Pages

Saturday, March 25, 2017

MENANTI

Alhamdulillah. Pagi yang indah.

Hari ni hati aku sedikit berbunga-bunga menantikan kehadiran adik-adik. Sudah agak lama Angah tak datang ke rumah disebabkan sibuk dengan macam-macam hal.

Acu selalu juga datang jenguk sebab rumah Acu dekat jer.

Minggu lepas Angah dah nak datang tapi kami pula tak ada di rumah. Terpaksa keluar ke pejabat sebentar.

Iman orang yang paling gembira bila Angah atau Acu nak datang. Kali ni Iman dah happy sangat bila tahu Angah nak datang. Dah lama tak jumpa Angah; Iman rindu sangat.

Aku minta Angah bawa Iman pergi potong rambut. Rambut Iman dah panjang. Minggu depan sekolah akan buka. 

Sepanjang keadaan aku begini, aku tak dapat memasak bila adik-adik datang. Hihi kakak cuma tunggu makanan yang adik-adik bawakan. Semoga murah rezeki adik-adikku...Ameen.


Gambar cucur ikan bilis yang sedap. Rangup di luar, lembut di dalam. Kata Iman, sedapnya cucur ini.

Resepi mudah menggunakan air panas mendidih. Pertama kali cuba dah jatuh cinta. 

Rindunya nak memasak...

Wednesday, March 22, 2017

AGAR-AGAR KU SANGKA TELUR


Suatu petang Abg singgah membeli kuih-muih di sebuah gerai di tepi jalan. 

Mulanya aku ingatkan ini ialah kuih telur hehehe. Mati-mati aku ingatkan depa kukus dua biji telur dalam bekas plastik tu.

Rupa-rupanya ini adalah agar-agar. Yang macam kuning telur tu adalah agar-agar berperisa oren. Kreatif betullah depa ni :-)

Monday, March 20, 2017

RINDU







Rindu pada semua teman-teman sekaki. Apakan daya. Perlu berehat selama 6 bulan.

Thursday, March 16, 2017

PROVOKASI & EKSPLOITASI

Baru-baru ini aku dan Abg bertemu seorang kawan lama yang menjual alat-alat penjagaan kecantikan. Tujuan utama ialah aku ingin membeli krim mata untuk mataku yang punya lingkaran gelap akibat tidak cukup tidur kerana bebanan kerja.

Dalam masa pertemuan yang singkat itu kawanku memberitahu aku bahawa wajahku nampak tua dari usiaku yang sebenar. Wajahku nampak stress dan tidak berseri. 

Aku cuma diam sambil tersenyum. Aku akui bebanan kerjaku agak berat dan menyebabkan sedikit stress. Kalau diberikan peluang ingin saja aku bercuti panjang untuk tenangkan fikiran bagi mendapatkan idea-idea baru yang boleh diterapkan di tempatku bertugas.

Selesai mengambil krim mata kami terus pulang ke rumah.

Dasar perempuan kan...
Sesampai sahaja di rumah aku mula bertanyakan pendapat Abg tentang apa yang diperkatakan oleh kawanku tadi. Aku mula menyebik bila teringatkan kata-kata kawanku tadi. Perempuankan hihihi.

Yang kelakarnya Abg dan anakku beriya-iya menafikan kata-kata kawanku itu. Aku pula teremosi dan asyik berfikir perkara tersebut sampai tertidur dibuatnya. Haha.

Selang tiga minggu pertemuan, seorang kawanku yang lain menghantar wassap mahu cuba krim mata yang aku gunakan. Sebenarnya krim itu memang berkesan padaku, alhamdulillah.

Terus aku pula wassap kepada rakan yang menjual krim itu untuk maklumkan kepada dia tentang seorang lagi rakan berminat untuk membeli krim mata tersebut.

Tahu tak apa yang berlaku? Rakanku itu meminta aku beritahu kawan yang nak cuba krim mata itu yang aku ada memakai set penjagaan muka yang dijualnya.

Eh! Tak naklah. Bila pulak aku pakai set penjagaan muka yang dia jual.

"Takper, ko bagitau jer ko pakai. Kulit ko dah ok. Kalau ko kata ko pakai set penjagaan muka ni sure orang akan beli daripada aku. Aku bagi komisyen nanti."

