Pages

Thursday, October 27, 2016

SALTY CAKE - KING'S

Ternampak ada kek baru di King's. Aku jadi tertarik untuk mencuba. Namanya Salty Cake. Makinlah aku teruja. Selalunya kek manis, tak pernah pula rasa kek yang masin, kan?

Ada promosi untuk kek ini. Beli satu percuma satu.

Dah makan sikit kek baru teringat nak ambil gambar hehe...

Kek ini macam kek span. Dilapisi krim yang nipis dan di permukaannya ditabur bawang goreng. Bawang goreng? Iya.

Bila masuk jer ke dalam mulut...emm sedapnya Salty Cake ni. Tak ada rasa masin pun. Rasanya macam kek span, kuat rasa telur dan sedap bila tergigit bawang goreng.

Cubalah beli. Err...aku bukan buat iklan untuk King's ya hehehe. Cuma berkongsi rasa.

Wednesday, October 26, 2016

BILA DAPUR GAS TIDAK BERASAP

Semalam gas habis. Masa tu aku tengah masak nasi goreng untuk keluarga ibu saudara Abg yang datang dari Kelantan. Alhamdulillah aku punya mikrowave. Nasi goreng aku sambung masak di dalam mikrowave.

Hari ini aku bercuti. Anak tak berapa sihat. Tong gas yang baru dipasang pun tak mampu hidupkan api dapur. Aduh.

Bila pekedai gas tu datang check rupanya kepala gas yang rosak. Kejap lagi perlu ke kedai untuk beli kepala gas yang baru.

Bila dalam keadaan dapur tak berasap baru terasa pentingnya dapur konvesional. Walaupun ada dapur Noxxa  dan mikrowave yang harganya mahal tu tapi bila nak memasak macam selalu rasa renyah betul hehe. Lepas masak nak kena pindah-pindahkan lauk bagai.

Aku belajar sesuatu dari insiden ini. 

Ok bye. Nak keluar cari kepala gas. Keropok lekor yang ibu saudara Abg bawa terdampar sepi setelah dipotong menunggu untuk digoreng :-D



Monday, October 24, 2016

RESEPI : BIHUN GORENG TAK PEDAS

Bihun goreng ini aku sediakan untuk Iman maka unsur kepedasan memang tiada langsung. Biasanya aku akan sediakan sambal kicap untuk dimakan bersama-sama bihun ini.

BIHUN GORENG

Bahan-bahannya :
  • Bihun separuh bungkus - aku suka gunakan bihun cap Bintang.
  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 biji cili merah - dibuang biji
  • 1 mangkuk isi ayam dipotong dadu
  • 1 mangkuk kobis dipotong kecil
  • 1 mangkuk lobak merah dipotong memanjang
  • 1 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar sos cili Thai
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap manis
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara Memasak :
1. Rendam bihun lebih kurang 30 minit - Aku gemar merendam bihun menggunakan air biasa supaya semasa memasak bihun tidak lembut dan putus-putus.

2. Kisar bawang merah, bawang putih dan cili merah.

3. Tumiskan bahan-bahan kisar sehingga wangi. 

4. Masukkan isi ayam dan masak sehingga air ayam agak kering sedikit.

5. Masukkan sayur-sayuran, sos cili Thai, sos tomato, sos tiram dan kicap manis. Masukkan juga gula dan garam jika perlu.

6. Masukkan sedikit air.

7. Masukkan bihun yang telah disejatkan air tadi dan masak sehingga bihun lembut.





Sunday, October 23, 2016

SALTED EGG CROISSANT

Dah lama aku nak upkan entri tentang makanan ni tapi asyik terlupa jer. Simptom-simptom ketuaan dah mula melanda hehe. 

Asalnya aku beli croissant ini di awal tahun 2016. Dah nak habis tahun baru nak up entri. Memang terbaiklah. Boleh jadi calon wakil rakyat. Janji dicapati hehe.




Aku suka sangat dengan Salted Egg Croissant. Sedap sebab ada rasa manis campur savoury. Dan sebenar-benarnya egg yolk dari telur masin tu yang memanggil-manggil aku untuk membeli croissant ini.

Harga croissant ini agak mahal; RM5++. Haa tengok sampai harga pun aku dah lupa sebab dah terlalu lama haha. Tapi berbaloilah.

