Pages

Thursday, April 27, 2017

RESEPI: LAKSA KEDAH

Sabtu baru ni Abg bawa aku dan Iman jalan-jalan di Alor Setar. Terpaksa cari tempat yang paling dekat untuk jalan-jalan memandangkan keadaan kaki aku yang belum pulih sepenuhnya.

Anakku excited teramat. Dah dua bulan kami tak ke mana. Sesekali keluar, anakku muka berseri-seri hihihi. Kesiannya...

Dah ke Alor Setar tak lengkap tak pekena laksa Kedah. Laksa Kedah berbeza daripada Laksa Penang dari segi rasa dan bahan-bahannya. Tapi kedua-duanya tetap sedap dan ada rasanya yang tersendiri.

Memandangkan anakku bersungguh-sungguh menghirup laksa di kedai sampai licin, malam semalam aku masakkan lagi laksa Kedah untuk dia. Sanggup dia tunggu sampai ke pukul 9.30 malam untuk menikmati laksa yang aku masak. Kebetulan Abg balik dari kerja pukul 8.30 malam dan laksa kering baru sampai rumah untuk dimasak hihihi.

Walaupun sakit kaki yang cedera ni lepas memasak tapi hati aku gembira tengok anakku makan dengan bersungguh-sungguh.

LAKSA KEDAH

Bahan-bahan :

  • Laksa basah / Laksa kering - rendam dulu sebelum rebus dan tapis serta basuh dengan air paip.
  • 1/2 kg Ikan kembung + ikan sardin - rebus dengan asam keping dan garam.
  • 2 labu bawang besar - kisar
  • 2 sudu besar cili giling
  • 1 kiub ikan bilis
  • 1 tangkai bunga kantan - dibelah empat
  • Daun kesom
  • Garam
  • Belacan bakar - aku tak letak.
  • Asam keping 
  • Timun - hiasan
  • Salad -hiasan
  • Cili -hiasan
  • Limau kasturi - hiasan
  • Telur - hiasan, rebus.
  • Daun selom, daun gajus - aku tak letak, tak ada.

Cara memasak :

1. Ikan yang telah direbus diasingkan isi dan tulang. Kisar berasingan. Tapis air dari tulang. Air rebusan ikan jangan dibuang. Gunakan untuk kuah laksa. Tapis dan masukkan ke dalam periuk.

2. Masukkan bawang besar kisar, cili kisar, kiub ikan bilis, daun kesom, bunga kantan dan asam keping. Perasakan dengan garam secukup rasa. Aku biasanya rebus kuah laksa dengan api yang perlahan dan agak lama supaya segala rasa meresap dengan baik. 

3. Hidangkan laksa bersama timun, salad, cili padi, limau kasturi dan telur rebus.





Tuesday, April 25, 2017

BLOG@DIARI

Anak aku ada menegur aku "Kenapa semua benda Mama nak masukkan ke dalam blog?"

Aku ketawa kecil. Mana ada semua benda Mama letak dalam blog. Mama letak perkara-perkara yang Mama nak ingat jer. Tambah pulak kalau resepi...memang kena letak dalam blog. Kalau tidak sah-sah akulah yang lupa pastu dok termenung pikir eh macam manalah aku masak hari tu...?

Rupanya si kecil ni pun dah ada diari sendiri. Dia kata lecehlah nak menaip kat komputer. Dia nak tulis dalam buku jer.

Aku ketawa terkekeh-kekeh baca diari anak aku yang berumur 7 tahun ni. Kelakar!

Mana tak tumpah kuah kalau tak ke nasi. Aku sendiri dari kecik dah ada diari. Yang bestnya aku akan selotapekan diari aku bila abis tahun.

Yang suka skodeng diari aku adalah arwah Mak. Pastu dia akan ketawa bila dia cerita balik apa yang aku tulis dalam tu. Pernah juga Mak menangis sebab terlalu sedih dengan luahan hati aku. Ahh! Itu yang aku tak mahu. Tapi nak buat guane. Itukan Mak aku...huhu. Sayang Mak, rindu Mak.

Saturday, April 22, 2017

PETUA UNTUK LEBATKAN BUAH LIMAU PURUT

Aku ada tanam pokok limau purut dan pokok limau kasturi. Ini kali kedua aku tanam pokok-pokok limau. Kali pertama memang menghampakan. Pokok tak nak membesar. Bila membesar pulak daun-daun limau dimakan oleh rama-rama dan serangga.