What!!! Haha. Ok bye.

Bila aku ceritakan kepada Abg, dia ketawa besar. Katanya, orang bisnes...biasalah. Provokasi dan eksploitasi itu untuk lariskan bisnes. Aduh! Begitu rupanya...

Monday, March 13, 2017

ASSALAMUALAIKUM

Assalamualaikum dan Selamat Pagi.

Terlalu lama rasanya aku tak berblogging. Bukan setakat bersawang, dah jadi hutan rimba dah pun blog aku ni hihi.

Sebenarnya banyak perkara telah berlaku semenjak bulan November 2016 hinggalah ke hari ini. Alhamdulillah. Bagi aku Allah akan sentiasa menguji hamba-hamba yang dikasihiNya. Kerana setiap kali selepas ujian yang diberikanNya, ada saja kebaikan yang tak pernah diduga hadir dalam hidup kami sekeluarga. Alhamdulillah.

Satu lagi yang aku perhatikan, ujian-ujian yang Allah berikan telah menunjukkan pada aku betapa kasih sayang adik-beradik, saudara-mara serta rakan-rakan amat tinggi pada diri kami sekeluarga. Syukur, alhamdulillah. Sentiasa mereka berdiri teguh di samping kami pada waktu susah dan senang.

Dua minggu lepas ibu saudaraku yang amat ku sayang telah meninggal dunia kerana sakit jantung. Hajatnya untuk bertemu dengan aku tak kesampaian. Ibu saudaraku pergi dulu setelah Subuh keesokan harinya.

Aku menangis-nangis di dalam perjalanan untuk menziarahi arwah. Rupanya arwah cuba menyorokkan sakitnya kepadaku. Telah berulang-kali aku berpesan kepadanya supaya menelefon aku jika ada apa-apa hal. Sehinggalah arwah sakit mengejut dan mungkin rasa tidak tertahan barulah diminta orang menelefon aku. Tapi semuanya telah terlambat.

Aku membantu memandi serta mengkapankan arwah di hospital. Kasih sayang terakhir yang dapat ku zahirkan kepada arwah. Arwah kelihatan amat tenang. Urusan jenazah juga amat mudah. Alhamdulillah. Semoga Allah tempatkan rohnya bersama-sama orang yang soleh.

Bersambung nanti...insyaAllah.

Thursday, October 27, 2016

SALTY CAKE - KING'S

Ternampak ada kek baru di King's. Aku jadi tertarik untuk mencuba. Namanya Salty Cake. Makinlah aku teruja. Selalunya kek manis, tak pernah pula rasa kek yang masin, kan?

Ada promosi untuk kek ini. Beli satu percuma satu.

Dah makan sikit kek baru teringat nak ambil gambar hehe...

Kek ini macam kek span. Dilapisi krim yang nipis dan di permukaannya ditabur bawang goreng. Bawang goreng? Iya.

Bila masuk jer ke dalam mulut...emm sedapnya Salty Cake ni. Tak ada rasa masin pun. Rasanya macam kek span, kuat rasa telur dan sedap bila tergigit bawang goreng.

Cubalah beli. Err...aku bukan buat iklan untuk King's ya hehehe. Cuma berkongsi rasa.

Wednesday, October 26, 2016

BILA DAPUR GAS TIDAK BERASAP

Semalam gas habis. Masa tu aku tengah masak nasi goreng untuk keluarga ibu saudara Abg yang datang dari Kelantan. Alhamdulillah aku punya mikrowave. Nasi goreng aku sambung masak di dalam mikrowave.

Hari ini aku bercuti. Anak tak berapa sihat. Tong gas yang baru dipasang pun tak mampu hidupkan api dapur. Aduh.

Bila pekedai gas tu datang check rupanya kepala gas yang rosak. Kejap lagi perlu ke kedai untuk beli kepala gas yang baru.

Bila dalam keadaan dapur tak berasap baru terasa pentingnya dapur konvesional. Walaupun ada dapur Noxxa  dan mikrowave yang harganya mahal tu tapi bila nak memasak macam selalu rasa renyah betul hehe. Lepas masak nak kena pindah-pindahkan lauk bagai.

Aku belajar sesuatu dari insiden ini. 

