Monday, October 26, 2009
Kerjaya Silih Berganti
Setiap orang pasti mahu kekal dalam satu kerjaya saja jika kerjaya tersebut benar-benar membuatkan dia dapat bekerja dengan gembira setiap hari.
Aku, baru 7 tahun bergraduat, tapi sudah 4 kerja silih berganti. Bukan kehendakku. Keadaan memaksa. Banyak faktor yang terpaksa difikirkan apabila terpaksa membuat pilihan untuk menukar kerja.
Cuak? Sudah pasti. Siapa yang tidak cuak bila terpaksa memulakan sesuatu dari A semula dan terpaksa membiasakan diri dengan majikan yang baru, suasana kerja yang baru; juga teman-teman yang baru.
Kali pertama bekerja aku tercampak jauh di selatan. Betul-betul jauh, di kawasan yang kiri kanannya ladang kelapa sawit dan berbukit-bukau. Tapi aku suka suasana ladang yang penuh ketenangan. Paginya sangat sejuk, malamnya sangat sepi.
Aku ditempatkan di kuarters pekerja yang tidak jauh dari kilang dan pejabat. Sebelah rumahku ialah rumah pekerja bawahanku; beberapa orang pemuda dan seorang pengurus kilang. Terdapat sebuah rumah pekerja lagi yang terletak berhampiran ladang. Kesimpulannya, semua yang tinggal di situ ialah lelaki kecuali aku dan rakan serumahku.
Bosku memang seorang yang baik. Lelaki Cina, 50-an yang bersikap agak 'tradisional' dan menggemari kecantikan (dalam erti kata yang lain dia seorang Cina 'alim'). Pejabat yang lengkap dengan kemudahan rumah selalu dijadikan rumah keduanya apabila dia sibuk menguruskan urusan kerja. Maksudnya dia akan tidur di situ pada malam-malam tertentu.
Aku gembira bekerja di situ. Tak perlu terlalu formal. Cukup setiap hari aku memakai jeans, kemeja dan kasut boot. Alatan 'make-up' boleh disimpan di dalam peti besi (aku memang tak pakai alat-alat 'make-up'). Tapi perlu 'cleanser' dan 'facial wash' kerana setiap hari aku akan pulang dalam keadaan yang 'comot' dan berpeluh-peluh.
Waktu kerja juga panjang, jam 7.30 pagi aku sudah keluar dari rumah dan 7.00 malam baru aku bergerak pulang. Semua itu tidak terasa kerana suasana kerja yang sungguh aman bagiku. Kalau diikutkan memang meletihkan apabila aku terpaksa berulang-alik berjalan kaki sekitar kawasan ladang setiap hari. Peluh tak payah cerita, mencurah-curah. (Waktu kerjaku tiada had. Pernah aku terpaksa berjaga pukul 12 tengah malam untuk bekerja sampai ke pagi).
Walaupun begitu, di hati aku tetap teringatkan Abg di rumah dan Mak yang ketika itu sakit jantung yang kronik. Berjauhan dengan orang tersayang itu amat menyakitkan sebenarnya.
Namun aku pujuk hatiku kerana menurut Bosku, setahun saja aku bekerja di situ, dia akan memindahkan aku ke ibu pejabat yang terletak di Pulau Pinang.
Untuk mencari kedai makan di daerah itu agak sukar. Yang ada cumalah kedai makan kecil, diusahakan oleh orang kampung. Lauk pun boleh dikira, tak sampai sepuluh jenis. Kedudukannya agak jauh dari ladang. Mahu tak mahu, penat atau tidak, kami terpaksa memasak setiap hari dengan sumber yang agak terhad. Tapi itu tidak menjadi masalah. Bila badan terlalu penat, apa saja yang dimasak semuanya menjadi amat sedap.
Dengan alasan itu juga aku terpaksa membeli kereta walaupun baru bekerja. Rakanku memang sudah berkereta tetapi dia asalnya orang situ biarpun daerah yang lain. Jadi dia kerap pulang ke rumah dan meninggalkan aku seorang diri di rumah. Tentulah payah bagiku untuk bergerak ke sana ke sini bila dia tiada.