Kali kedua aku tanam pokok limau aku dah pandai guna baja dan racun organik. Alhamdulillah pokok limauku tumbuh dengan elok tetapi tak berbuah pulak. Aish!

Kebetulan masa aku bantu mandikan mayat arwah mak sedaraku, makcik M yang mandikan mayat tu bawakan limau purut yang banyak dan segar-segar.

Rupanya makcik M tanam sendiri pokok limau purut untuk mudahkan urusan memandikan jenazah. Pesan makcik M padaku  supaya siram pokok limau dengan air yang banyak. Dan bila berbuah, rajin-rajin sedekahkan kepada orang. 

Menurut makcik M lagi, pokok limau purutnya berbuah tak henti-henti dengan lebatnya. Ramai orang datang minta buah limau purut dari makcik M dan makcik M sedekahkan jer pada depa.

Balik saja ke rumah aku pun buat seperti mana yang makcik M ajarkan. Alhamdulillah...memang pokok2 limauku berbuah dengan banyaknya dan segar-segar.

Berbunga-bunga hatiku bila tengok buah limau bergayutan di dalam pasu :-)

Friday, April 21, 2017

RESEPI : SUP DAGING SIMPLE & IKAN REBUS

Adik-adik dah balik setelah seminggu di rumahku.

Sepanjang adik-adik ada di rumah, agenda makan tak henti-henti sampai aku naik seram. Kami tiga beranak bukan jenis yang makan bukan-bukan. Biasanya masih ada kawalan. Nak makan yang sedap-sedap pun sekali-sekala sahaja.

Bila adik-adik dah balik lifestyle kami kembali normal. Fuh! Berdebar tengok dalam seminggu badan aku dan Abg agak berisi haha. Adeih! Mana tak naik berat jika setiap masa makan, makan dan makan. Makanan pula berlemak, manis dan nyum nyum.

So, hari ini aku cuma masak Sup Daging Simple dan Ikan Pelata Rebus untuk makan tengahari. 

Simple kat sini bermaksud memang simple habis. Lebih kepada rebus. Kiub stok atau sebarang perasa tidak digunakan langsung. Alhamdulillah, masakan tetap sedap.



SUP DAGING SIMPLE

Bahan-bahan :
  • Daging
  • Halia, bawang merah & bawang putih kisar
  • Kentang
  • Carrot
  • Bunga lawang, kulit kayu manis & buah pelaga
  • Lemon / limau nipis
  • Gula & garam
Cara memasak :
1. Masukkan air, daging, bahan kisar dan sedikit gula ke dalam periuk. Rebus menggunakan api perlahan sehingga daging empuk. Aku rebus daging di atas dapur sebab malas nak gunakan pressure cooker. Ada masanya aku suka rebus daging di dalam rice cooker kerana daging akan jadi sangat lembut. Jangan masukkan garam sewaktu merebus daging untuk elakkan daging menjadi liat.

2. Setelah daging empuk, masukkan bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga dan kentang.

4. Bila kentang agak empuk baru masukkan carrot.

5. Perisakan sup dengan garam dan perahan lemon ikut sesedap rasa. Tutup api. Dah siap!

Untuk ikan rebus : Rebus ikan bersama-sama garam dan asam keping. Asam keping aku letakkan 5 keping untuk 5 ekor ikan supaya ikan terasa masam. Masak menggunakan api perlahan sehingga ikan masak.



Walaupun nasi aku nampak agak menyedihkan tetapi percayalah aku menikmati nasi dan lauk-lauk ni lebih daripada lauk mewah yang biasa kita makan hihihi.



Monday, April 17, 2017

YANG SEDAP, SIMPAN LAST

Siapa pernah makan roti sosej dan gemar buat macam ni?


Hihi ni cara aku makan roti sosej. Aku akan gigit roti di sekeliling sosej dan tinggal di bahagian tengah yang ada sosej.


Sebabnya sosej tu sedap. So, yang sedap tu kita save for the last haha.

Aku rasa ramai masa kecik-kecik perangai macam aku. Especially bila makan lauk yang sedap contohnya telur ikan. Telur ikan tu akan disimpan yang last sekali untuk dimakan. Bila makan pun gigit sikit-sikit jer sebab sayang...takut habis.

Tapi disaat menyimpan yang sedap untuk makan last tu, hati mudah terobek bila ada tangan-tangan gatal yang tetiba capai yang sedap itu dan terus masuk mulut depa tanpa rasa belas kasihan haha.