Ok bye. Nak keluar cari kepala gas. Keropok lekor yang ibu saudara Abg bawa terdampar sepi setelah dipotong menunggu untuk digoreng :-D



Monday, October 24, 2016

RESEPI : BIHUN GORENG TAK PEDAS

Bihun goreng ini aku sediakan untuk Iman maka unsur kepedasan memang tiada langsung. Biasanya aku akan sediakan sambal kicap untuk dimakan bersama-sama bihun ini.

BIHUN GORENG

Bahan-bahannya :
  • Bihun separuh bungkus - aku suka gunakan bihun cap Bintang.
  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 biji cili merah - dibuang biji
  • 1 mangkuk isi ayam dipotong dadu
  • 1 mangkuk kobis dipotong kecil
  • 1 mangkuk lobak merah dipotong memanjang
  • 1 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar sos cili Thai
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap manis
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara Memasak :
1. Rendam bihun lebih kurang 30 minit - Aku gemar merendam bihun menggunakan air biasa supaya semasa memasak bihun tidak lembut dan putus-putus.

2. Kisar bawang merah, bawang putih dan cili merah.

3. Tumiskan bahan-bahan kisar sehingga wangi. 

4. Masukkan isi ayam dan masak sehingga air ayam agak kering sedikit.

5. Masukkan sayur-sayuran, sos cili Thai, sos tomato, sos tiram dan kicap manis. Masukkan juga gula dan garam jika perlu.

6. Masukkan sedikit air.

7. Masukkan bihun yang telah disejatkan air tadi dan masak sehingga bihun lembut.





Sunday, October 23, 2016

SALTED EGG CROISSANT

Dah lama aku nak upkan entri tentang makanan ni tapi asyik terlupa jer. Simptom-simptom ketuaan dah mula melanda hehe. 

Asalnya aku beli croissant ini di awal tahun 2016. Dah nak habis tahun baru nak up entri. Memang terbaiklah. Boleh jadi calon wakil rakyat. Janji dicapati hehe.




Aku suka sangat dengan Salted Egg Croissant. Sedap sebab ada rasa manis campur savoury. Dan sebenar-benarnya egg yolk dari telur masin tu yang memanggil-manggil aku untuk membeli croissant ini.

Harga croissant ini agak mahal; RM5++. Haa tengok sampai harga pun aku dah lupa sebab dah terlalu lama haha. Tapi berbaloilah.

Dalam gambar di atas rupa croissant tak berapa menarik sebabnya croissant dah sejuk. Bila dikoyak dua egg yolk di dalamnya dah keras. Kalau masa panas-panas, fuhh...meleleh egg yolknya. Sedap sangat.

Tapi sekarang ni bila aku jenguk-jenguk di King's dah tak ada dorang jual Salted Egg Croissant. Teringin...

Kalau korang jumpa...jangan lupa beli. Memang ada yang rasa agak mahal tapi berbaloi.

Saturday, October 22, 2016

RESEPI : PARU DAN HATI LEMBU MASAK JINTAN

Dalam peti sejuk masih ada sedikit paru dan hati lembu yang beku. Disebabkan jumlahnya tak berapa banyak aku masak jer kedua-duanya sekali; campur.



PARU DAN HATI MASAK JINTAN

Bahan-bahan :
250 gram paru lembu
250 gram hati lembu
*Paru dan hati dipotong kecil dan direbus dengan sedikit garam sehingga empuk.

Bahan kisar :
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci halia
1 batang serai
Cili padi - ikut selera pedas masing-masing

Bahan tumbuk :
2 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan halus

Sedikit air asam jawa
Kicap manis
Garam dan gula

1 labu bawang besar - dipotong bulat untuk hiasan

Cara memasak :
1. Tumis bahan yang ditumbuk dan bahan kisar sehingga pecah minyak dan wangi. Tambah sedikit air jika bahan tumis terlalu pekat.

2. Masukkan air asam jawa, gula, garam dan kicap manis.

3. Masukkan paru dan hati yang telah direbus.

4. Masak sehingga kuah sedikit kering dan berpalut pada paru dan hati. Masukkan bawang besar yang telah dipotong bulat sebagai hiasan.

Cubalah. Sedap. Tak boleh berhenti makan nasi hehe.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...