Pages

Friday, May 3, 2013

Bagaimana Memilih Arnab Sebagai Haiwan Kesayangan (1)

Ramai di antara kita gemar membela arnab sebagai haiwan kesayangan. Di sini aku ingin memberi beberapa panduan  ringkas sebelum membeli arnab.
Semasa memilih arnab di kedai haiwan atau pasar malam pastikan arnab tersebut dalam keadaan sihat. Bagaimana nak tahu arnab tersebut benar-benar sihat?

1. Perhatikan bulu arnab tersebut. Arnab yang sihat bulunya bersih dan bersinar. Ini menunjukkan yang arnab tersebut sihat dan sentiasa 'grooming' dirinya. Jika arnab itu sakit tentulah ianya tidak akan membersihkan dirinya sendiri.


2. Pastikan mata arnab bersinar, tiada lelehan pada mata, hidung atau mulut. Jika ada, itu menunjukkan kemungkinan arnab tersebut mengalami jangkitan pada saluran pernafasan.

3. Cuba teliti telinga dan kawasan muka arnab. Pastikan telinga dan bahagian mukanya bersih daripada jangkitan ektoparasit (contohnya tungau). Jangkitan ektoparasit biasanya akan menyebabkan telinga dan bahagian muka arnab seakan mereput, serta alopecia (botak) pada badan akibat bulu yang luruh.
 
4. Bahagian tapak kaki arnab sepatutnya tiada bengkak kemerah-merahan. Jika ada, ianya dikenali sebagai 'pododermatitis' iaitu jangkitan pada 'pad' di tapak kaki arnab. Keadaan ini jika dibiarkan tanpa rawatan, akan menyebabkan arnab mati akibat menahan sakit dan tidak mahu makan selain risiko jangkitan sekunder oleh bakteria.

5. Pilihlah arnab yang berumur 2 bulan dan ke atas. Ini kerana, tempoh cerai susu (berhenti menyusu) bagi arnab ialah 2 bulan. Ramai peniaga arnab akan menjual arnab apabila ianya mencecah umur 1 bulan. Ini meningkatkan risiko kematian kepada anak arnab tersebut memandangkan ianya masih kecil dan ketahanan badannya masih lemah.


Jangan terpedaya dengan kata-kata manis peniaga. Mereka hanya ingin mendapatkan keuntungan dan melepaskan tanggungjawab kepada pembeli. Ramai daripada pembeli membeli arnab yang belum sampai tempoh cerai susu kerana tertarik dengan kecomelan arnab tersebut. Tetapi apabila dibawa pulang dan dibela dalam jangkamasa yang singkat sahaja kebanyakannya anak arnab itu akan mati.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...