Dalam gambar di atas rupa croissant tak berapa menarik sebabnya croissant dah sejuk. Bila dikoyak dua egg yolk di dalamnya dah keras. Kalau masa panas-panas, fuhh...meleleh egg yolknya. Sedap sangat.

Tapi sekarang ni bila aku jenguk-jenguk di King's dah tak ada dorang jual Salted Egg Croissant. Teringin...

Kalau korang jumpa...jangan lupa beli. Memang ada yang rasa agak mahal tapi berbaloi.

Saturday, October 22, 2016

RESEPI : PARU DAN HATI LEMBU MASAK JINTAN

Dalam peti sejuk masih ada sedikit paru dan hati lembu yang beku. Disebabkan jumlahnya tak berapa banyak aku masak jer kedua-duanya sekali; campur.



PARU DAN HATI MASAK JINTAN

Bahan-bahan :
250 gram paru lembu
250 gram hati lembu
*Paru dan hati dipotong kecil dan direbus dengan sedikit garam sehingga empuk.

Bahan kisar :
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci halia
1 batang serai
Cili padi - ikut selera pedas masing-masing

Bahan tumbuk :
2 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan halus

Sedikit air asam jawa
Kicap manis
Garam dan gula

1 labu bawang besar - dipotong bulat untuk hiasan

Cara memasak :
1. Tumis bahan yang ditumbuk dan bahan kisar sehingga pecah minyak dan wangi. Tambah sedikit air jika bahan tumis terlalu pekat.

2. Masukkan air asam jawa, gula, garam dan kicap manis.

3. Masukkan paru dan hati yang telah direbus.

4. Masak sehingga kuah sedikit kering dan berpalut pada paru dan hati. Masukkan bawang besar yang telah dipotong bulat sebagai hiasan.

Cubalah. Sedap. Tak boleh berhenti makan nasi hehe.

Monday, October 17, 2016

BUAH DOKONG MANIS

Minggu ini kami balik ke kampung menghantar ibu mertua ku. Dua minggu juga dia berada di rumahku.

Kebetulan sekarang ni musim buah dokong di sana.

Wah! Bestnya. Buah dokongnya sangat manis!

Akhirnya kami pulang ke rumah dengan tiga kotak buah dokong yang diberikan oleh Makndak dan adik-adik iparku. Bolehlah aku beragih ke sana sini buah-buah ni.


Kata Abg, kat sana buah dokong dah tak ada harga. Sekilo cuma 70 sen.

Emm...selain dimakan begitu saja apa lagi yang boleh dibuat dengan buah dokong ni? 

Friday, September 23, 2016

KASUT

Kursus.

Orang sebelah : Cantik kasut u, mesti brand Camel kan?

Aku : Tak. Bata.

Orang Sebelah : Kasut I Larrie. Sedap pakai.

Aku : Oh ok. Kasut saya pun sedap pakai. Sebab tu saya beli dua pasang terus.

Kalau dah namanya perempuan. Walhal aku dah sorokkan kaki betul-betul bawah tudung meja. Hihihi.

Tuesday, September 20, 2016

GILA KAMERA

Aku gila kamera.
Setakat ni dah ada 6 buah kamera.
Sekarang aku tengah meronta-ronta untuk dapatkan kamera baru.
Pelik-pelikkan perangai manusia ni hehehe.

Menurun arwah ayah agaknya.
Ayah pun banyak kamera dulu.
Masa kecil aku selalu bermain-main dengan kamera ayah.
Beraksi kononnya aku photographer.

Sekarang ni adik bongsu aku yang jadi part-time photographer.
Kakaknya pemalu.
Kalau tidak dah lama aku redah juga jadi photographer huhu.

Bye. Nak mencari kamera baru.

p/s"Selamat Pengantin Baru buat "adikku". Semoga berbahagia hingga ke syurga :-)"

Saturday, July 23, 2016

Tak Mampu Berkawan

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin :-)

Raya kali ini aku cuba meramaikan kawan. Lebih kepada cuba bertemu kawan-kawan lama.

Gagal! Haha.

Cukuplah dua tiga orang kawan-kawan rapat yang ada dulu kini dan selamanya.

Dah terang-terang aku tak pandai nak berkawan ramai. Biarlah aku kekal sebagai kura-kura dalam cengkerangnya hihi.

Sunday, June 12, 2016

Resepi : Cornflakes Kacang Rangup

Resepi ini aku perolehi daripada mak menakan aku. Sedap. Asyiknya makan sampai terlupa nak berhenti hihi. 


