Pages

Saturday, February 27, 2021

RESEPI : SUP AYAM VERSI MASAM

 SUP AYAM VERSI MASAM

Bahan-bahan :
  • Ayam - 4 ketul
  • Bawang besar - hiris
  • Bawang putih - hiris
  • Halia - hiris
  • Serai - ketuk
  • Kerisik - satu sudu besar
  • Asam keping
  • Serbuk pati ayam
  • Garam

Cara :
1. Panaskan minyak, tumis bawang besar, bawang putih, halia dan serai sehingga wangi.

2. Masukkan air, ayam, kerisik, daun limau purut dan asam keping.

3. Perasakan dengan serbuk pati ayam serta garam.

4. Renehkan sup sehingga ayam lembut. Siap untuk dihidangkan.

*Boleh tambah cili padi yang diketuk jika suka pedas. Tomato juga boleh dimasukkan jika suka.

Aku tambah dim sum dalam sup 



Tuesday, September 1, 2020

RESEPI : ROTI MANIS @ BREAD ROLLS

Kali ini aku ingin berikan resepi roti manis yang mudah tetapi sedap dan lembut. Resepi ini berguna untuk orang yang bekerja dan masih mahu menghasilkan roti sendiri.

Kebiasaannya apabila sampai di rumah selepas balik kerja, aku akan sediakan bahan-bahan, masukkan ke dalam bread maker, pergi mandi dan siapkan dinner. Aku biarkan saja bread maker menjalankan tugasnya selama lebih kurang 1 jam 20 minit. 

Aku selalu sukat tepung dan air sahaja. Yang lain-lain tu aku sukat menggunakan sudu.

Selesai makan malam, aku bentukkan doh, proof dan kemudian bakar roti. Sempat jer buat roti sendiri jika kita boleh atur masa dengan baik, insyaAllah :-)


ROTI MANIS @ BREAD ROLLS 

- menghasilkan 9 biji roti saiz sederhana

 Bahan-Bahan :

  • 250 gram tepung high protein
  • 40 gram gula halus (4 sudu besar)
  • 125 mL susu segar (jika gunakan air, sila tambah 1 1/2 sudu besar susu tepung)
  • 30 gram butter / marjerin (1 1/2 sudu besar)
  • 5.5 gram yis segera (2 1/2 sudu kecil)
  • 1/2 biji telur
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/2 sudu teh bread improver
  • 1/2 sudu teh bread improver

Cara memasak :
1. Masukkan air dan telur ke dalam bread maker / mixer.

2. Masukkan tepung dan bahan-bahan lain. Pastikan yis diletakkan jauh dari garam.

3. Setelah proses menguli bermula, masukkan butter / marjerin.

4. Selesai menguli dan proofing, bentukkan doh dan proof lagi untuk 30 minit. Semasa membentuk doh pastikan tangan diletakkan butter / marjerin.

5. Kaedah proofing yang aku buat adalah : Semasa bread maker start menguli, aku panaskan oven selama 5 minit pada suhu 160 darjah celsius.
Kemudian aku masukkan doh yang telah dibentuk dan ditutup dengan kain ke dalam oven. Proses proofing akan menjadi mudah dan cepat.

6. Selesai proofing, keluarkan doh dan glis dengan telur (1/2 biji telur tadi + satu sudu besar air).

7. Tabur sedikit bijan di atas doh dan bakar doh pada suhu 160 darjah celsius selama 15 - 20 minit, api atas bawah mengikut kesesuaian oven masing-masing. Boleh juga taburkan gula halus bagi menggantikan bijan.

8. Keluarkan roti, glis dengan butter / marjerin ketika masih panas.

9. Bila roti agak sejuk, simpan roti di dalam bekas yang tertutup.

Doh yang telah siap diglis dengan telur dan ditabur bijan

Roti yang telah siap...sangat lembut dan sedap


Wednesday, August 5, 2020

BILA?

Bila pandemik Covid-19 akan berakhir?
Ntah, tak tahu.
Selagi vaksin tidak dikeluarkan.

Semua sudah mula memakai pelitup muka atau face mask.
Itupun setelah diberi amaran untuk dikenakan denda kepada yang gagal berbuat demikian.

