sunyi dikejutkan dengan bunyi tapak kaki dan rantai diheret di koridor.
 
Kebetulan pada malam itu tak ada seorang pun rakan sebilikku yang study di koridor.
 
Meremang bulu romaku. Terus aku tarik selimut sampai ke kepala. Janganlah hantu tu masuk ke dalam bilik dan cari aku yang masih tak boleh tidur tu. Sampai berpeluh-peluh aku dibuatnya.

Alhamdulillah, hantu tersebut sekadar bersiar-siar di sepanjang koridor.

Keesokan harinya heboh cerita tentang bunyi tapak kaki dan seretan rantai di koridor. Rupanya ramai jugak yang tak tidur lagi dan berselimut litup sepertiku hehehe.

Friday, May 10, 2013

Serawa@Pengat Labu


Bahana menonton Masterchef Selebriti, aku pun jadi teringin nak makan serawa labu. Serawa dalam bahasa Utara; nama lainnya pengat.

Labu ni besar gedabak. Disebabkan tak lut aku hiris, akhirnya Abg yang tolong potong dan buangkan kulitnya. Terima kasih...hihi.

Nikmatnya makan serawa labu di tengah malam. Apa tidaknya, aku mula masak serawa ni pun  jam dah pukul 10.30 malam.

Yang paling aku seronok, Abg pun makan serawa ni dengan banyak. Sebelum ni aku tak pernah masak serawa labu sebab Abg tak sukakan apa jenis serawa pun. Akhirnya...Lepas ni bolehlah  masak pelbagai jenis serawa lagi.

 Serawa Labu

  • 1/2 biji labu - dibuang kulit dan dipotong-potong
  • 2 keping gula kabung
  • 1 kotak santan segera
  • 1/2 sudu teh garam
  • 2 sudu besar sagu - direndam 
  • 1 helai daun pandan - disimpul
Kaedah :
  1. Masukkan labu, air, gula kabung dan daun pandan ke dalam periuk. Rebus sehingga labu agak lembut.
  2. Masukkan sagu yang telah direndam.
  3. Bila sagu telah kembang, masukkan santan dan masak sehingga mendidih. 
  4. Serawa perlu sentiasa dikacau untuk pastikan santan tidak pecah minyak. Tutup api bila labu telah empuk.

Friday, May 3, 2013

Bagaimana Memilih Arnab Sebagai Haiwan Kesayangan (1)

Ramai di antara kita gemar membela arnab sebagai haiwan kesayangan. Di sini aku ingin memberi beberapa panduan  ringkas sebelum membeli arnab.
Semasa memilih arnab di kedai haiwan atau pasar malam pastikan arnab tersebut dalam keadaan sihat. Bagaimana nak tahu arnab tersebut benar-benar sihat?

1. Perhatikan bulu arnab tersebut. Arnab yang sihat bulunya bersih dan bersinar. Ini menunjukkan yang arnab tersebut sihat dan sentiasa 'grooming' dirinya. Jika arnab itu sakit tentulah ianya tidak akan membersihkan dirinya sendiri.


2. Pastikan mata arnab bersinar, tiada lelehan pada mata, hidung atau mulut. Jika ada, itu menunjukkan kemungkinan arnab tersebut mengalami jangkitan pada saluran pernafasan.

3. Cuba teliti telinga dan kawasan muka arnab. Pastikan telinga dan bahagian mukanya bersih daripada jangkitan ektoparasit (contohnya tungau). Jangkitan ektoparasit biasanya akan menyebabkan telinga dan bahagian muka arnab seakan mereput, serta alopecia (botak) pada badan akibat bulu yang luruh.
 
4. Bahagian tapak kaki arnab sepatutnya tiada bengkak kemerah-merahan. Jika ada, ianya dikenali sebagai 'pododermatitis' iaitu jangkitan pada 'pad' di tapak kaki arnab. Keadaan ini jika dibiarkan tanpa rawatan, akan menyebabkan arnab mati akibat menahan sakit dan tidak mahu makan selain risiko jangkitan sekunder oleh bakteria.

5. Pilihlah arnab yang berumur 2 bulan dan ke atas. Ini kerana, tempoh cerai susu (berhenti menyusu) bagi arnab ialah 2 bulan. Ramai peniaga arnab akan menjual arnab apabila ianya mencecah umur 1 bulan. Ini meningkatkan risiko kematian kepada anak arnab tersebut memandangkan ianya masih kecil dan ketahanan badannya masih lemah.


Jangan terpedaya dengan kata-kata manis peniaga. Mereka hanya ingin mendapatkan keuntungan dan melepaskan tanggungjawab kepada pembeli. Ramai daripada pembeli membeli arnab yang belum sampai tempoh cerai susu kerana tertarik dengan kecomelan arnab tersebut. Tetapi apabila dibawa pulang dan dibela dalam jangkamasa yang singkat sahaja kebanyakannya anak arnab itu akan mati.

Memanggey

Memanggil atau memanggey adalah istilah orang utara bagi menjemput orang makan kenduri.
 
Kad kahwin adik bongsuku dah siap. Aku dah mula menjalankan misi memanggey. Orang pertama yang bertuah itu adalah kawan baik arwah mak.
 
Biasanya orang memanggey cuma bersalaman sambil bertanya khabar dan menyatakan tujuan mereka datang sambil memberikan kad jemputan. Jarang sangat orang datang memanggey akan masuk ke dalam rumah dan makan minum sampai kenyang baru beredar.
 
Mungkin pengalaman pertama; kami dah terlajak bersembang siap makan minum dan menonton cerita kartun di rumah makcik tersebut yang merupakan jemputan pertama kami. Hangus 30 minit.
 
Aku juga akan memberi penelitian pada pakaian semasa memanggey. Kebetulan aku memakai jeans dan blouse. Jeans agak sendat. Bukan salah jeans, salah aku yang tak habis-habis mengumpul lemak. Jeans tu asalnya longgar. Natijahnya, makcik itu memandang aku atas dan bawah.
 
Ish.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...