CORNFLAKES KACANG RANGUP

Bahan-bahannya :
  • Mentega - 250 gram
  • Bijan - 1 mangkuk (basuh, tos & sangai)
  • Gula halus - 1 cawan @ 3/4 mangkuk
  • Kacang tanah - goreng & kisar 
  • Cornflakes - 1 kotak besar (ramas)

Kaedah membuatnya :

1. Pukul butter dan gula sehingga sebati.

2. Campurkan semua bahan. Gaul rata.

3. Sudukan ke dalam cawan kertas.

4. Bakar di dalam oven, suhu 160 darjah celsius selama 15 minit.

Saturday, June 11, 2016

Memberi Dengan Hati

Ini kisah arwah ayahku. 

Ayah berpendapatan sederhana. Kiranya cukup-cukup untuk perbelanjaan kami sekeluarga. 

Keluarga kami kecil sahaja. Aku, mak, tok dan paksu ketika itu. Adik-adik cuma wujud sebelas dan tiga belas tahun selepas itu.

Ayah pun bekerja biasa-biasa sahaja. Setiap bulan ayah akan ambil barang di sebuah kedai runcit. 

Paksu kerjanya sebagai nelayan. Kiranya ikan-ikan kami dapat secara percuma. Jimat.

Selepas ayah meninggal baru ku tahu satu kisah. Mak juga tak tahu sebelum ini.

Ayah setiap bulan rupanya belikan barang-barang keperluan dapur untuk seorang tua miskin di hujung kampung. Tak pernah miss.

Mak pun dapat tahu cerita tersebut daripada orang lain. Betapa ayah cuba merahsiakan kebajikan yang dilakukannya.

Aku kagum dengan ayah. Ayah bukanlah orang senang. Tapi ayah masih mampu membantu orang lain.

Aku masih ingat pesan ayah. Hiduplah dalam ketenangan. Ingat Allah selalu. Bantu orang sedaya yang mungkin. Bantu haiwan sedaya mungkin.

Pesan ayah selalunya pendek-pendek sahaja. Tapi meninggalkan bekas di hati. Insaf.

Ayah selalu berpesan-pesan bila aku sendirian dengannya. Ada kalanya kata-kata ayah menyebabkan aku spontan mengalir air mata mendengarnya. Kata-kata yang ikhlas dari hati amat menyentuh hati.

Aku mahu jadi seperti ayah, insyaAllah.
Memberilah dengan hati...


Tuesday, June 7, 2016

RESEPI : AGAR-AGAR KOSONG

Biasanya di bulan puasa aku suka buatkan agar-agar kosong. Agar-agar yang warnanya merah, plain itu.




Resepi simple ini semua orang pandai buat hihi. Cumanya kat sini aku berikan sukatan untuk dapatkan agar-agar kosong yang sedang elok tekstur dan kemanisannya.



Jika ikut aturan pada bungkusan agar-agar kita akan dapat agar-agar yang lembut dan tidak boleh dipotong kecuali diceduk menggunakan sudu. Dalam erti kata lain ianya menjadi jelly.

So, inilah resepinya.

AGAR-AGAR KOSONG

Bahan-bahannya :

1 bungkus agar-agar serbuk (10 gram)
150 gram gula
800 mL air
Sedikit sirap ros
Daun pandan - disimpul

Kaedah membuatnya

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk.

2. Panaskan sehingga mendidih. Tutup api. Buangkan daun pandan. 

3. Tuangkan ke dalam loyang yang telah dibasahkan (untuk memudahkan mengeluarkan agar-agar semasa sejuk).

4. Sejukkan sebentar, kemudian masukkan ke dalam peti sejuk.

Ini resepi asas agar-agar. Boleh ditukar untuk buatkan pelbagai jenis agar-agar. Cuma pastikan jumlah cecair seperti yang telah dicatatkan.

Selamat mencuba resepi mudah ini :-p

Monday, June 6, 2016

Ramadhan Kareem

Assalamualaikum.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah dalam bulan Ramadhan buat semua yang membaca blog saya. Mohon maaf jika ada kesalahan yang saya lakukan tanpa disedari.

Alhamdulillah...kita masih diberi kesempatan untuk menyambut Ramadhan.

Marilah kita bersama penuhkan bulan yang mulia ini dengan semaksima ibadah yang mungkin.