Pada pendapat aku undang-undang walau sebaik mana pun akhirnya berbalik kepada penguatkuasaan.
Undang-undang yang bagus tapi penguatkuasaan lemah, hasilnya tetap zero.

Ok semoga semua dapat menjaga diri masing-masing dengan baik.
Elakkan sikap selfish untuk kebaikan bersama.

Take care.

Saturday, April 18, 2020

RESIPI : KARIPAP RANGUP

KARIPAP RANGUP

Bahan-bahan :
500 gm tepung gandum - panaskan 
1/2 cawan minyak masak - panaskan sehingga cair
1/2 cawan marjerin
1 sudu teh garam
1/2 cawan air sejuk dari peti ais

Cara memasak :
1. Gaul tepung (yang telah dicampurkan garam) bersama minyak dan marjerin menggunakan sudu. Awas! Minyak panas.

2. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli doh sehingga licin.

3. Rehatkan doh selama 1 jam di dalam peti ais. Kemudian doh boleh dicanai dan diletakkan inti.

4. Goreng karipap dengan minyak yang tidak terlalu panas untuk mengelakkan kulit karipap mengelembung.

Monday, April 13, 2020

RESIPI : ROTI NAAN VERSI SIMPLE

Time Movement Control Order (MCO) ini perut asyik lapar dan mulut nak makan jer.

Ok, ini Roti Naan versi mudah yang aku buat untuk sarapan. Cicah dengan kari daging.

ROTI NAAN VERSI SIMPLE

Bahan-bahan :
2 cawan Tepung gandum
1 sudu teh Baking powder
Air suam - ikut kesesuaian
1 sudu besar minyak sapi
Garam secukup rasa
Cheese parut - aku tak letak.

Cara memasak :
1. Masukkan baking powder dan garam ke dalam tepung gandum. Gaul rata.

2. Masukkan air suam dan uli sehingga menjadi doh.

3. Masukkan minyak sapi dan uli lagi doh sehingga licin.

4. Tutup doh dengan kain lembap selama 30 minit.

5. Canai doh dan masukkan cheese parut.

6. Masak di atas frying pan yang telah diletakkan minyak.



Saturday, April 11, 2020

RESIPI : SIMPLE SPONGE CAKE

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Hari ini aku nak kongsikan satu resepi sponge cake yang mudah tetapi sedap. Aku biasanya gunakan resepi ini untuk buat cupcake. Rasa kek ini serupa seperti cupcake Mighty White yang biasa dibeli di kedai. Kebetulannya aku memang gemar rasa cupcake keluaran Might White; sedap. Jom! Tengok resepinya.


SIMPLE SPONGE CAKE

Bahan-bahan :
90 gram tepung gandum + 1 sudu kecil baking powder (aku guna tepung naik sendiri)
65 gram gula castor
1 sudu besar susu tepung
2 biji telur - suhu bilik
1 sudu besar ovallette
1 sudu kecil esen vanilla
4 sudu besar minyak jagung / mentega cair
1 sudu kecil butter oil (jika gunakan minyak jagung).

Cara memasak :
1. Satukan semua bahan di dalam mixer (kecuali minyak / mentega) dan mix semua bahan sehingga berkrim dan putih.

2. Masukkan minyak / mentega cair dan gaul rata menggunakan spatula.

3. Boleh masukkan dalam paper cup dan bakar di dalam oven, api atas bawah, suhu 160 ℃, 15 - 20 minit bergantung kepada oven masing-masing.


*Semasa lockdown ini boleh ajar anak-anak untuk masuk ke dapur untuk mencuba resepi yang mudah ini :-)

Sunday, August 5, 2018

PERTAMA KALI NAIK ETS

Baru-baru ini aku menghadiri konferens di Kuala Lumpur. Aku memilih untuk menaiki ETS untuk ke sana. Selalunya aku akan menaiki kapal terbang atau kereta sahaja untuk urusan rasmi kerja. 

Sudah terlalu lama aku tidak menjejakkan kaki ke dalam perut keretapi. Semasa belajar dulu, keretapi merupakan kenderaan utama aku untuk berulang-alik ke universiti.

Sudah berubah rupanya setelah hampir 20 tahun. Aku seperti rusa masuk kampung bila tiba di KL Sentral. Ambil masa juga untuk aku nak memahami kawasan tersebut disebabkan terlalu ramai manusia. Aku nampak kiri kanan, depan belakang seolah-olah sama hihi.