Adeih...walaupun dah tua, perangai budak-budak tu masih aku tak boleh buang :-D

Friday, April 14, 2017

RESEPI : PISANG GORENG

Dua hari lepas Abg beli pisang. Pisang yang macam pisang Awak, pisang Tanduk dan pisang Nangka.

Pisang macam pisang Awak tu adik yang jual tu kata ada sedikit biji. Aku kata pada Abg, confirm betul-betul yang biji pisang tu benar-benar sikit. Kang jap gi bila goreng asyik kunyah biji bukan isi pisang hihihi.

Adik jual pisang tu dengan penuh keyakinan bagitau Abg yang pisang tu memang sikiiiitt jer bijinya. 

So, pisang-pisang berjaya dijual.

Semalam dengan bantuan adik iparku aku buatkan goreng pisang. Resepi batternya seperti di bawah ini :

BATTER GORENG PISANG

Bahan-bahan :
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1 sudu teh baking powder
1 sudu besar mentega - dicairkan
Sedikit garam dan kunyit
Air

Cara-cara penyediaan :
1. Campurkan tepung gandum, tepung beras, baking powder, garam dan kunyit.

2. Masukkan air sehingga adunan tadi menjadi batter yang sesuai; tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair.

3. Masukkan mentega cair dan kacau rata adunan batter.

4. Celupkan pisang dan goreng.


Pisang ni manis sangat. Sedap.



Resepi batter ini bagi aku ok, sedap. Tapi aku masih tercari-cari batter untuk goreng pisang seperti yang dijual di sebuah gerai di tepi jalan kat sini. Sayangnya dah banyak resepi aku cuba tapi masih tak serupa rasa goreng pisangnya.

Pastu satu lagi, pisang ni banyak sangat bijinya. Ish! nak kena betullah adik yang jual pisang ni haha.

Aku rasa nak bawa jer sepinggan besar goreng pisang ni dan bagi kepada adik kat gerai buah tu hahaha.

*Gambar biji pisang bersepah tak sempat nak snap sebab tangan berlemoih dengan isi pisang sebab dok perisi biji :-D

Thursday, April 13, 2017

MAKCIK SHANIA

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk bernafas di bumi Allah ini. 

Hujan baru jer berhenti. Sejuk, Langit cerah. Cantik sangat pemandangan di luar. Ikut hati ingin aku capai kamera dan 'click'. Opps! Kaki! Hihihi. So silalah ukur stokin di kaki sendiri ya.

Hari ni rumah agak sunyi. Macam biasa Abg dan Iman sesudah Subuh dah keluar rumah. Adik dan isterinya keluar jam 8 pagi untuk follow up di hospital.

Alhamdulillah, adikku makin sembuh. Cuma katanya setelah follow up dan treatment susulan, pada kebiasaannya sakit akan berulang. Aku doakan yang baik-baik saja untuk depa berdua.

Apa pulak perancangan aku untuk hari ini. Buku-buku yang aku order online belum lagi sampai. Rasanya hari ini aku akan terima buku-buku tu. Tak sabar nak membaca. Buku-buku kat rumah dah habisku baca.

Sambil menaip ni aku pasang lagu-lagu dari Shania Twain. Aku tak pasti generasi sekarang kenal tak dengan penyanyi yang pada aku bersuara sedap dan cantik sangat di mataku. Badan dia lawa dan dia cukup energetic. Cuba tengok vc...memang lawanya ish ish.


Credit to google

Shania Twain famous pada penghujung tahun 90 an. Lagu-lagunya memang best, biar lagu slow atau lagu yang rancak. Masa zaman student dulu ada aku beli cd minah salleh ni tapi entah ke mana aku campak masa berpindah-randah.

Disebabkan masa lapang yang banyak, aku tertanya-tanya apa perkembangan penyanyi yang aku minat sangat dulu kini dan selamanya. Dia macam senyap terus pada suatu ketika.

Bila aku google rupanya Shania menyepi dari dunia hiburan bila suaminya buat hal dengan kawan baiknya sendiri. 

Aduh! Perempuan secantik Shania pun masih dipermainkan oleh suami sendiri. Teringat kata-kata sorang teman masa di u. Teman aku ni memang cantik orangnya. Katanya kebanyakan perempuan cantik nasibnya kurang baik berbanding perempuan yang kurang cantik.