Saturday, May 28, 2016

Resepi : Ayam Goreng Ala Mamak

Resepi ini aku ambil dari FB.
Nama asal resepi ialah Ayam Goreng Mamak.
Tapi boleh ke ayam menggoreng mamak kekeke.
Gurau jer :-P

So sajer jer aku ubah letak nama Ayam Goreng Ala Mamak.


AYAM GORENG ALA MAMAK

Bahan-bahan :
  • 1 ekor ayam
  • 6 sudu besar tepung jagung
  • 6 sudu besar tepung beras (Cap Gajah Seekor tu)
  • 3 tangkai daun kari


Bahan kisar :
  • 6 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 5 tangkai cili kering
  • 2 sudu besar rempah kari (aku guna rempah kari ikan)
  • 1 biji telur
  • 1 sudu besar lada sulah
  • Garam secukup rasa


Kaedah membuatnya :

  • Perap ayam dengan bahan kisar, tepung jagung, tepung beras dan daun kari selama 1 jam atau lebih. Masa perap tu elok letak dalam peti sejuk.
  • Panaskan minyak yang banyak dan goreng ayam sehingga masak.
Ayam sedang diperap. Ayam nampak plain sebabnya aku tak letak cili kering. Iman tak makan pedas.


Ayam sedang digoreng. Baunya alahai...sedapnya.


 Ayam goreng sedia untuk dimakan



Siap! 
Sedap!
Rangup!

Lepas ni mamak boleh tutup kedai haha. 

Friday, May 27, 2016

Sabun ganti Syampu

Petang tadi Iman mandi bersendirian di dalam bilik air. Mula tu dengar kuat suara Iman menyanyi. Oklah, kataku yang sedang membasuh pinggan mangkuk di dalam sinki.

Sekali terdengar jeritan Iman yang amat kuat. Siap keluar perkataan panas, panas lagi.

Alamak! Cuak aku.

Tiba-tiba terdengar suara Abg pula dok marah-marah berselang-seli suara Iman menangis dan menjerit. 

Aku berlari ke bilik air.

MasyaAllah...penuh sabun atas kepala dan muka Iman. Yang Abg dok marah-marah depan pintu bilik air.

Habisnya aku suruh Abg dok jauh-jauh. Aku pujuk Iman dan basuh kepalanya.

Rupanya budak ni pi letak sabun Lifebouy atas kepala diingatnya syampu untuk budak-budak yang tak pedihkan mata tu. Melolonglah jadinya hahaha.

Lawak betullah. Patutlah si Ayah marah-marah. Tapi kok ya pun tolonglah siram air ke budak tu haha. Orang lelaki kan. Eee...nak jer aku gigit dua-dua makhluk Allah ni.


Thursday, May 26, 2016

Angin Kuat

Tengah malam semalam angin kuat betul. Aku masa tu bangun untuk tengok Iman yang terbatuk-batuk sampai termuntah.

Bunyi angin menggerikan. Lebih menggerikan bila memikirkan rumah aku yang kelilingnya adalah cermin.

Terus aku baca ayatul Kursi sambil berdoa angin berhenti. Abg pula siap menjenguk-jenguk keluar melalui cermin dalam keadaan cuak.

Alhamdulillah seketika kemudian angin berhenti, hujan pun turun.

Teringat pulak kejadian yang menimpa penduduk di Perlis dan Kedah baru-baru ni.

Pagi ni baru aku tahu ada beberapa batang pokok telah patah dan menghempap kenderaan di kawasan tempat kerjaku.

Wednesday, May 25, 2016

Resepi : Kuah Bihun Sup Sempoi

Hari ni aku nak share resepi kuah bihun sup yang arwah Maknjang Aisyah ajar.

Asalnya arwah Maknjang minta resepi daripada seorang rakannya yang menjual bihun sup ayam yang popular di utara. Tapi macam biasalah orang bisnes sukar sikit nak berkongsi resepi hehe. Kita pun faham...

Arwah Maknjang ni memang pakar memasak. Sekali dia tengok orang memasak pasti lepas tu dia dah dapat masak masakan sebijik rasanya macam orang tu masak.

So akhirnya Maknjang dah dapat rahsia kuah bihun sup ayam yang sedap tu dan dia berkongsi resepi tu dengan aku. Memang sedap. Sama macam rasa kuah bihun sup popular tu haha.