Nampaknya aku seperti dulu, masih senang dengan keretapi berbanding dengan kapal terbang dan bas. Rasa selesa dan tidak terkejar-kejar.

Seronok tengok perangai orang sekeliling. Tambahan bila aku di koc C berdepan dengan kafe yang menjual makanan dan minuman. Macam-macam gelagat orang yang ada hihi.

Cumanya kali ini aku tersilap beli tiket di mana seat aku mengadap dengan seat orang lain. Agak kurang selesa bila nak melunjurkan kaki pun tak boleh.

Tapi aku tetap gembira sebab bila tiba di KL Sentral aku dapat borong buku-buku terpakai. Yipee!

Wednesday, August 1, 2018

KILAT DAN GURUH ITU

Semalam heboh tentang kilat dan bunyi guruh yang pelik di Lembah Klang.

Hakikatnya kilat dan guruh seperti itu telah biasa terjadi di Penang. Memang menakutkan. 

Kilat yang memancar dan menggegarkan rumah. Bunyi seperti letupan. Guruh yang panjang dan berbunyi seperti ada keretapi yang panjang sedang melalui langit. Seram. Sehingga aku keluar melihat ke langit. 

Dunia semakin tua. Takutlah dengan kemurkaan Allah. Kiamat kecil itu bila-bila masa akan terjadi.

Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosa kami. Kami insan yang lemah. Sentiasa alpa dan melakukan kesilapan.

Sunday, June 3, 2018

PARKING BERTINGKAT DI LEXIS PENANG

Hari ini Abg bawa kami berbuka di Lexis, Penang. Ini kali pertama kami ke sana. Di atas faktor lokasi yang terlalu biasa kami tak pernah rasa nak ke sana. Kami cuma pernah menginap di Lexis Hibiscus, Port Dickson. Kat situ memang best dan menarik.

Ok, sesampai di Lexis parking di luar semuanya dah penuh. Maka nak tak nak terpaksa parking di multiple parking.

Masuk saja untuk ke ruang parking kami dah terjerit kecil. Entah siapalah arkitek yang design jalan yang macam tu. Setiap belok ada tiang persegi. Gilerlah. Kereta kami tak lepas nak belok untuk naik. Aduh! Nasib baik di belakang kami tak ada kereta lain. Setiap selekoh terpaksa Abg undur dan belok 2 kali! Naik biru muka aku menahan takut kereta terlanggar tembok atau belakang kereta terlanggar tiang. Nasiblah bukan aku yang drive. Kalau tidak mahu aku turun tinggal kereta kat tengah jalan tu haha. Syukur kereta ada sensor. Kalau tidak entahlah. Patutlah pada tembok tu ada jer bekas kereta terlanggar ke apa ntahlah.

Berbuka di situ ok, selesa dan makanan sedap. Staf sangat peramah. 

Ha! Nak keluar parking pulak! Tarik nafas bila dah sampai ke bawah. Ya Tuhan. First time seumur hidup aku jumpa jalan untuk ke parking yang semacam ini. Taubat! Kami takkan masuk dah parking di Lexis ni hahaha.

So yang lelain tu silalah ukur kenderaan anda sebelum masuk ke parking bertingkat di Lexis Penang haha.
Lexis PD parkingnya OK.

Monday, May 7, 2018

JOM MENGUNDI...

Assalamualaikum.

MasyaAllah...sudah hampir setahun rupanya aku tak berblogging. Keinginan untuk menulis setiap hari menggebu-gebu malangnya kesibukan kerja seharian menyebabkan aku terpaksa memendam keinginan tu. Tambahan pula laptop kat rumah rosak :(

Esok aku akan pulang ke kampung Abg; untuk mengundi lusanya. Seperti biasa awal-awal pagi selesai saja Abg mengundi, kami akan balik kerana 'turn' aku pula untuk mengundi di sini hihi.

Doanya proses pilihanraya kali ini akan berjalan dengan lancar, telus dan aman. Alhamdulillah, kali ini bahang pilihanraya tidak terasa sangat. Nampak lebih aman dan terkawal. Semua rakyat tak sabar mengundi, itu jer yang aku rasa hihi.