Hihi aku tak pastilah sejauh mana kebenaran kata-kata temanku itu. Tapi iya, pada aku bila Allah kurniakan kelebihan kepada seseorang pasti akan ada ujian juga diberikan seiring dengan kelebihan itu untuk melihat sejauh mana rasa syukur hamba kepada PenciptaNya kan?

Ok berbalik kepada cerita Shania...akhirnya dia akan buat comeback. Yeay! Hatinya dah terubat bila dia berkahwin dengan bekas suami kawan baiknya yang curang dengan suaminya itu. 

Haa...pening pulak baca cerita depa ni hahaha. 

Apa-apa pun bila dilihat gambar latest Shania memang nampak dia agak tua...sisa-sisa kesedihan tergambar di wajahnya. Itulah, perempuan bila hatinya bahagia dia akan kelihatan cantik dan awet muda. Tapi jika hatinya sedih, dia akan nampak lebih berusia dari usianya yang sebenar.

Credit to google. Tengok lah wajahnya...walaupun masih cantik tetapi banyak garis-garis kesedihan terpapar...


Wednesday, April 12, 2017

RESEPI : IKAN BAKAR MUDAH

Dah lama aku teringin nak makan ikan pelata bakar. Tapi tak naklah bakar guna garam kunyit dan cicah air asam jer. Nak juga rasa yang lain-lain kan. 

Niat di hati nak makan pais ikan. Alahai, kat mana pulaklah nak cari kelapa parut dan daun pisang. Daun kunyit dan serai tu adalah, tinggal ambil di luar jer. So, terpaksalah ubah resepi dari pais ikan kepada ikan bakar paling mudah ni hihi.

IKAN BAKAR PALING MUDAH

Bahan-bahan :
  • Ikan kembung/termenung/pelata
  • Bawang putih kisar
  • Cili kisar
  • Serbuk kunyit
  • Susu pekat
  • Minyak
  • Garam

Cara memasak :
1. Cuci bersih ikan dan perapkan dengan semua bahan.

2. Bakar di atas dapur atau grill di dalam oven sehingga masak.

 Perap seketika ikan dengan semua bahan.


 Aku bakar di atas dapur...berkerak-kerak...itu yang sedap hihi.


Ikan bakar yang mudah dan sedap.


Adik ipar aku marahkan aku bila dia dapat tahu aku memasak. Nak buat macam mana...kakakmu lebih gemar masakan sendiri daripada beli makanan luar huhu. Selagi mampu aku gagahi juga memasak. Kaki bengkak belakang kira. Malam karang melolonglah sakit. Takper janji perut dah kenyang haha.

Tuesday, April 11, 2017

RESEPI : AYAM PANGGANG MUDAH

AYAM PANGGANG MUDAH

Bahan-bahan :

  • Ayam
  • Bawang putih - kisar
  • Halia - kisar
  • Sos tiram
  • Sos cili
  • Kicap manis
  • Gula perang
  • Minyak bijan
  • Serbuk lada hitam
  • Garam
  • Minyak masak/olive oil

Cara memasak :

1. Basuh bersih ayam dan perap dengan semua bahan. Aku perap selama  dua jam di dalam peti sejuk.

2. Bakar di atas dapur atau panggang di dalam oven sehingga masak. Semasa memanggang siram ayam dengan bahan perapan.


 
 Aku panggang ayam di atas dapur jer.


Ayam panggang yang mudah dan enak.

Sedap dimakan bersama Nasi Lemak Halba.

GEMBIRA TERSENDIRI

Sekarang ni ada dua orang sakit dalam rumah aku. Tak tahulah siapa yang akan jaga siapa hihihi. Kiranya bantu-membantulah ya.

Kaki aku bengkak teruk dua hari lepas sebab aku asyik kuatkan diri ke dapur untuk memasak. Abisnya aku kena marah dengan Abg. So, selama dua hari ini aku cuma rehat di katil macam tuan puteri. Padan muka.

Aku seronok adik ada di rumahku. Nampak sangat aku perlukan orang untuk bercakap haha. Semalam masa menonton tv pun kami bergelak ketawa. Alhamdulillah. Rasa seronok sangat. Anakku pun nampak gembira. Iyelah dah sebulan anakku pun asyik terperuk dalam rumah semenjak aku ditimpa musibah yang indah ini hihihi.

Minggu depan aku perlu ke hospital untuk follow up. Berdebar sebenarnya...untuk tahu progres kaki aku. Doanya mintalah baik-baik sahaja.