KUAH BIHUN SUP SEMPOI

Bahan-Bahannya :
  • 1 ekor ayam
  • 1 bunjut sup
  • Bawang putih & bawang merah - 5/6 ulas, hiris nipis.
  • 2 kiub ayam
  • 1 biji bawang besar - dikisar halus
  • Bawang goreng.
  • Garam
Kaedah :
  • Tumis bawang merah & bawang putih yang telah dihiris sehingga wangi dan keperangan.
  • Masukkan air agak-agak dapat menenggelamkan seekor ayam.
  • Masukkan bunjut sup, kiub ayam dan sedikit serbuk kunyit.
  • Masukkan bawang besar yang telah dikisar beserta ayam.
  • Rebus selama sejam setengah dengan api sederhana.
  • Tambahkan garam secukup rasa.
  • Taburkan bawang goreng di dalam periuk sup apabila sup sudah masak.
  • Keluarkan ayam dan potong atau carik-carikkan isinya untuk ditabur di atas bihun nanti.
Mudah saja bahan dan cara pembuatannya. Silalah cuba :-)


Tuesday, May 24, 2016

Udang Rebus di Penarik, Terengganu

Ini kisah udang rebus. Kisah yang tertinggal. Tak dan/tak sempat nak cerita hehe.

Berdekatan dengan kampung Abg, ada ladang ternakan udang. Err...kolam ternakan udang kot. 

Berapa besarnya kolam ternakan tu tidaklah aku tahu. Nampak kolamnya pun tidak. Maybe kena masuk jauh ke dalam sikit.

Biasanya jika ada udang yang rejected, depa akan rebus udang tu dan jual di tepi jalan (ada kawasan khas untuk menjual ikan air tawar dan sebagainya).

Aku cuma nak cerita kat sini betapa manisnya udang fresh yang direbus. Walla! Sepinggan Rm5 sahaja. Sedap sangat. Ratah macam tu saja. Tapi sapa yang ada gout tu berpada-padalah makan ya.

Kalau nak buat bihun ke nasi goreng ke memang best.

Petua nak makan udang ni kena makan dengan kulit-kulitnya...baru jadi penawar. Itu yang ketua penyelidik bahagian kajian penyakit ikan pernah bagitau aku. 

So, jamu mata dengan gambar udang yang dah expired sebulan ni ya hehehe.

Masih terasa kemanisan udang rebus ni..

Kalau korang nak ke Kuala Terengganu silalah ikut jalan pantai. Lebih menarik. Boleh beli udang, makan ikan/udang/sotong/ketam celup tepung dan lain-lain lagi. Jangan lupa try.

Psst! Sebenarnya udang ni reject bukan sebab penyakit ke apa tapi sebab tak cukup saiz ni. Biasanya untuk tujuan pembekalan ke pasaraya besar atau eksport memang dah ada spesifikasi yang telah ditetapkan. 

Monday, May 23, 2016

Hadiah Hari Guru

Pada 20 Mei baru ni diadakan sambutan Hari Guru di sekolah tadika Iman. Iman perlu bagi short speech dan buat persembahan.

Memandangkan aku agak sibuk sepanjang dua minggu ini, aku cuma sempat order kuih apam berinti blueberry daripada mak adik ipar aku. Awalnya macam-macam benda aku plan nak buat tapi bila dah sibuk, balik rumah pun dah longlai, abis-abis semua plan aku masuk dalam tong sampah hehehe. Kesian Iman.

Untuk hadiah pada cikgu pun malam sebelum kejadian baru terkocoh-kocoh kami pergi cari. Alamak! Sampai saja di kedai, ramai rupanya macam kami. Bawak anak masing-masing nak cari hadiah untuk guru-guru.

Aku tergelak-gelak tengok gelagat masing-masing. Semua nak cepat. Ada bapa yang jenis tak sabar, anak belum pilih barang lagi dia dah masuk ke dalam kereta. Si anak terjerit-jerit panggil si bapa haha.

Aku pun sebenarnya pening nak belikan hadiah. For sure aku memang takkan belikan hadiah seperti hiasan dan sebagainya. Sah cikgu akan lempaq entah ke mana lepas tu haha. Aku tahu sebab aku pun pernah bergelar guru. Kalau yang bagi pen tu sangatlah aku hargai...tak perlu aku beli pen dah lepas tu hehe. Bukan apa, hiasan dan bunga plastik boleh simpan sekejap saja. Pastu paham-paham sajalah. 