Apa-apa pun buatlah pilihan menggunakan akal yang waras. Jangan terpengaruh kerana emosi dan dengar kata-kata itu dan ini. Kita sudah cukup dewasa dan bijak untuk menilai. Undi penentu masa depan kita dan generasi akan datang. Mohon dan berdoalah kepada Allah.

Selamat mengundi untuk semua. Jangan ambil pendekatan di atas pagar dan hanya mahu tunggu dan lihat :-)

Tuesday, May 30, 2017

RESIPI : AGAR-AGAR OREN SUNQUICK


AGAR-AGAR OREN SUNQUICK

Bahan-bahan :
Sebungkus serbuk agar-agar (10 gram)
180 gram gula
800 mL air
2 sudu besar Sunquick

Cara memasak :
1. Masak agar-agar, gula dan air sehingga mendidih.

2. Masukkan jus Sunquick, kacau rata dan tutup api.

3. Tuang di dalam loyang/bekas yang telah dibasahkan dengan air supaya agar-agar senang keluar bila dipotong nanti. Masukkan di dalam peti sejuk.

Resepi agar-agar aku ini senang dipotong. Kalau mahu agar-agar yang lebih lembut boleh tambah air sehingga 1000mL, gula 250 gram dan letakkan agar-agar di dalam bekas-bekas kecil supaya bila hendak dimakan boleh diceduk menggunakan sudu sahaja :-)


Monday, May 29, 2017

RAMADHAN KAREEM

Selamat berpuasa untuk semua umat Islam walau di mana saja anda berada. Semoga di bulan Ramadhan yang mulia ini kita sama-sama dapat meningkatkan amal ibadah kita, insyaAllah.

Iman cuba berpuasa tahun ni, alhamdulillah. Hari pertama berpuasa Iman cuma dapat bertahan sampai pukul 2 petang sahaja. Kemudian dia menangis tersedu-sedan minta nak air. Dah dapat air kosong dan roti, Iman tersengih-sengih berjanji esok mahu puasa penuh.

Alhamdulillah, hari kedua Iman berpuasa penuh. 2 jam sebelum berbuka aku minta Abg bawa Iman ke Tesco, jalan-jalan supaya dia dapat lupakan kelaparan buat sementara waktu. Aku tengok Iman cergas dan riang ria saja. Cuma ada gak adegan Iman ambik air dan pura-pura nak minum tapi tak jadi hihi.

Dah dua hari aku memasak untuk berbuka. Kami makan simple sahaja. Alhamdulillah, yang penting kenyang perut serta berkhasiat. Semoga kami istiqhamah dalam berbuka begini, insyaAllah.

Abg berterawih di surau, aku berterawih di rumah sahaja; di atas kerusi. Kaki tak mampu dibengkokkan lagi. Kaki pun masih lemah kata fisioteraphist yang merawatku. 

Kelmarin dulu Abg pergi tukar ubat saraf untuk kaki aku. Alhamdulillah, kali ini ubat bersesuaian. Aku dapat tidur dengan lena. Ubat sebelum ini buatkan jantung aku berdegup seperti mahu terkeluar dari dada. Panik aku satu hari menunggu kesan ubat itu hilang...Fuhh!

Semalam budak berpuasa request nak makan keledek goreng. Maka aku habiskan keledek yang ada buat goreng jejari. Cicahannya mestilah sambal kicap. Asyik. Iman seperti biasa akan cicah keledek goreng dengan gula hihi.


Untuk batter aku cuma gunakan tepung beras, telur, air kapur, garam dan air. 

Wednesday, May 24, 2017

RESEPI : AISKRIM HOMEMADE

Ini resepi aiskrim kedua yang aku cuba buat. Resepi pertama yang menggunakan telur dan ovallete tak menjadi. Jadi apa ntah. Mungkin aku yang silap buat sampai aiskrim tak jadi dan adunan dibuang.

Resepi kedua ni aku dapatkan dari youtube. Memang jadi. Memang sedap.

AISKRIM HOMEMADE

Bahan-bahan :
  • 600 mL Heavy Cream
  • 400 mL susu pekat (lain kali aku akan kurangkan sebab aku tak suka manis)
  • Esen vanilla
  • Topping - coklat parut / sirap strawberi / oreo yang dihancurkan / kekacang

Cara membuatnya :
1. Pukul heavy cream sehingga kental.

