Masa aku kecil, aku seorang diri, tak ada abang, kakak mahupun adik. Sampailah umurku 11 tahun, baru dapat adik.
Aku banyak habiskan masa bermain sendirian. Bercakap dengan binatang-binatang, anak-anak patung. Bukan tak ada kawan-kawan sebayaku, tapi mak dan ayah tak berapa galakkan aku bergaul dengan mereka. Mak tak nak aku main pasir, merayau tak tentu pasal. Lagipun ada di antara mereka suka mencarut. Itu lagilah mak dan ayah tak suka. Takut aku terikut.
Bila waktu petang, aku bosan, aku masuk ke hutan di belakang rumah. Tak jauh, betul-betul belakang rumah. Hutan pokok nipah, paya air payau. Ada pokok kelapa tumbang, aku panjat. Aku letak tali dan buat kuda. Aku goyang kuat-kuat sambil nyanyi-nyanyi.
Wa yang cari daun pisang petang-petang selalu aku sergah. Terkejut dia tengok aku main seorang diri dalam hutan.
Wa tanya aku "Tak takut ka sorang-sorang?" "Ada ular ka apa ka nanti?"
"Dak pun..." Aku jawab sambil sengih-sengih.
Takut apa, belakang rumah saja.
Tapi aku tak pernah tahu. Ada mata yang memerhatikan aku. Yang menyeringai mahu berkawan. Akhirnya, aku berteman tanpa pernah aku sedari.
No comments:
Post a Comment