Pusing punya pusing aku akhirnya heret Iman sama turun dari kereta. Masa tu Iman baru bangun tidur, letih balik dari sekolah. Iman mamai-mamai lihat barang-barang dalam kedai. Sampaikan sorang staf tu tanya pada aku "Anak kak demam ka?".

Haha demam apanya, dia mamai...dengan rambut macam sarang ayam. Tapi sebab semangat nak beli hadiah kat cikgu punya pasal dia menonong ja turun masuk dalam kedai.

Akhirnya kami sepakat nak belikan bekas makanan berbentuk bintang untuk cikgu-cikgu Iman seramai 10 orang. Oklah tu sekurang-kurangnya cikgu boleh guna bekas tu untuk simpan makanan atau buat puding hehe. 

Kemudian kami bergegas ke kedai 2 ringgit pulak. Cari riben. Takdernya nak balut-balut bekas bersegi-segi. Tempek jer riben atas tu. Dah lawa. Haha nasiblah anak dapat mama "rajin" sangat macam aku. Kawan aku Wassap anak dia dah balut semua hadiah. Ish ish malu aku tengok betapa sempurnanya balutan hadiah depa. Takpalah, yang penting ikhlas ni kami nak bagi bekas makanan hehehe (ayat penyedap hati).

Ni rupanya hadiah untuk cikgu-cikgu Iman :-) 

Ni pulak rupanya cucur jagung untuk breakfast pagi ni. Errr cucur tu tak inculde sekali dengan hadiah hehehe.

Terima kasih Guru. Jasamu  kami kenang hingga ke akhir hayat :-)

Tuesday, May 3, 2016

Balik Kampung

Sempena cuti Hari Pekerja 1 Mei, aku pasti ramai yang ambil peluang untuk balik ke kampung masing-masing. Begitu juga dengan Abg. Sebenarnya kami akan bersama-sama rombongan Paksu untuk menyambut menantu. Dah sehala, maka balik kampung teruslah.

Dari rumah anakku ok, sihat alhamdulillah. Tapi sesampai saja di kampung, lelah dah mula menyerang. Tercungap-cungap. Rasanya dah lama Iman tak diserang lelah. Berkemungkinan perjalanan yang panjang, cuaca luar panas dan cuaca sejuk aircond dalam kereta dah bercampur-baur menyebabkan lelah menyerang.

Akhirnya kenduri menyambut menantu pun kami tak pergi. Iman ke unit kecemasan. Lepas tu rehat-rehat sahaja di rumah sambil sambung guna inhaler.

Disebabkan cuaca yang amat panas kami bawa Iman berehat di tepi pantai. Iman tidur lena di dalam kereta yang dibuka pintunya. Angin pantai yang bertiup buat Iman nyenyak betul.


Dari kejauhan ternampak Pulau Topi. Aku selalu tertanya-tanya apa yang ada di pulau ini.

Cantik betul cuaca pada masa tu. Sayangnya kami tak bawa tikar. Kalau tidak memang kami dah landing kat situ sambil makan nasi bekal yang dibawa.

Bila aku lihat pada pokok kelapa yang dogol tu hati terasa sayu. Teringat akan diri sendiri yang dah semakin berumur dan bila-bila masa pun akan jadi seperti pokok kelapa itu...

Banyak kambing yang kami lihat di pantai. Kambing yang makan apa saja. Aku lihat kambing-kambing ini memamah plastik...kambing oh kambing. Akhirnya kami sedekahkan kuih akok yang dibeli kepada kambing ini. Licin dimakannya. Sakit perut nanti tanggung sendiri ya kekeke. Sebabnya kambingkan herbivor, makan tumbuh-tumbuhan. Ini makan kuih akok pulak. Kata Abg, elok kambing ni makan kuih akok kedut daripada dia makan plastik tu kekeke.

Rasa tenang sekali bila balik ke kampung. Bertambah tenang dapat berjumpa ibu dan bapa mertua.

Sunday, April 3, 2016

Beginilah Caranya

Bersikap profesional semasa bertugas adalah penting. Hormat-menghormati sesama pekerja tidak mengira setinggi mana pangkatnya adalah penting.

Aku belajar satu perkara daripada apa yang berlaku. Hormat itu perlu tapi jangan sampai ada orang mengambil kesempatan di atas kebaikan dan rasa hormat yang kita tunjukkan kepadanya.