2. Masukkan susu pekat dan esen vanilla, pukul lagi adunan sehingga sebati.

3. Gaulkan dengan topping mengikut apa yang anda suka.

4. Masukkan dalam bekas bertutup dan letakkan di dalam freezer untuk 4 jam dan lebih.




 Satu perasa strawberi sementara satu bekas lagi aku letakkan dark chocolate parut






Monday, May 15, 2017

RESIPI : MI TELUR HOMEMADE

Peperiksaan Pertengahan Tahun baru saja berakhir. Hari ini Iman demam. Maybe sebab cuaca panas sangat atau Iman terlebih makan pulut sewaktu majlis tahnik Ilham. Iman siap mengaduh sakit badan. Emm...sakit uratlah tu sebab pulut.

Petang semalam pun Iman tidur saja. Aku minta bantuan dia untuk sama-sama buat mee telur pun dia menolak. Nampak sangat dia memang tak larat. Cuma masa tu badan Iman takderlah panas.

Ok, aku sempat buatkan mee telur homemade petang semalam untuk makan malam kami sekeluarga. Orang tak sihat buat kerja maka faham-fahamlah betapa slownya bergerak. Aku lebih banyak duduk daripada berdiri.

Disebabkan aku tak punya mesin pasta/mee, maka aku potong saja doh menggunakan pisau. Jangan lupa taburkan sedikit tepung di atas dulang untuk elakkan mee melekat.


Ini rupanya mee yang telah dicelur dan dimasukkan sedikit minyak. Mee agak tebal memandangkan potongan dibuat secara manual.

Rupa mee sup yang telah dimasak. Buruk betul gambar ni, Tapi aku dah tak larat nak snap gambar. Sampai rupa sayur dalam sup pun tak kelihatan.

MI TELUR / EGG NOODLES

Bahan-bahan :
  • 300 gram tepung gandum
  • 1 biji telur (pukul sedikit)
  • 130 mL air (tuang sedikit-sedikit)
  • 1/2 sudu teh garam
  • Minyak masak

Cara memasak :
1. Masukkan telur, garam dan sedikit demi sedikit air ke dalam tepung.

2. Uli doh sehingga membentuk doh yang licin.

3. Canai doh dan potong mengikut bentuk yang dikehendaki. Jika ada mesin pembuat mi / noodle maker boleh masukkan doh ke dalamnya.

4. Didihkan air dan masukkan sedikit minyak masak ke dalamnya.

5. Masukkan mi dan angkat bila masak.

6. Lalukan mi di bawah air sejuk. 

7. Boleh gaulkan mee dengan sedikit minyak lagi jika anda suka.

8. Mi sudah siap untuk digunakan sama ada untuk buat mi sup, mee kicap, mi goreng dan pelbagai resepi lagi.

Mi telur sedap dimakan begitu saja. Yang penting mi ini lebih sihat dan terjamin kebersihannya kerana kita yang membuatnya sendiri.

Selamat mencuba :-)


Friday, May 12, 2017

SERVIS MANGKUK TINGKAT, KEPALA BATAS, PULAU PINANG

Disebabkan doktor tak bagi aku bergerak banyak, Abg order servis mangkuk tingkat untuk aku. Aku terpaksa tahan diri untuk memasak. Perlu duduk saja sambil goyang-goyang kaki hihi.

Alhamdulillah. Sedap masakan mangkuk tingkat ni.

Servis mangkuk tingkat ini cover area Kepala Batas ke Seberang Prai. 

Menu untuk bulan Mei 2017. 


Boleh jenguk FB depa di Mangkuk Tingkat, Kepala Batas.

Nasi beriyani lauk kambing

Wednesday, May 10, 2017

PERTANIAN KECIL-KECILAN ;-p

 Limau kasturi berbuah lebat. Baru petik.


Serai dan daun pandan pun banyak. Alhamdulillah.

RESEPI : COCONUT COOKIES

COCONUT COOKIES

Bahan-bahan :
  • 65 gram mentega
  • 75 gram gula caster
  • 1 biji telur
  • 1/2 st esen vanilla
  • 65 gram tepung gandum
  • 1/2 st baking powder
  • 135 gram dessicated coconut / kelapa parut kering

Cara memasak :
1. Panaskan oven suhu 160 degree celsius. 