Sebenarnya bila ke hospital pun aku dah gembira. Sebabnya aku dapat berjumpa manusia-manusia lain selain Abg dan anakku hihi. Mulalah aku tersenyum-senyum. Mesti pelik orang sekeliling tengok aku haha. Biarkanlah, asalkan aku bahagia.

Friday, April 7, 2017

ADIK SAKIT

Adik aku warded lagi. Kesian dia. Dalam hujung tahun lepas dan tahun ini sudah beberapa kali dia warded akibat penyakitnya.

Semalam dalam pukul 11.00 malam kami bergegas ke hentian Sg. Bakap untuk mengambil adik iparku. Buat sementara waktu adik iparku akan tinggal di rumahku dan berulang ke hospital.

Seronok pula semalam jalan-jalan di highway. Untuk aku yang dah dekat sebulan tak berjalan ke mana, laluan di sepanjang highway tu pun dah cukup menggembirakan aku hihihi. Anakku pula dibuai mimpi sepanjang perjalanan.

Alhamdulillah adik iparku selamat tiba.

Pada aku dalam hidup ini macam mana kita rasa kita boleh berdikari pun kita tetap memerlukan insan lain. Walaupun kita rasa tak memerlukan saudara-mara atau rakan-rakan, kita tetap perlu orang lain untuk membantu dan memudahkan urusan hidup kita :)

Jadi apatah lagi kalau dengan adik-beradik. Lagilah perlu bantu-membantu. Hidup ini bukan akan tamat di dunia ini sahaja. Hidup kita akan berterusan sehingga ke akhirat. Jika itu yang kita fikirkan pasti setiap pertolongan akan dilakukan dengan hati yang senang dan ikhlas.

Aku doakan adikku cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan rawatannya hari ini. Dia beritahu aku dia akan menjalani minor surgery tengahari ni. Semoga segalanya akan berakhir dengan kebaikan. Ameen.

Wednesday, April 5, 2017

RESEPI : LAKSA TERENGGANU (KUAH PUTIH)

Laksa Terengganu ada dua jenis; kuah putih dan kuah merah.

Laksa Terengganu kuah putih seakan-akan Laksam cumanya laksa beras digunakan sebagai laksa. Laksa Terengganu kuah merah seakan-akan Laksa Johor. Bezanya Laksa Johor menggunakan spaghetti.

Semalam, aku memasak Laksa Terengganu kuah putih dengan bantuan Abg. Laksa ini sesuai untuk anakku yang tidak gemar makanan yang pedas.

Untuk laksa malam tadi aku gantikan laksa beras dengan spaghetti. Pada aku lebih sedap rasanya...

Laksa Terengganu Kuah Putih

LAKSA TERENGGANU (KUAH PUTIH)

Bahan-bahannya :
  • 500 gm ikan - apa-apa jenis ikan yang sesuai.
  • 1 tin sardin - aku guna sardin cap Ayam saiz kecil
  • 1 kotak santan - aku guna santan Kara
  • Bahan kisar : 1 biji bawang besar, 4 ulas bawang putih, halia sebesar ibu jari.
  • 1 kiub pati ikan bilis/sedikit ikan bilis yang dikisar bersama-sama bahan kisar.
  • 3 keping asam keping
  • Serbuk lada hitam
  • Gula dan garam
  • Spaghetti - rebus seperti biasa (aku gunakan sebungkus)

Bahan hiasan :
  • Taugeh
  • Kobis - dihiris halus
  • Daun kemangi - aku tak letak
  • Timun - dihiris memanjang
  • Bawang besar - dihiris
  • Cili padi - dihiris
  • Limau kasturi
  • Cili hidup tumbuk yang dicampur dengan sedikit garam - aku tak buat.

Cara memasak :

1. Ikan dibersihkan, rebus bersama asam keping dan garam.

2. Asingkan isi ikan dan tulang. Kisar dengan sedikit air. Tapis.

3. Sardin dihancurkan menggunakan garfu. 

4. Masukkan ikan yang telah dikisar, sardin, bahan-bahan kisar, kiub pati ikan bilis, santan, asam keping serta serbuk lada hitam. Masukkan juga air secukupnya. 

5. Apabila mendidih masukkan garam dan gula secukup rasa.

6. Hidang spaghetti bersama kuah laksa dan bahan-bahan hiasan.

*Sila perah limau sebelum makan kerana ini akan menambah keenakan rasa laksa :-)


 Taugeh masih ada ekor...hihi malas betul nak buang ekor dia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...