Kaedah terbaik adalah terus berbuat baik tapi usah terlalu cepat mengiya atau menidakkan sesuatu perkara biarpun kita memang bersetuju dengan kenyataan yang diluahkan. 

Di samping itu kaedah banyak mendiamkan diri dan hanya melontarkan pendapat bila ditanya juga penting biarpun kita sebenarnya lebih arif dengan apa yang berlaku.

Walaupun begitu bersedia dengan segala catatan dan dokumentasi untuk melindungi diri kita apabila ianya diperlukan.

Semoga berjaya :-)

Saturday, April 2, 2016

Sikit-sikit Lama-lama Membukit

Pagi tadi aku tertumpahkan coklat di lantai dapur. Disebabkan aku sedang memasak, aku tak terus lap kotoran di atas lantai. Pada pandangan mata aku tumpahan coklat itu hanya sedikit. Selesai memasak aku akan bersihkannya.

Petang ini masa berjalan ke ruang makan aku dapati ada kotoran di lantai. MasyaAllah, baru aku teringat tumpahan coklat pagi tadi aku lupa lap. Jadinya aku dah terpijak kotoran itu dan bawa ke ruang makan pulak. Cepat-cepat aku bersihkan kotoran di lantai.

Pada aku begitu juga gambarannya dengan dosa kita. Kadang-kadang kita merasakan dosa kita kecil dan kita tangguh-tangguh untuk bertaubat. Yang mana akhirnya dosa itu jadi membukit dan mengotori segenap pelusuk hati kita...astaghfirullahazim.

Wednesday, March 2, 2016

Tabung RM5

Aku pernah terbaca satu tips di FB bagaimana cara nak simpan duit dengan mudah. 

Kata penulis, dia amalkan mengasingkan duit lima ringgit yang warna hijau tu dan terus simpan di dalam tabung.

Kata penulis lagi dia memilih duit lima ringgit sebab nilainya tidak terlalu rendah dan tidak juga terlalu tinggi. Satu lagi warna duit kertas ni hijau. Senang nak diingat.

Aku pun mula ikut tips yang diberi.

Mudah. Apabila kita dah set di minda yang duit warna hijau itu perlu diasingkan, automatik kita akan buat begitu.

Alhamdulillah...sedar tak sedar duit dalam tabung tin aku tu dah mencecah dua ratus ringgit.

Itu antara sedar tak sedar aku letak duit dalam tu. Bagus tips ni. Kalau tidak lima ringgit tu dah pasti hilang macam tu saja sebab aku akan beli jajan hehehe.

Inilah rupanya tabung tin aku. Siap letak plaster pada lubang sebab takut jari terluka hehehe.


Monday, February 29, 2016

Terengganu

Kisah yang tertinggal.

Time ni kami ke Terengganu. Cuaca kurang baik. Angin kuat dengan hujan lebat sekali-sekala.


Ini pantai di Kg Mangkuk, Penarik. Angin kuat sangat sampai aku rasa macam nak terbang. Tapi kami tetap gigih bergambar sebab pemandangannya cantik.

Ombak membadai. Ngeri aku tengok. Dahla kat situ banyak pokok kelapa. Dok berjaga jer takut buah nyoq jatuh.




Lepas puas bergambar kami bergerak ke Pantai Rhu Sepuluh nak makan ikan celup tepung.


Dalam perjalanan, ada yang nak ke tandas. Maka berhentilah kami di sebuah tandas awam yang nampak masih baru.

Masa sampai di situ ada seorang makcik, pakcik dan budak yang berumur lebih kurang 10 tahun. Kami ingat depa ni orang yang menjaga tandas awam tersebut.

Gigih kami pakat bayar duit kat depa sebelum masuk ke tandas. Pakcik tu pun dok cerita pasal tandas yang baru siap dan si anak duduk dalam kaunter kutip duit.

Sekali bila kami semua keluar tandas, depa satu famili dah tak ada. Hahaha....hampeh betui. Rupanya depa pun mai tandas tapi selamba kutip duit macam depa pulak jaga tandas tu.

Pakat gelaklah kami ramai-ramai. Rasanya tandas tu tak siap lagi sebab pintu pun tak diletakkan kunci. Terpaksalah sorang masuk dan sorang lagi jaga di luar.




Pokok kelapa meliuk-lintuk tapi steady jer. Sepatutnya kita pun macam tu...sekuat mana angin dan badai, sekecil mana pun kita, kita patut jadi macam pokok kelapa...steady jer :-)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...