2. Pukul mentega dan gula sehingga sebati.

3. Pukul sedikit telur dan esen vanilla. Masukkan ke dalam adunan mentega.

4. Ayak tepung dan baking powder ke dalam adunan mentega.

5. Masukkan dessicated coconut.

6. Bentukkan doh kepada dua bahagian memanjang diameter 4cm.

7. Balut adunan menggunakan waxed paper dan masukkan di dalam peti sejuk untuk 30 minit.

8. Buka balutan, potong doh dan bakar selama 12-15 minit sehingga masak.

Tuesday, May 9, 2017

KISAH BAWANG PUTIH GORENG

Hari ni aku nak cerita tentang bawang putih. Ini bukan cerita bawang putih dan bawang merah tu. Ini cerita aku yang terover makan bawang putih.

Mak sedara bagi aku sample bawang putih goreng yang dia nak jual. Aku macam biasalah bila dapat bawang putih mesti aku nak pulun makan walaupun baunya perghh!

Nak dijadikan cerita aku makan bawang putih goreng ni macam aku ratah kerepek. Macam aku ratah bawang merah goreng (bau mulut lepas tu boleh pitam!). 

Tiba-tiba semasa aku membeli makanan untuk lunch di sebuah kafe, aku rasa badan aku ringan dan ringan seperti nak terbang. Kaki dah mula rasa tak jejak tanah.

Sambil gelak-gelak aku beritahu rakanku yang aku macam nak terbang. Rakanku terus jadi panik bila lihat wajahku dah pucat. Terus dia pimpin aku. Bawa balik ofis dan habis kaki tangan aku dilumur minyak panas. 

Rupanya tekanan darah aku sudah jadi terlalu rendah akibat makan terlalu banyak bawang putih goreng hahaha. 

Tobat! Lepas peristiwa tu aku dah tak berani sentuh lagi bawang putih goreng. 

Ya...aku pulih selepas beberapa hari aku stop meratah bawang putih goreng.


RESEPI : SHORTBREAD STARS

Dah dekat-dekat nak puasa ni aku sharelah resepi cookies yang mudah-mudah ya. Resepi aku ambil dari buku Cookies. Semua resepi mat salleh. Simple-simple belaka dan mudah untuk adik-adik yang baru belajar nak baking. Cubalah...

SHORTBREAD STARS 

Bahan-bahan :

  • 125 gram mentega
  • 50 gram gula castor
  • 1 st ekstrak vanilla / esen vanilla
  • 125 gram tepung gandum
  • 2 sb + 2 st tepung jagung
  • 65 gram cip coklat

Cara memasak :
1. Krimkan mentega, gula dan esen vanilla sehingga sebati.

2. Masukkan tepung gandum dan tepung jagung dan adunkan menjadi doh.

3. Terap menggunakan acuan yang diminati.

4. Masukkan adunan ke dalam peti sejuk untuk 20 minit.

5. Bakar di dalam oven, 160 darjah celsius, 15-20 minit.

6. Double boil cip coklat sehingga cair. Hiaskan cookies dengan coklat cair.

Sunday, May 7, 2017

BURGER KETAM KULIT LEMBUT


Hai! Nama saya Burger Ketam Kulit Lembut. Apa? Tak pernah dengar? *sigh*

Ini rupa saya di dalam kotak. Entah kenapalah tuan yang beli tak nak makan saya di kedai...Saya ni bila sejuk agak kaku dan kurang sedap sikit.


Ini pulak saya yang sudah dipindahkan ke atas pinggan. Kenapalah tuan ni tak makan-makan lagi saya? Saya makin sejuk dan kaku ni...


Eh! Eh kacak sangat ke saya ni sampai tertunduk-tunduk tuan ni snap gambar saya. Ok, saya beraksi macho sikit...

*Pelik untuk aku Burger Ketam Kulit Lembut. Macam gabungan yang tak berapa serasi walaupun burger tu sosnya sedap; ketam pun sedap. 

Akhirnya aku makan burger dan ketam berasingan kekeke.

Burger Ketam Kulit Lembut ini boleh didapati di KOPPI Station, Bertam. Boleh cari di dalam applikasi Waze. Kopi dan makanan kat situ sedap-sedap. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...