Ikut hatiku, memadailah dengan sebuah motorsikal. Cuma Abg bimbangkan keselamatan diriku bila aku perlu keluar ke kedai sendirian; ialah dengan kiri kanannya berbukit dan ladang kelapa sawit. (Hari pertama aku memandu sendirian ke bandar selepas menghantar Abg pulang, ada rasa takut dan seram apabila terpaksa meredah ladang kelapa sawit dalam hujan lebat dan banjir. Bergenang juga air mata sebenarnya sambil hati tak henti berdoa agar tidak ada kejadian buruk yang berlaku sepanjang perjalananku).
Sehinggalah terjadinya satu peristiwa yang membuatkan aku terus nekad untuk berhenti kerja. Apa jadi pun, aku mahu pulang.
Malam itu seperti selalunya, aku tinggal sendirian melayan siaran televisyen yang sekejap ada, sekejap hilang. Rakanku asal hari Sabtu pasti dia pulang ke kampungnya. Dia ada mengajak aku ikut sekali, tetapi aku tak mahu. Aku tak selesa tidur di rumah orang. Biarlah aku sendirian di rumah. Boleh juga aku berehat.
Telefon bimbitku berdering. Rupanya bosku menelefon dari pejabat. Dia minta aku segera ke pejabat, ada hal katanya.(liputan telefon bimbit juga tidak berapa baik di sini, kadang-kadang terpaksa aku bercakap di luar rumah untuk mendapatkan liputan yang lebih baik).
Sesampai di pejabat aku lihat bosku sedang menungguku. Diajaknya aku masuk ke bilik komputer. Di tangannya ada sekeping cd.
"Tolong, I mahu tengok cd ni malam ini. I orang tua, tak pandai mahu operate ini komputer. Nanti u ajar i sekali ok cara mau pasang cd."
Aku hanya mengangguk sambil mengambil cd yang dihulurkan kepadaku.
Seketika jantungku berdegup kencang. Oh Tuhan! Aku memandang cd tersebut. Kemudian ku pandang wajah Bosku. Kemudian ku pandang sekeliling ruang dalam bilik. Aku dan dia sahaja di dalam bilik ini.
Aku pura-pura tenang dan memasukkan cd dalam cd drive. Entah apa yang aku buat, aku sendiri tak tahu. Fikiranku dah melayang pada setiap langkah silat dan wajah Abg.
"Tak bolehla bos. Cd rosak ni."
"Aiya, i baru beli sudah rosak. Penipu betulla orang jual cd ni."
"Err berdosa bos tengok cd macam ni. Tuhan lagi tau. Itu sebab tak boleh buka."
"Hehehe tiapa-tiapa (tidak apa), i mahu syok-syok saja...ini baru level 3. Ok, u boleh balik tido. Tido baik-baik."
Aku rasa mahu pecut macam Usin Bolt saja masa tu. Tapi aku terus 'control macho'. Walhal aku dah berpeluh-peluh. Menggeletar aku 'call' Abg malam tu. Dan terus aku buat keputusan mahu berhenti kerja.
Ya, aku berhenti kerja tidak lama selepas peristiwa itu. Abg yang tolong karangkan 'resign letter' untuk aku. Walaupun bosku berat hati mahu melepaskan aku. Dia cuba 'up' kan gaji aku tetapi aku tetap geleng-gelengkan kepala.
Biarlah aku cari kerja lain. Yang penting keselamatanku lebih terjamin dan aku dapat tinggal bersama orang yang aku kasihi.
Oh, malam itu sebenarnya bosku yang 'alim' itu meminta aku memasang cd porno untuknya. Itu yang buat aku rasa mahu hempuk kepalanya dengan 'keyboard'. Dan malam itu juga baru aku tahu cd porno ini ada 'level' 1-5. Aku juga sebenarnya menipu bosku dengan mengatakan cd yang dibelinya rosak. Biarlah...diakan buta IT :) Bersambung....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment